#3814: Kesan Peninggalan Nabi Allah Ibrahim di Makkah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang kesan peninggalan Nabi Allah Ibrahim AS di Makkah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

(Surah al-Baqarah: 127)

Firman Allah SWT lagi:

وَإِذْ بَوَّأْنَا لِإِبْرَاهِيمَ مَكَانَ الْبَيْتِ أَن لَّا تُشْرِكْ بِي شَيْئًا وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Maksudnya: Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membinanya, lalu Kami berfirman kepadanya): “Janganlah engkau sekutukan sesuatu pun denganKu, dan bersihkanlah rumahKu (Kaabah ini) bagi orang-orang yang tawaf, dan orang-orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud (mengerjakan sembahyang).

(Surah al-Haj: 26)

Pembinaan Kaabah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Ismail AS adalah berdasarkan perintah daripada Allah SWT, iaitu selepas beberapa kali Nabi Ibrahim AS datang menziarahi isteri dan anaknya Ismail AS di Makkah. Pada kedatangan kali yang ketiga, baginda telah diperintahkan agar membina Kaabah. Ketika itu Ismail AS telah berumur dua puluh tahun dan ibunya telah meninggal dunia.

Sewaktu Nabi Ibrahim AS tiba, anaknya Ismail AS sedang duduk di bawah pokok berdekatan dengan telaga zamzam sambil mengasah anak panah. Nabi Ibrahim AS memberi salam dan duduk bersamanya. Baginda berkata kepada Ismail: “Wahai Ismail! Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkanku supaya membina Kaabah.” Ismail mewnjawab: “Taatlah perintah Allah itu.” Lalu bapanya berkata lagi: “Allah juga memerintahkan agar engkau membantuku dalam pembinaan ini.” Ismail berkata: “Di manakah tempatnya?” Nabi Ibrahim AS menunjukkan tempat yang telah ditunjukkan kepadanya oleh malaikat yang mengiringinya. Selepas itu, mereka mula menggali tapak asas binaan serta berdoa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 127)

Berkenaan persoalan di atas, antara kesan peninggalan Nabi Allah Ibrahim AS ialah:

  • Orang yang pertama mendirikan kota Makkah dan menempatinya dengan menempatkan anak lelakinya dan isterinya Hajar.
  • Mendoakan penduduknya dengan keluasan rezeki dan negeri Makkah menjadi tembok yang mengelilingi manusia dan tempat yang aman.
  • Beliau lah yang mengumumkan pengharamannya dan keagungannya atas perintah Allah SWT.
  • Beliau lah yang membangunkan Baitullah al-Haram dan meletakkan asasnya, dengan dibantu oleh anak lelakinya, Ismail AS
  • Beliau lah yang mengajak manusia untuk melakukan haji
  • Beliau lah yang menegakkan syi’ar-syi’ar haji
  • Beliau lah yang mengumandangkan tauhid dan beribadah hanya kepada Allah SWT
  • Beliau lah orang yang pertama memberikan batas dan sempadan haram dengan pemberitahuan daripada Jibril AS.

Inilah seperti yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/106)

Semoga Allah kurniakan kepada kita dapat menziarahi Ka’bah sama ada dapat menunaikan haji atau umrah. Kami akhiri perbincangan ini dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْ بَيْتَكَ هَذَا تَشْرِيفًا وَتَعْظِيمًا وَتَكْرِيمًا ، وَبِرًّا وَمَهَابَةً ، وَزِدْ مَنْ شَرَّفَهُ وَعَظَّمَهُ مِمَّنْ حَجَّهُ وَاعْتَمَرَهُ تَعْظِيمًا وَتَشْرِيفًا وَبِرًّا وَمَهَابَةً

Maksudnya: “Ya Allah, tambahkanlah rumah-Mu ini dengan kemuliaan, keagungan, ketinggian, kebajikan dan kehebatan. Dan tambahkanlah siapa yang memuliakan dan mengagungkannya daripada kalangan yang melaksanakan haji atau umrah dengan kemuliaan, keagungan, kebajikan dan juga kehebatan.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Du’a (782)

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”

Riwayat Ahmad (15360), (15363); al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9831) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (293)

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H