#3819: Kisah Keyakinan Umar kepada Allah SWT

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Saidina Umar RA datang tanpa senjata ke kota Baitul Maqdis?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jawapannya, ya. Kami nukilkan daripada buku Khalifah Umar RA: Fiqh Siasah Khulafa al-Rasyidin antara lain berkata:

Penduduk Baitul Maqdis terkejut dengan kedengaran riuh- rendah dalam kalangan tentera Islam. Paderi besar kota suci itu meminta supaya dilihat apa yang berlaku. Kemudian, dikhabarkan berita ketibaan Amir al-Mu’minin ‘Umar bin al- Khattab RA.

Setelah selesai sembahyang Fajar pada waktu paginya. ‘Umar RA meminta Abu ‘Ubaidah RA memberitahu kedatangannya kepada pihak yang berada di dalam kota. Sebaik sahaja mereka mengetahui kedatangannya, mereka meminta supaya ke hadapan untuk memastikannya.

Menurut satu riwayat, bahawa ada kalangan pemimpin agama yang mengetahui bentuk dan sifat seseorang yang akan membebaskan Baitul Maqdis daripada penjajahan Rom yang zalim dan sekian lama menindas mereka.

Khalifah ‘Umar RA bangkit bangun, lalu tampil dengan tangan kosong tanpa bersenjata. Ramai daripada kalangan mereka yang berada di sampingnya berkata:

يَا أَمِيْرَ المُؤْمِنِينَ تَخْرُجُ إِلَيْهِم مُنْفَرِدًا، وَلَيْسَ عَلَيْكَ آلَةُ حَرْبٍ غَيْرَ هَذِهِ الْمَرْقَعَة وَإِنَّا نَخْشَى عَلَيْكَ مِنْهُم غَدَرًا أَوْ مَكْرًا فَيَنَالُوْنَ مِنْكَ.

Maksudnya: “Wahai Amir al-Mu’minin! Adakah kamu pergi seorang diri tanpa bersenjata, dengan memakai baju yang bertampung itu? Kami bimbang musuh akan membuat tipu daya dan melakukan sesuatu yang membahayakan.”

‘Umar RA menjawab:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَنَا وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Allah berfirman: Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.”’

(Surah al-Tawbah: 51)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H