#3823: Jenis-Jenis Firasat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dato’ Seri pernah menceritakan tentang firasat sebelum ini. Apakah jenis-jenis firasat? Dan adakah semua firasat benar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: “Dan kalau Kami menghendaki, niscaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu.”

(Surah Muhammad :30)

Kami nyatakan bahawa, firasat mempunyai banyak jenisnya.

Ibnu Qayyim di dalam al-Turuq al-Hukmiyyah menyebut, daripada jenis-jenis firasat, pecahannya yang penuh dengan keajaiban.

Ibnu al-Qatta’ berkata, “Firasah dengan mata akan mendapatkan batin sesuatu. Ini juga berdasarkan kepada panduan hadith.”

Imam al-Maraghi berkata, “Takutlah kepada firasat orang Mukmin kerana dia dapat melihat menerusi cahaya Allah SWT. Kemudian Nabi SAW membaca: ‘Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar, terhadap tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi yang memerhatikan tanda-tanda. Ada dua bentuk firasat iaitu:

  1. Apa yang diletakkan oleh Allah SWT di dalam hati orang yang soleh sehingga mereka mengetahui perihal manusia menerusi taksiran dan perkiraan.
  2. Sesuatu yang diketahui melalui petunjuk pengalaman dan akhlak.

Ibn Qayyim di dalam Madarij al-Salikin berkata tentang firasat ada dua:

Pertama, firasat penglihatan dan mata.

Kedua, firasat telinga dan pendengaran.

Pecahan daripada di atas, juga dibahagikan firasat kepada tiga jenis:

  • Firasat Imaniyyah. Sebabnya melalui cahaya yang Allah campakkan pada hati seseorang hamba sehingga dia mampu membezakan di antara kebenaran dan kebatilan, orang yang benar dan orang yang pembohong. Hakikatnya terbit daripada lintasan yang menerkam pada hati seseorang. Ibaratnya, seperti singa yang menerkam kepada mangsanya. Firasat seperti ini berasaskan kepada kekuatan iman. Sesiapa yang mempunyai iman yang kuat, maka firasatnya makin tajam.

Firman Allah SWT:

أَوَمَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا ۚ

Maksudnya: “Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?”

(Surah al-An’am: 122)

  • Firasat Riyadhah (latihan). Ia berdasarkan kepada latihan dengan lapar, berjaga malam dan kosongkan perut. Sesungguhnya, jiwa apabila selamat daripada perkara di atas jadilah baginya mempunyai firasah dan didedahkan hijab. Ini boleh berlaku sama ada orang Islam, orang mukmin atau kafir.
  • Firasat Khalqiyah iaitu bersifat bentuk dan fizikal. Ini banyak dibahagikan oleh pakar perubatan dengan menghujahkan rupa bentuk yang membawa kepada akhlak kerana kedua-duanya juga ada ikatan. Hanya hikmatullah sahaja dapat membongkar. Sebagai contoh, kepala yang kecil daripada kebiasaan menandakan kecilnya akal dan lain-lain lagi.

Terdapat dua sebab yang membawa kepada kebenaran firasat.

Pertama, baik akalan yang berfirasat, tajam mata hatinya dan mempunyai kecerdikan.

Kedua, terdapatnya alamat, bukti dan dalil terhadap yang difirasatkannya.

Apabila berhimpun dua sebab ini, amat jarang dan nadir berlaku kesilapan bagi seseorang yang berfirasat. Tetapi sebaliknya, apabila tiada dua sebab di atas, hampir-hampirlah tidak benar firasatnya. Sebaliknya, jika hanya mempunyai salah satu daripada keduanya, maka firasatnya berada di antara persimpangan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H