#3833: Hakikat Persahabatan (Suhbah)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangakna kepada kami maksud suhbah dalam ilmu tasawuf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

(Surah al-Taubah: 40)

Abu al-Qasim Junaid Rahimahullah berkata, “Tatkala Allah mengisbatkan bagi Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebagai suhbah maka, dizahirkan ke atasnya sifat kasihan dan sayang seperti firman Allah SWT:

 إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا

Maksudnya: “Ketika ia berkata kepada sahabatnya:”Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.

Daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَتَى أَلْقَى أَحْبَابِي ؟، فَقَالَ أَصْحَابُهُ : بِأَبِينَا أَنْتَ وَأُمِّنَا أَوَلَسْنَا أَحْبَابَكَ ؟ ، فَقَالَ: أَنْتُمْ أَصْحَابِي، أَحْبَابِي قَوْمٌ لَمْ يَرُونِي وَآمَنُوا بِي، وَأَنَا إِلَيْهِمْ بِالأَشْوَاقِ لأَكْثَرَ.

Maksudnya: “Bilakah aku boleh bertemu dengan kekasih-kekasihku? Maka, sahabat-sahabatnya berkata, “Demi abah dan ibu kami, tidakkah kami kekasih-kekasih kamu? Maka, jawab Rasulullah SAW, “Kamu adalah sahabatku, adapun kekasihku kaum yang tidak melihatku (yang datang kemudian daripadaku) sedangkan mereka beriman denganku. Dan adalah aku amat cinta kepada mereka.

Riwayat Abu al-Syeikh al-Asbahani dalam Thawab al-A’mal, sepertimana dalam Kanz al-’Ummal (14/52), al-Qusyairi dalam al-Risalah (2/457) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (4/148)

Dalam tasawuf, persahabatan atau suhbah terbahagi kepada tiga:

  • Persahabatan bersama yang lebih tinggi daripadamu, pada hakikatnya sebagai khidmat.
  • Persahabatan yang lebih rendah daripadamu, ia dengan makna rahmah dan kasih sayang. Sedangkan yang mengikut pula dengan persepakatan dan penghormatan.
  • Persahabatan rakan atau setara denagn kamu, ini perlu dizahirkan perasaaan ithar (pengorbanan) dan futuwwah.

Justeru, siapa yang bersahabat dengan syeikh atau guru yang lebih tinggi daripadanya martabat, maka, adabnya, meninggalkan bangkangan, menzahirkan dengan wajah yang ceria dan terima keadaannya dengan penuh keimanan.

Pernah Yusuf ibn Husain bertanya kepada Zu al-Nun al-Misri, “Siapa yang patut saya bersahabat? Jawabnya, “Bersama orang yang kamu tidak sembunyi daripadanya sesuatu yang Allah mengetahuinya daripadamu.”

Sahl bin Abdillah pernah berkata kepada seorang lelaki, “Jika kamu jenis yang takut dengan binatang bias, maka, jangan bersahabat denganku.”

Bisyr bin al-Harith berkata, “Bersahabat dengan orang yang jahat boleh membawa kepada su’ul zhan atau buruk sangka kepada orang-orang yang baik.”

Lihatlah adab bagaimana Nabi Allah Musa bersahabat dengan Nabi Allah Khidir yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi dengan panjang lebar.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

 

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H