#3874: Adakah Boleh Mengahwini Semula Isteri Yang Telah Ditalak Tiga?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah dibolehkan untuk mengahwini bekas isteri yang ditalak tiga selepas dicerai oleh suaminya yang kedua tanpa berlakunya persetubuhan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:

  • Mengangkat ikatan perkahwinan.
  • Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
  • Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm.3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj,3/279) .

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)

Driwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”

Riwayat Abu Daud (2178)

Al-Son’ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan seseorang itu boleh mengahwini bekas isterinya yang ditalak tiga melainkan dengan memenuhi beberapa ketetapan yang telah ditetapkan oleh syara’, antaranya adalah seperti berikut:

  • Iddah bersama bekas suami yang menceraikan isterinya telah tamat.
  • Selepas selesai iddah, bekas isteri perlu berkahwin bersama lelaki lain dengan akad yang sah.
  • Bekas isteri melakukan hubungan intim bersama suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.
  • Bercerai bersama suami baru.
  • Iddahnya dengan suami baru telah selesai.

Hal Yang demikian telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:

فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ ۗ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يَتَرَاجَعَا إِن ظَنَّا أَن يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ ۗ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ يُبَيِّنُهَا لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu kalau ia diceraikan (oleh suami baharu itu dan habis idahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (maskahwin semula), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah SWT dan itulah aturan-aturan hukum Allah SWT, diterangkannya kepada kaum yang (mahu) mengetahui dan memahaminya.

(Al-Baqarah: 230)

Imam al-Syafie mengatakan bahawa firman Allah ﷻ di atas menjelaskan terdapat perbezaan di antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Hal ini kerana, wanita yang ditalak dengan talak satu dan dua, boleh dirujuk semula. Berbeza dengan keadaan sekiranya ditalak dengan talak tiga, haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahi semula wanita tersebut sehinggalah wanita tersebut bernikah dengan lelaki lain terlebih dahulu.

Selagi mana wanita yang ditalak dengan talak tiga oleh suaminya tidak berkahwin dengan orang lain, maka kekal hukum haram ke atas lelaki tersebut untuk menikahinya. Inilah yang membezakan antara talak satu atau dua dengan talak tiga. Tidak boleh diqiyaskan perkara yang sudah jelas pengharaman dengan yang tidak diharamkan, kerana talak satu dan dua tidak diharamkan untuk lelaki tersebut untuk kembali kepada isterinya. (Lihat  al-Umm,hlm. 369).

Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa beliau berkata: Seorang lelaki menjatuhkan talak tiga terhadap isterinya, kemudian isterinya bernikah lagi, kemudian suami yang kedua menceraikannya. Nabi SAW ditanya: “Adakah perempuan itu halal untuk dinikahi oleh suaminya yang pertama?” Baginda bersabda:

لاَ، حَتَّى يَذُوقَ عُسَيْلَتَهَا كَمَا ذَاقَ الأَوَّلُ

Maksudnya: Tidak, sehingga suami yang kedua merasai madunya sebagaimana lelaki pertama merasainya.”

Riwayat Bukhari (5261) dan Muslim (1433)

Dapat difahami melalui hadith ini adalah perceraian dengan menggunakan tiga kali lafaz, sama ada sebagai satu ungkapan tunggal atau diucapkan secara berasingan dengan kata-kata berulang, tanpa adanya rujuk dan  pernikahan semula, maka ia adalah perceraian yang dikenali sebagai perceraian bid’ah yang dilarang.

Seorang wanita yang telah diceraikan tiga kali secara berturut-turut oleh suaminya tidak dibenarkan baginya untuk kembali bersamanya sehingga dia menikah dengan lelaki lain, bersetubuh dengan suaminya yang kedua itu kemudian dia menceraikannya serta beriddah dengan penceraian tersebut.

Dalam isu ini para ulama telah bersepakat bahawa perkahwinan yang menghalalkan kembali seorang wanita yang diceraikan dengan talak tiga adalah dengan melakukan persetubuhan oleh suami yang kedua, iaitu dengan memasukkan zakar  atau sebahagian daripadanya  ke dalam faraj (kemaluan) wanita yang telah diceraikan oleh suami yang kedua tersebut, di mana berlakunya ketegangan pada kemaluan lelaki walaupun tidak keluarnya  air mani. Tidak memadai jika hanya melakukan akad dan berkhalwat atau menggauli selain kemaluan. Begitu juga tidak memadai sekiranya akad yang kedua itu batil atau rosak. Hendaklah akad yang kedua itu sah dan tidak terbatal. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/305)

Justeru kami katakan, seorang yang menceraikan isterinya dengan talak tiga tidak halal baginya mengahwini isterinya kembali melainkan telah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ sebagaimana yang telah dinyatakan  di atas.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.  

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H