#3925: Bolehkah Berkorban Sebelum Bercukur?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah menyembelih korban sebelum bercukur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

Kami mulakan dengan hadith daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-’As R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ، فَجَعَلُوا يَسْأَلُونَهُ، فَقَالَ رَجُلٌ: لَمْ أَشْعُرْ، فَحَلَقْتُ قَبْلَ أَنْ أَذْبَحَ، قَالَ: «اذْبَحْ وَلاَ حَرَجَ»، فَجَاءَ آخَرُ فَقَالَ: لَمْ أَشْعُرْ فَنَحَرْتُ قَبْلَ أَنْ أَرْمِيَ، قَالَ: «ارْمِ وَلاَ حَرَجَ»، فَمَا سُئِلَ يَوْمَئِذٍ عَنْ شَيْءٍ قُدِّمَ وَلاَ أُخِّرَ إِلَّا قَالَ: افْعَلْ وَلاَ حَرَجَ.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW pada Haji Wada’ (haji perpisahan), ketika sedang berada (duduk di atas unta Baginda), lalu mereka mengajukan pertanyaan kepada Baginda. Seorang lelaki berkata: “Aku tidak sedar, aku telah mencukur sebelum menyembelih (haiwan korban).” Baginda menjawab: “Sembelihlah. Tidak mengapa.” Orang lain pula datang dan berkata: “Aku tidak sedar, aku telah menyembelih (haiwan korban) sebelum melontar (Jamrah).” Baginda menjawab: “Lontarlah (Jamrah). Tidak mengapa.” Pada waktu itu, tidaklah Baginda ditanya tentang suatu perkara yang seharusnya didahulukan, tetapi dikemudiankan, atau pun sebaliknya, melainkan Baginda bersabda: “Lakukanlah! Tidak mengapa.”

Riwayat al-Bukhari (1736) dan Muslim (1306)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada al-Miswar bin Makhramah R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ الله -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- نَحَرَ قَبْلَ أنْ يَحْلِقَ، وَأمَرَ أصحَابهُ بِذلِكَ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW menyembelih korban sebelum mencukur rambut dan memerintahkan para sahabatnya dengan hal tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (1811)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

  • Hadith di atas menunjukkan bahawa dibolehkan mendahulukan menyembelih korban daripada mencukur sama ada perkara tersebut dalam keadaan sengaja, tidak tahu atau lupa.
  • Perbuatan ini dan perintahnya adalah daripada Nabi SAW ketika Baginda melakukan umrah semasa perjanjian Hudaibiyyah, iaitu ketika orang-orang Quraisy melarang Nabi SAW daripada memasuki kota Makkah dalam rangka melaksanakan ibadah umrah, lalu Nabi SAW berdamai dengan mereka dan kembali pulang. Nabi SAW dibolehkan datang kembali pada tahun hadapan. Setelah itu, Nabi SAW melakukan tahallul dengan menyembelih haiwan dan berkorban, lalu diikuti oleh para sahabat yang lain. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/180)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H