#3926: Bolehkah Sedekah dengan Nilai Berbanding Sembelihan Tamattu’ dan Qiran?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkan bersedekah dengan nilai, berbanding sembelihan Tamattu’ dan Qiran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ بِهِ أَذًى مِّن رَّأْسِهِ فَفِدْيَةٌ مِّن صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ ۚ فَإِذَا أَمِنتُمْ فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۚ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ فِي الْحَجِّ وَسَبْعَةٍ إِذَا رَجَعْتُمْ ۗ تِلْكَ عَشَرَةٌ كَامِلَةٌ ۗ ذَٰلِكَ لِمَن لَّمْ يَكُنْ أَهْلُهُ حَاضِرِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepong (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih Dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan Umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat Haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih Dam yang mudah didapati. Kalau ia tidak dapat (mengadakan Dam), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan Haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haraam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksaNya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).

(Surah al-Baqarah: 196)

Ibn Kathir berkata: Firman Allah, ‘فَمَن تَمَتَّعَ بِالْعُمْرَةِ إِلَى الْحَجِّ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ’, “Ayat ini bermaksud jika kamu mampu untuk menunaikan ibadah haji, maka bagi mereka yang di antara kamu yang melakukan haji tamattu’ dengan melakukan umrah terlebih dahulu kemudian melakukan haji, termasuk di dalamnya orang yang berniat ihram untuk keduanya pada masa yang sama, atau yang pertama kali berniat ihram untuk umrah dan kemudian setelah selesai melakukan umrah, dia berniat ihram untuk haji. Ini disebut dengan haji tamattu’ secara khusus, dan ia maaruf dalam kalangan para fuqaha’. Maka hendaklah dia menyembelih haiwan hadyu berdasarkan apa yang dia mampu, dan yang paling sedikit adalah seekor kambing. Namun, boleh juga menyembelih lembu kerana Rasulullah SAW telah menyembelih lembu untuk isteri-isterinya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/399)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan Resolusi Hai’ah Kibar Ulama’ seperti berikut:

“Tidak boleh menggantikan korban haji Tamattu’ dan Qiran dengan sedekah, iaitu dalam bentuk nilai dam-nya sahaja, berdasarkan petunjuk dari al-Quran, hadith dan ijma’ ulama’. Ini kerana, ia termasuk dalam kaedah yang ditetapkan, iaitu Sadd al-Zara’i’ (سَدُّ الذَّرَائِع) (menutup pintu kerosakan) serta pendapat yang membolehkan mengeluarkan nilainya akan membawa kepada bermain-main dengan Syariat.”

Inilah juga seperti yang dinyatakan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/181).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H