#3928: Adakah Nabi SAW Berkhutbah Pada Hari Raya Aidil Adha Semasa Haji?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Nabi SAW berkhutbah pada hari raya Aidil Adha, semasa melakukan haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

(Surah Ali-Imran: 97)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abu Bakrah R.A, katanya:

خَطَبنَا رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يَوْمَ النَّحرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menyampaikan khutbah kepada kami pada hari Korban.”

Riwayat al-Bukhari (1741) dan Muslim (1679)

Daripada Sarra’ binti Nabhan R.A, katanya:

خَطَبَنَا رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يوْمَ الرُّؤوسِ، فَقَالَ: أَلَيْسَ هَذَا أَوْسَطَ أَيَّامِ التَّشْرِيقِ؟

Maksudnya: “Rasulullah SAW berkhutbah kepada kami pada hari Ru’us (11 Zulhijjah). Lalu Baginda bersabda: “Bukankah hari ini adalah pertengahan hari-hari tasyriq.”

Riwayat Abu Daud (1953)

Antara pengajaran daripada hadith ini ialah:

  • Bahawa Rasulullah SAW melakukan dua khutbah. Pertama, pada hari Korban. Kedua, pada hari selepasnya daripada hari tasyriq yang ada.
  • Khutbah pada hari Korban adalah bukan khutbah untuk Hari Raya Aidul Adha, kerana Nabi SAW tidak melaksanakan Solat Eid di dalam ibadah haji yang Baginda laksanakan. Tidak ada khutbah lain yang sama dengan khutbah Aidul Adha. Khutbah tersebut untuk mengajarkan tatacara ibadah haji bagi jemaah haji.
  • Di dalam dua hadith di atas, terdapat keterangan mengenai pelaksanaan dua khutbah bagi seorang Imam atau wakilnya. Dia memberikan nasihat dan menjelaskan masalah manasik serta memberi petunjuk kepada mereka.
  • Betapa benarnya syiar yang besar dan perhimpunan umat Islam yang ramai di Mina, maka para pendakwah, mursyid dan para pembaharu Islam sewajarnya mengisi dengan petunjuk dan ajaran agama Islam yang benar. Sesungguhnya inilah kesempatan dan peluang yang baik untuk menggunakan pelbagai media komunikasi, sama ada radio, televisyen, akhbar dan media-media lain demi menyiarkan siaran khusus terhadap masyarakat Muslim ketika itu. Hati-hati umat Islam ketika itu terbuka, jiwa-jiwa menjadi taat dan jalan terbuka lebar untuk menyebarkan dakwah mengenai kebajikan dan kesolehan. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan taufiq kepada umat Islam demi kebaikan mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/189)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H