#3931: Hukum Orang Musyrik Memasuki Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum orang musyrik memasuki masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Majoriti ulama mengharamkan orang Musyrik memasuki Masjid al-Haram. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid Al-Haraam sesudah tahun ini”

(Surah al-Taubah: 28)

Al-Qurtubi menukilkan daripada imam al-Syafi’i yang mengatakan bahawa ayat ini melarang orang kafir daripada memasuki Masjid al-Haram, dan tidak masjid selainnya. Ia juga menunjukkan orang Yahudi dan Nasrani boleh masuk ke masjid yang lain selain Masjid al-Haram. Para ulama mazhab Hanafi pula mengharuskan orang Yahudi dan Nasrani memasuki masjid secara mutlak, iaitu samada Masjid al-Haram mahupun masjid yang lain, namun tidak dibenarkan bagi orang musyrik. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/105)

Menjawab persoalan di atas, para ulama’ berbeza pandangan berkenaan hukum orang musyrik memasuki masjid. Ahli ilmu berbeza pendapat mengenai orang musyrik yang memasuki masjid selain daripada Masjid al-Haram. Ahli Madinah berpendapat dengan larangan untuk setiap musyrik daripada memasuki semua masjid. Imam al-Syafi’i berkata: Ayat ini adalah umum untuk semua musyrikin dan dikhususkan bagi Masjid al-Haram, jadi mereka tidak boleh menghalang mereka daripada masuk masjid-masjid selainnya.

Manakala mazhab Imam Ahmad menyatakan bahawa tidak halal bagi sesiapa yang kafir untuk memasuki Masjid al-Haram di Makkah, dan juga masjid-masjid lain. Mereka tidak boleh memasukinya kecuali jika ada keperluan, seperti jika mereka diupah untuk membina atau membaikinya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/119)

Al-Zarkashi dalam I’lam al-Sajid berkata: Orang kafir boleh memasuki masjid dan tinggal di dalamnya, kerana orang-orang kafir dahulu sering memasuki masjid Nabi SAW. Al-Bukhari juga telah meletakkan bab mengenai orang musyrik masuk ke dalam masjid. Terdapat riwayat-riwayat mengenai orang Arab yang datang bertanya tentang Islam dan riwayat-riwayat mengenai orang Yahudi yang melaporkan bahawa seorang lelaki dan seorang perempuan berzina, dan lain-lain. (Lihat Ahkam al-Sajid, hlm. 318)

Selain itu, para ulama kontemporari seperti Syeikh ‘Athiyyah Saqar juga mengharuskan orang kafir memasuki masjid, sama ada untuk tujuan lawatan mahupun pelancongan. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah 8/492)

Imam Al-Bukhari ada membawakan sebuah hadith yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah bin Athal, diikat oleh Rasulullah SAW di dalam masjid yang ditangkap atas satu kesalahan. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ، فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ، فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي المَسْجِدِ،

Maksudnya : Nabi SAW menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Thumamah bin Uthal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid…

Riwayat al-Bukhari (4372) dan Muslim (1764)

Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

Baginda juga pernah menerima orang Kristian dari Najran di dalam masjid baginda di Madinah. Apabila tiba waktu sembahyang mereka, mereka akan bersembahyang di masjid menghadap ke arah timur. Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Biarkan mereka.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/42; Ahkam Ahl al-Zimmah, Ibn Qayyim, 1/397; Zad al-Ma’ad, 3/549)

Namun begitu, terdapat sebahagian ulama’ mengharamkannya seperti Umar Abdul Aziz, Qatadah dan Imam Malik mengharamkan orang kafir masuk ke masjid sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 12/87)

Imam al-Mawardi menukilkan pandangan Imam al-Muzani yang menyatakan bahawa orang kafir tidak boleh masuk ke masjid kerana mereka sentiasa dalam keadaan hadas dan berjunub. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/268)

Al-Buhuti al-Hanbali juga menyatakan bahawa hukum orang kafir masuk ke mana-mana masjid adalah haram meskipun dengan keizinan orang Muslim, berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.

Surah al-Taubah (18)

Ini juga pandangan yang paling rajih dalam mazhab Hanbali sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Mardawi (Lihat Kassyaf al-Qina’ 2/370-371; al-Insaf, 4/241)

Terdapat juga riwayat bahawa Ali bin Abi Talib R.A pernah melihat ada seorang majusi di dalam masjid ketika beliau sedang berkhutbah di atas mimbar. Kemudian Ali turun, dan memukulnya serta menyuruhnya keluar. Pendapat ini juga yang menjadi pendapat Umar bin Khattab R.A. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/617)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum orang musyrik memasuki masjid selain Masjid al-Haram adalah dibolehkan sekiranya ada keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syara’. Adapun bagi Masjid al-Haram, para ulama’ bersepakat bahawa ia adalah haram sebagaimana dalil yang jelas daripada al-Quran.

Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.[1]

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10244

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H