#3910: Zainab binti Ali

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami berkenaan cucu Baginda SAW bernama Zainab binti Ali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “Ahlu al-Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(Surah al-Ahzab: 33)

Beliau ialah Zainab binti Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib al-Hasyimiyyah. Beliau adalah cucu kepada Rasulullah SAW. Ibunya pula ialah Fatimah al-Zahra’.

Ibn al-Asir menyebutkan, Zainab dilahirkan semasa Nabi SAW masih hidup. Beliau adalah seorang wanita yang cerdik (berakal) dan cerdas, serta petah berkata-kata. Bapanya iaitu Ali R.A telah menikahkannya dengan anak saudaranya, Abdullah bin Jaafar. Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan anak yang bernama Ali, ‘Aun al-Akbar, Abbas, Muhammad, Ummu Kulthum, Ruqayyah (tetapi dia meninggal dunia sebelum mencecah usia baligh) dan Jaafar.

Selain daripada itu, Zainab juga ada bersama saudara lelakinya, al-Husain R.A saat beliau dibunuh. Lalu Zainab dibawa ke Damsyik dan dibawa bertemu dengan Yazid bin Mu‘awiyah. Ucapan atau kata-katanya kepada Yazid bin Mu‘awiyah ketika al-Syami meminta saudara perempuannya Fatimah sangat masyhur dan ia menunjukkan kepada kepintaran dan keteguhan hatinya. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/166-167; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 6/132-133 al-Tabaqat al-Kubra, 8/465; Imta‘ al-Asma‘ bi ma li al-Nabi min al-Ahwal wa al-Amwal al-Hafadah wa al-Mata’, 5/371; al-Zurriyyah al-Tahirah al-Nabawiyyah, hlm. 119).

Zainab binti Ali telah menetap di Madinah selepas al-Husain gugur syahid, dan begitu juga selepas syahidnya dua orang anak lelakinya; ‘Aun dan Muhammad. Beliau telah hidup selepas kesyahidan mereka selama lebih dari setahun. Disebutkan bahawa Zainab meninggal dunia di sisi suaminya, Abdullah bin Jaafar. Ada pendapat yang menyatakan bahawa Zainab binti Ali meninggal dunia pada tahun 62 Hijrah, dan dikebumikan di perkuburan Baqi‘ di Madinah Munawwarah. Ada juga yang berpendapat bahawa beliau dikebumikan di Mesir, dan ada juga yang berpendapat, beliau dikebumikan di Syam.

Walau bagaimanapun, pendapat yang lebih tepat adalah tidak ada mana-mana pendapat mahupun nas yang sahih lagi putus dalam perkara tersebut. Akan tetapi sebahagian ulama menyatakan, tidak disebutkan bahawasanya Zainab binti Ali pernah pergi ke Mesir dan begitu juga tidak terdapat mana-mana sumber yang dipercayai menunjukkan keluarnya dari Madinah Munawwarah. Justeru, pendapat yang tepat dalam hal ini di sisi para ulama adalah beliau wafat di Madinah dan dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat al-Lu’lu’ al-Maknun fi Sirah al-Nabi al-Makmun, 2/513; Nisa’ Ahl al-Bait fi Dhau’ al-Quran wa al-Hadith, hlm. 648-649). (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 350-351)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H