#3936: Benarkah Orang Gila Dilarang ke Masjid ?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah orang gila dilarang ke masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada hadith Wathilah, bahawa Nabi SAW bersabda:

جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ مَجَانِينَكُمْ، وَصِبْيَانَكُمْ، وَرَفْعَ أَصْوَاتِكُمْ

Maksudnya: Jauhi masjid-masjid kamu daripada orang-orang gila dalam kalangan kamu, anak-anak kecil dalam kalangan kamu, dan orang yang meninggikan suara dalam kalangan kamu.

Riwayat Ibn Majah (750) dan Al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8/132)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Abdul Razzaq berkata berkenaan hadith ini: Hadith ini tiada asalnya. Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Setiap jalur dan sanadnya, semuanya bermasalah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/123)

Al-Lajnah al-Daimah ketika ditanya berkenaan bagaimanakah hukum anak kecil serta  orang gila yang memasuki masjid?, maka mereka menjawab: Hendaklah wali bagi orang gila tersebut berusaha untuk melarangnya daripada memasuki masjid, bagi mengelakkan bahaya dan gangguan yang akan ditimbulkan di masjid dan bagi orang-orang yang sedang solat di dalamnya, dalam masa yang sama, perlu berusaha untuk mengubati penyakit gilanya. Adapun anak-anak kecil, maka tidak perlu dilarang mereka daripada memasuki masjid jika mereka bersama penjaga mereka, ataupun mereka sendirian jika sudah mumayyiz, iaitu mereka yang sudah berumur tujuh tahun ke atas, mereka tidak perlu dilarang memasuki masjid untuk menunaikan solat bersama kaum muslimin.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 6/279)

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa orang gila perlu dihalang oleh penjaganya daripada memasuki masjid, bagi mengelakkan bahaya dan gangguan yang akan ditimbulkan di masjid dan bagi orang-orang yang sedang solat di dalamnya, dalam masa yang sama, penjaganya perlu berusaha untuk mengubati penyakit gilanya.

Kami juga katakan dengan kedatangan orang gila akan memberi tekanan kepada orang lain kerana boleh jadi berlaku tindakan yang kasar dan ganas sedangkan kegilaan tersebut mendapatkan dia tidak tertaklif dengan sebarang hukum.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ. وَفِيْ رِوَايَةٍ: وَعَنِ المعتوهِ حتى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.” Dalam riwayat lain: “dan cacat mental hingga dia berakal (sembuh).”

Riwayat Abu Dawud (4403), Ahmad (1183),  Tirmizi (1423), Nasa’i (3432), dan Ibn Majah (2041)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H