#3957: Faedah daripada Niat Bersyarat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah faedah daripada niat bersyarat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berkenaan persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

دَخَلَ اَلنَّبِيُّ ‏- صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏-عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ اَلزُّبَيْرِ بْنِ عَبْدِ اَلْمُطَّلِبِ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا, فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ! إِنِّي أُرِيدُ اَلْحَجَّ, وَأَنَا شَاكِيَةٌ، فَقَالَ اَلنَّبِيُّ ‏- صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏- حُجِّي وَاشْتَرِطِي: أَنَّ مَحَلِّي حَيْثُ حَبَسْتَنِي.

Maksudnya: “Nabi SAW masuk menemui Dhuba’ah binti Zubair binti ‘Abd al-Muttalib, dan dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin melaksanakan ibadah haji, sementara aku sedang sakit.” Nabi SAW bersabda: “Kerjakanlah haji dan tetapkanlah syarat: “Sesungguhnya tempat tahallulku adalah di mana Engkau menahanku.”

Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207)

Menjawab persoalan di atas, niat bersyarat memberikan dua faedah:

  • Apabila terhalang oleh musuh, penyakit atau kehilangan harta sehingga menyebabkan dirinya tertegah untuk meneruskan ibadah haji, maka di sini, seseorang boleh melakukan tahallul.
  • Apabila seseorang telah bertahallul kerana uzur, maka dia tidak wajib untuk kekal berada di dalam ihramnya. Dia juga tidak wajib mengqadha’ serta membayar tebusan.

Maka, niat bersyarat seseorang kepada Tuhannya dengan ungkapan, “Apabila seseorang menahanku, maka tempat tahallulku di mana sahaja dia menahanku,” mengisyaratkan kebebasan yang mutlak ketika ada keuzuran.

Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/208).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H