#3989: Biografi Hasan bin ‘Ali

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan siapakah Hasan bin ‘Ali iaitu cucu Nabi SAW dan juga hadith yang diriwayatkannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

(Surah al-Ahzab: 33)

Menjawab persoalan di atas, nama lengkap beliau ialah Abu Muhammad, al-Hasan bin Ali bin Abi Talib bin Abdul Mutalib bin Hasyim al-Qurasyi al-Hasyimi, cucu Rasulullah SAW, putera dari puteri Baginda SAW, iaitu Fatimah al- Zahra dan raihanah (kesayangan) baginda. Orang yang paling mirip wajahnya dengan Baginda SAW. Lahir pada pertengahan Ramadhan tahun 3 H. Rasulullah SAW mentahniknya dengan lidah baginda dan menamakannya dengan nama al-Hasan. Beliau adalah putera tertua All bin Abi Talib RA Rasulullah SAW sangat mencintainya, memeluknya dan bermain dengannya. Kadangkala dia mendatangi Rasulullah SAW ketika Baginda sedang sujud lalu naik ke atas belakang Baginda Baginda membiarkannya dan memanjangkan sujud kerananya. Dan kadangkala Baginda membawanya naik ke atas mimbar.

Dalam hadith sahih, disebutkan bahawa ketika Rasulullah SAW berkhutbah, Baginda melihat al-Hasan dan al-Husain datang menghampirinya. Baginda turun dari mimbar dan mendukung mereka berdua lalu membawa keduanya naik ke atas mimbar, kemudian Baginda bersabda: “Maha Benar Allah SWT.. ‘Sesungguhnya hartamu dan anak anakmu hanyalah cubaan (bagimu),’ (Surah al-Taghabun:15).

Sesungguhnya aku melihat kedua anak ini berjalan dan jatuh, aku tidak sabar hingga turun mengambil keduanya.” Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya kamu (anak-anak tersebut) termasuk kesayangan Allah SWT. Dan kamu membuat kami bakhil dan penakut.”

Dalam Sahih al-Bukhari (3750), disebutkan bahawa Abu Bakar R.A mengimami kaum muslimin solat beberapa malam setelah Rasulullah SAW wafat. Kemudian beliau bersama Ali berjalan keluar. Lalu beliau melihat al-Hasan sedang bermain bersama anak-anak lainnya. Abu Bakar lalu mendukung al-Hasan di atas belakangnya seraya berkata: “Demi Allah SWT, anak ini sangat mirip dengan Rasulullah SAW, “tidak mirip dengan Ali.” Ali R.A hanya tertawa mendengarnya.

Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, beliau berkata: “Aku pernah melihat Rasulullah SAW, dan al-Hasan bin Ali adalah orang yang paling mirip dengan Baginda.”

Ibn Sa’ad meriwayatkan bahawasanya apabila al-Hasan bin Ali solat subuh di masjid, setelah selesai solat, beliau duduk di tempat solat dan berzikir sehingga matahari meninggi. Para tokoh ulama dan pembesar duduk berbincang-bincang bersama beliau. Kemudian beliau pulang dan menemui Ummahat al-Mukminin untuk mengucapkan salam kepada mereka. Kadangkala Ummahat al-Mukminin memberi buah tangan buat beliau. Selepas itu beliau pulang ke rumah. Allah SWT membahagikan harta kepada beliau sebanyak tiga kali dan beliau menginfaqkannya sebanyak dua kali, Beliau menunaikan haji dua puluh lima kali dengan berjalan kaki, sementara unta-unta diheret di depan beliau.

Cukuplah kelebihan al-Hasan Bin Ali dengan pujian Rasulullah SAW kepadanya:

إن ابني هَذَا سَيدٌ، وَلَعَل الله أنْ يُصْلِحَ بِهِ بَيْنَ فَلَتَيْنِ عَظِيمَتَيْنِ مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya anak aku ini (cucuku) adalah penghulu, semoga Allah akan mendamaikan dengannya dua kelompok besar di kalangan orang Islam.”

Riwayat al-Bukhari (2704), Abu Dawud (4662), al-Tirmizi (3773), al Nasa’ie (1410) dan Ahmad (20392)

Muhammad bin Ishaq berkata, Musawir maula Bani Sa’ad bin Bakar menyampaikan kepadaku, beliau berkata: “Aku melihat Abu Hurairah R.A berdiri di masjid Rasulullah SAW pada hari wafatnya al-Hasan bin Ali, lalu beliau melaung dengan suara yang kuat: “Wahai sekalian manusia, pada hari ini, kekasih Rasulullah SAW telah wafat, tangisilah pemergiannya.”

Manusia berkumpul menghantar jenazahnya sehingga sampai di perkuburan Baqi’ yang penuh sesak dengan orang ramai yang datang menziarahi. Lelaki, wanita dan kanak-kanak menangisi pemergian beliau. Ibn ‘Ulayyah meriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad, daripada ayahnya: “Al-Hasan wafat ketika usia empat puluh tujuh tahun. Demikianlah yang dikatakan oleh sejumlah para ahli sejarah dan itulah yang benar. Menurut pendapat yang masyhur, beliau wafat pada tahun 49 H. Sementara yang lain mengatakan, beliau wafat pada tahun 50 H.”

Antara hadith yang diriwayatkan beliau ialah: Daripada Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abu Talib R.Anhuma, cucu Rasulullah SAW dan orang kesayangan Baginda. Beliau berkata: Aku telah menghafal daripada Rasulullah SAW hadis:

دَعْ مَا يَرِيْبُكَ، إِلَى مَا لَا يَرِيْبُكَ

Maksudnya: “Tinggallah apa yang menjadi keraguan padamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi dalam Sunan (4/668) no. (2520) Kitab Sifat Kiamat, al-Nasaie dalam Sunan (4/732) no. (5727) Kitab al-Asyrabah.

(Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 129-131)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H