#4011: Mimpi Abdullah ibn Mubarak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Abdullah ibn Mubarak pernah bermimpi berkenaan Permaisuri Zubaidah dan Imam Ahmad?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nama penuh beliau ialah ‘Abdullah b. al-Mubark b. Wadhih al-Handhali al-Tamimi. (Lihat Tazkirah al-Huffaz dan Tahzib al-Asma wal-Lughat). Beliau dilahirkan pada tahun 118 H di Marw yang merupakan salah satu bandar di Khurasan (sekarang dikenali sebagai Afgahnistan dan Asia Tengah). Kota Marw adalah sebuah kota yang terkenal sebagai bandar keilmuan dan ramai ulama’ yang menuntut ilmu di sini seperti Imam Ahmad bin Hanbal. Abdullah ibn al-Mubarak membesar di kota ini sehingga beliau berusia 20 tahun dan mula bermusafir keluar dari bandar tersebut untuk mencari ilmu. (Lihat Tahzib al-Tahzib, 5/386)

Ayah beliau ialah Mubarak yang berasal dari Turki dan merupakan seorang hamba kepada seorang peniaga kaya dari Bani Hanzalah. Salah satu cerita menarik berkenaan Mubarak adalah ketika beliau bekerja di kebun milik tuannya. Kisah ini disebut di dalam kitab Shazarat al-Zahab dan Wafayat al-A’yan:

Mubarak telah ditugaskan untuk menjaga kebun buah-buahan milik tuannya selama beberapa tahun. Satu hari, ketika Mubarak sedang sibuk bekerja di kebun tersebut, tuannya datang untuk melawat kebunnya. Tuannya berkata kepada Mubarak: “Ambillah satu buah delima yang manis untukku,” Mubarak segera memetik satu buah dari pohon di situ dan memberi kepada tuannya. Sebaik sahaja tuannya merasa buah delima tersebut, tuannya berkata: “Aku minta kepadamu yang manis tetapi kamu berikan kepadaku yang masam. Berikan kepadaku yang manis!” Mubarak pun pergi memetik buah dari pohon yang lain dan beri kepada tuannya. Tetapi buah itu juga masam dan tuannya memarahinya dan mintanya berikan yang manis. Ini berlaku sebanyak 3 kali dan kemudian tuannya berkata: “Adakah kamu tidak tahu mana yang manis dan mana yang masam?” Jawab Mubarak: “Tidak.” Tuannya bertanya: “Macam mana kamu tidak tahu sedangkan kamu yang menjaga kebun ini bertahun-tahun.” Mubarak menjawab: “Ya, tetapi saya tidak pernah rasa atau makan walau sedikit dari buah-buahan di kebun ini.” Tuannya bertanya: “Kenapa kamu tidak pernah rasa buah di kebun ini?” Mubarak menjawab: “Kerana tuan tidak pernah memberi keizinan kepada saya untuk memakannya.” Terpegun dengan kejujuran dan sifat amanah Mubarak tuannya kemudian mengahwinkan Mubarak dengan anak perempuannya yang juga daripada keturunan yang baik berasal dari Khawarizm. Hasil dari perkahwinan inilah akhirnya Abdullah ibn Mubarak dilahirkan dan dibesarkan di dalam keluarga yang soleh dan mementingkan sifat amanah dan jujur.

Pada bulan Ramadhan yang diberkati pada tahun 181 Hijrah, Ibn al-Mubarak meninggal dunia pada usia 63 tahun dan kematiannya adalah sejurus selepas beliau pulang dari pertempuran. Beliau dikebumikan di satu tempat bernama Heet, berdekatan Sungai Furat di Baghdad, ‘Iraq.

Dikatakan bahawa apabila kematian menghampirinya, Ibn al-Mubarak berkata kepada Nasr, seorang hamba: ‘Letakkan kepalaku di atas debu.’ Nasr mula menangis lalu dia berkata, ‘Mengapa kamu menangis?’ Nasr berkata, ‘Saya masih ingat bagaimana kamu dahulu hidup dalam keselesaan tetapi hari ini kamu mati dalam kemiskinan dan sebagai orang asing.’ Ibn al-Mubarak berkata kepadanya, ‘Jangan berkata demikian, kerana sesungguhnya aku telah memohon kepada Allah Yang Maha Tinggi untuk mengizinkan aku hidup dengan kehidupan orang kaya dan membiarkan aku mati sebagai orang miskin.’ (Lihat Ihya ‘Ulum al-Din)

 

Mimpi Abdullah ibn Mubarak

Ibnu Jauzi dalam Manaqib Imam Ahmad mengisahkan mimpi Abdullah ibn Mubarak, katanya, “Aku bermimpi melihat Permaisuri Zubaidah dan aku bertanya, apa yang Allah lakukan terhadapnya? Jawabnya, “Allah mengampunkan dosaku pada awal kapak atau galian telaga yang mengahala ke kota suci Makkah.”

Kemudian, Abdullah ibn al-Mubarak bertanya apa sebab ada sedikit tompokan kuning pada wajah anda? Jawabnya, “Percikan api dengan sebab salah seorang yang mati di kalangan kami dikebumikan bersama kami yang bernama Bisyr al-Muraishi dan disambar dengan api. Menyebabkan gementar tubuhku.”

Kemudian, aku bertanya, “Bagaimana kedudukan Ahmad bin Hanbal?” Katanya, “Ketika ini Ahmad telah berpisah dan berada pada seekor burung dari permata yang putih yang ingin menziarahi Tuhan Yang Maha Perkasa.” Lantas, aku bertanya, “Kenapa Imam Ahmad berada pada tahap itu?” jawabnya, “Kerana kata-katanya bahawa al-Quran ialah kalam Allah yang bukan makhluk.”

Berdasarkan mimpi ini, jelas menunjukkan bahawa kapaka atau cangkul yang digunakan untuk membuat telaga dan usaha yang dilakukannya telah mendapat keampuanan Allah SWT.

Adapun Bisyr al-Muraishi beliau yang berkata al-Quran adalah makhluk dan menjadi penghujah utama bagi golongan Muktazilah yang menentang Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H