#4013: Maksud Usyur dan Kaedahnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami makna usyur dan kaedah yang dikenakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Usyur ialah bayaran cukai yang dikenakan ke atas peniaga bukan Islam yang diberikan keizinan untuk berulang-alik keluar dan masuk ke dalam negeri Islam.

Keadaan ini berlaku setelah luasnya wilayah Islam dan bersempadan dengan negara-negara lain. Hal tersebut menjadikan penduduk, khususnya di sempadan berulang-alik keluar masuk kerana urusan perniagaan yang berlaku sebelum kedatangan Islam lagi. Justeru, kerajaan Islam menerima hakikat tersebut yang menjadi keperluan hidup manusia bermasyarakat.

Ulama fiqh mentakrifkan usyur dengan maksud apa yang difardhu atau diwajibkan ke atas harta milik ahli zimmah yang digunakan untuk perniagaan ketika mana mereka masuk membawanya ke negeri Islam. (Lihat al-Awfat al-Fawaqih al-Dawani oleh al-Nafrawi, 1/339 dan al-Mughni oleh Ibn Qudamah, 9/278)

Inilah nas yang diriwayatkan dalam hadith:

إِنَّمَا الْعُشُورُ عَلَى الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى وَلَيْسَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ عُشُورٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya al-usyur dikenakan kepada orang Yahudi dan Nasara dan tiada dieknakan kepada orang Islam.”

Riwayat Abu Daud (3046)

Terdapat fakta sejarah yang menyatakan bahawa findakan mengenakan usyur dilakukan apabila Khalifah ‘Umar RA menerima surat daripada Abu Musa al-Asy’ari RA. Beliau memaklumkan kepada Khalifah, katanya:

أَنْ تُجَارًا مِنْ قِبَلِنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ يَأْتُونَ أَرْضَ الْحَرْبِ فَيَأْخُذُونَ مِنْهُمُ الْعُشْرَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya, kaum Muslimin apabila memasuki negara yang lain, mereka dikenakan bayaran usyur.”

Jelas Abu Musa al-Asy’ari RA bahawa negara lain telah mengenakan bayaran kepada peniaga Islam yang masuk berniaga di negeri mereka. Maka, surat itu dijawab oleh Khalifah ‘Umar RA:

خُذْ أَنْتَ مِنْهُمْ كَمَا يَأْخُذُونَ مِنْ تُجَارِ الْمُسْلِمِينَ.

Maksudnya: “Ambillah daripada para peniaga luar (bukan Islam) sebagaimana diambil bayaran daripada kaum Muslimin.” (Lihat al-Kharaj, hlm. 149)

Khalifah ‘Umar RA memerintahkan Abu Musa al-Asy’ari supaya mengambil bayaran daripada peniaga bukan Islam yang masuk berniaga di negara Islam sebagaimana dikenakan ke atas orang Islam.

Perkara ini dinamakan al-Mu’amalah bi al-Mithl berpandukan firman Allah SWT:

وَإِن عَاقَبتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُم بِهِ، وَلَين صبرتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّبِرِينَ

Maksudnya: “Dan jika kalian membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kalian membalas dengan kejahatan yang sama sepertimana yang telah ditimpakan kepada kalian, dan jika kalian bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Nahl: 126)

Rakyat bukan Islam diberikan hak untuk bekerja bagi memenuhi keperluan hidup mereka dan memiliki harta kekayaan. Sehinggakan, mereka diizinkan berniaga sesama mereka dalam barangan yang dibenarkan oleh agama mereka, walaupun barangan tersebut haram kepada orang Islam.

Terdapat dalam kalangan para ulama’, antaranya Abu Yusuf RH daripada Mazhab Hanafi yang mengizinkan usyur diambil daripada barangan seperti arak dan babi yang diperniagakan oleh kalangan bukan Islam sesama mereka. Akan tetapi, usyur tersebut diletakkan dalam simpanan khas dan dibelanjakan khusus untuk kalangan bukan Islam sahaja, tidak boleh disalurkan kepada penganut Islam.

Bayaran usyur dikenakan setahun sekali serta tidak boleh berulang dalam barangan yang sama dengan kadar yang terserah kepada kebijaksanaan kerajaan Islam. Malahan, kerajaan Islam juga boleh membatalkannya dalam barangan tertentu atau semuanya.

Hukum bagi usyur ini berbeza dengan zakat yang diwajibkan sepanjang masa dan di mana-mana sahaja kepada penganut Islam. Hal yang tersebut kerana zakat berkaitan dengan ibadat harta secara nas dan ia merupakan salah satu daripada rukun agama Islam.

Jelas sekali, perkara itu menunjukkan bahawa Islam meletakkan tanggungjawab bermasyarakat terhadap umat Islam secara wajib, berkonsepkan ibadat yang tidak boleh dibatalkan oleh sesiapa. Adapun cukai (usyur) yang dipungut daripada kalangan bukan Islam yang mengikut budi bicara kerajaan adalah boleh dibatalkan.

Kebanyakan ulama’ menyatakan bahawa usyur juga boleh dikenakan kepada semua daripada kalangan bukan Islam, sama ada rakyat (ahli zimmah) ataupun mereka yang diberikan kebenaran sementara. Demikian juga, sama ada daripada kalangan yang mempunyai perjanjian hubungan aman (al-Musta’min) ataupun daripada negara musuh (Dar al-Harb) yang diberikan kebenaran secara khusus melalui perjanjian yang dimeteraikan.

Kemudian, usyur turut dikenakan kepada kalangan mereka yang dinamakan sebagai Ahl al-‘Ahd. Pendekatan ini nyata berbeza dengan amalan antarabangsa pada zaman ini yang tidak menutup hubungan dagang dengan negara yang dianggap musuh. (Lihat Khalifah Umar FIqh Siyasah Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 388-391)

Sesungguhnya, sumber ekonomi Islam amat banyak seperti zakat, perniagaan, penternakan, perladangan, pertanian, nelayan dan lain-lain. Justeru, alangkah baiknya jika umat Islam mengemblengkan tenaga untuk maju ke hadapan dalam membina ekonomi yang mantap.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 1 November 2023 bersamaan 17 Rabiulakhir 1445 H