#50 Maksud Sebenar Nabi ‘Isa Membunuh Khinzir

SOALAN

Apakah yang dimaksudkan dalam hadith berkenaan Nabi ‘Isa AS membunuh khinzir? Adakah ini bermakna Muslim langsung tidak boleh berubat dengannya kerana najis walaupun dalam keadaan tiada ubatan lain yang halal dan sesuai pada masa tersebut?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat serta salam ke atas junjungan yang mulia Nabi Muhammad SAW, seterusnya ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Daripada Abu Hurairah R.A , Nabi SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ ‌لَيُوشِكَنَّ ‌أَنْ ‌يَنْزِلَ ‌فِيكُمُ ‌ابْنُ ‌مَرْيَمَ حَكَمًا عَدْلًا فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ وَيَقْتُلَ الْخِنْزِيرَ وَيَضَعَ الْجِزْيَةَ وَيَفِيضَ الْمَالُ حَتَّى لَا يَقْبَلَهُ أَحَدٌ حَتَّى تَكُونَ السَّجْدَةُ الْوَاحِدَةُ خَيْرًا مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا ثُمَّ يَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ وَاقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ وَإِنْ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ إِلا لَيُؤْمِنَنَّ بِهِ قَبْلَ مَوْتِهِ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكُونُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا

Maksudnya: “Demi yang jiwaku ditanganNya sungguh hampir saja turun kepada kalian Isa bin Maryam sebagai Hakim yang Adil, Dia mematahkan salib, dan membunuh babi, dan meletakkan jizyah, tidak menerimanya dari orang kafir, datang harta yang banyak namun tidak ada seorangpun yang mau menerimanya, sehingga satu sujud lebih baik dari dunia seisinya. Kemudian Abu Hurairah berkata : jika kalian mahu bacalah ayat Allah: Tidak seorangpun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya sebelum kematiannya, dan di hari kiamat nanti Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3448)

Para ulama’ menyatakan beberapa pandangan tentang maksud Nabi ‘Isa membunuh khinzir.

  1. Jabir berkata: “Ia adalah dalil bahawa khinzir adalah haram dalam syariat Nabi ‘Isa. Baginda membunuhnya sebagai menafikan pandangan orang Nasrani yang menyatakan ia adalah halal dalam syariat mereka. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/344).
  2. Al-Muhallab berkata: “Ia membawa maksud semua manusia akan memeluk Islam dan tidak ada yang berbeza dengannya [Nabi ‘Isa]. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/345). Beliau juga menyebutkan: “Kedua-duanya [mematahkan salib dan membunuh khinzir] dalam agama Nasrani yang menyeleweng dan melampaui batas dalam syariat mereka kepada Nabi ‘Isa AS. Nabi SAW mengkhabarkan bahawasanya Nabi ‘Isa AS akan menggantikan apa yang dinisbahkan kepadanya sebagaimana Nabi Muhammad SAW menggantikannya dan mengajar mereka bahawasanya mereka dalam kebatilan. Ini menunjukkan Nabi Isa AS akan datang untuk mengesahkan syariat Nabi Muhammad, menghukumkan dengan adil antara penganutnya.” (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/604).
  3. Maulana Anwar Shah al-Kasymiri berkata: “Kerana Nasrani menghalalkannya dalam keadaan syarikat kita mengharamkannya. Begitu juga dalam syariat Nabi ‘Isa AS juga. Pandangan dalam sebahagian kitab kita yang menyatakan ia adalah halal di sisi mereka adalah tidak sahih. Bahkan asalnya ia adalah haram ke atas mereka segala yang berkuku, sebagaimana yang dinyatakan dalam al-Qur’an. Mereka berbeza pandangan dalam mentafsirkannya. Penganut Nasrani menyangka khinzir tidak termasuk dalam pengharaman itu maka mereka menjadikannya halal dalam ijtihad mereka yang rosak. Ia bukan kerana khinzir dihalalkan dalam syariat mereka.” (Lihat Faidh al-Bari, 3/490).
  4. Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Dihapuskan khinzir-khinzir, bagi menzahirkan pengharamannya untuk dimakan. Ia juga bermaksud celaan kepada Nasrani yang mendakwa sebagai pengikut Nabi Isa AS, kemudian mereka menghalalkan makan khinzir dan menyukainya.” (Lihat Fath al-Bari, 4/414).

Secara asasnya, Nabi SAW memberi kebebasan kepada umat Baginda untuk menggunakan bahan-bahan tertentu sebagai ubat dalam merawat sesuatu penyakit, namun Baginda melarang penggunaan bahan-bahan yang diharamkan. Diriwayatkan oleh Abu Darda’ R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ الدَّاءَ وَالدَّوَاءَ ، وَجَعَلَ لِكُلِّ دَاءٍ دَوَاءً فَتَدَاوَوْا وَلاَ تَدَاوَوْا بِحَرَامٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat dan menyediakan bagi setiap penyakit itu ubat. Maka berubatlah, dan janganlah kamu berubat dengan benda yang diharamkan.”

Riwayat Abu Daud (3870)

Al-Tibi berkata: Sesungguhnya Allah SWT menciptakan setiap penyakit itu ada ubatnya sama ada yang haram atau yang halal. Justeru, jangan sekali-kali menggunakan dengan cara pengubatan yang haram. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqaiq al-Sunan, 9/2963).

Juga berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Wa’il al-Hadrami, bahawa Tariq bin Suwaid al-Ju’fi R.A bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan arak. Kemudian Baginda melarang atau tidak menyukai untuk dia melakukannya. Tariq berkata: “Sesungguhnya aku melakukannya untuk berubat”. Maka Baginda SAW bersabda:

‌إِنَّهُ ‌لَيْسَ ‌بِدَوَاءٍ، ‌وَلَكِنَّهُ ‌دَاءٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia (arak) bukan ubat, akan tetapi ia merupakan suatu penyakit.”

Riwayat Muslim (1984)

Imam al-Nawawi menjelaskan hukum berubat dengan bahan yang najis dengan katanya: “Adapun berubat dengan najis-najis selain daripada arak, maka ia adalah dibolehkan sama ada terdapat padanya keseluruhan najis selain suatu yang memabukkan. Inilah pendapat mazhab dan pendapat yang dinaskan dan inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur.

Sesungguhnya yang membolehkan berubat dengan najis hanyalah apabila tidak terdapat bahan yang suci yang boleh menggantikan tempatnya. Sekiranya terdapat bahan yang suci (untuk digunakan dalam merawat), maka haram (menggunakan) najis-najis tanpa sebarang khilaf. Hukumnya haram ketika wujud selainnya (bahan yang suci) dan ia tidak haram sekiranya tidak terdapat bahan selainnya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/50-51).

Pendapat beliau yang mengatakan bahawa najis selain arak dibenarkan untuk dijadikan rawatan adalah berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata:

‌أَنَّ ‌نَفَرًا ‌مِنْ ‌عُكْلٍ ثَمَانِيَةً، قَدِمُوا عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعُوهُ عَلَى الْإِسْلَامِ، فَاسْتَوْخَمُوا الْأَرْضَ فَسَقِمَتْ أَجْسَامُهُمْ، فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: أَفَلَا تَخْرُجُونَ مَعَ رَاعِينَا فِي إِبِلِهِ، فَتُصِيبُونَ مِنْ أَلْبَانِهَا وَأَبْوَالِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat sekumpulan rombongan daripada bani ‘Ukl seramai lapan orang telah datang kepada Rasulullah SAW dan mereka berbai’ah kepada Baginda ke atas Islam. Kemudian mereka tidak selesa dengan cuaca di Madinah sehingga menyebabkan tubuh badan mereka menjadi sakit. Lalu mereka mengadu akan hal tersebut kepada Rasulullah SAW. Baginda berkata: “Apa kata kamu keluar bersama dengan penggembala kami pergi ke arah untanya, lalu kamu merasa susunya serta air kencingnya.”

Riwayat al-Bukhari (6899)

Umum mengetahui bahawa air kencing adalah najis. Maka, saranan Rasulullah SAW agar mereka merawat kesakitan yang dihidapi dengan cara meminum susu dan juga air kencing unta menjadi sandaran kepada sebahagian fuqaha’ untuk membenarkan perbuatan berubat dengan najis selain arak, selama mana tidak terdapat bahan suci lain yang boleh digunakan.

Islam begitu tegas dalam perkara yang haram dengan menutup segala jalan yang menyebabkan perkara haram sama ada secara jelas ataupun tersembunyi. Namun, Islam tidak pernah mengabaikan situasi-situasi darurat dan keterbatasan manusia dalam menghadapi situasi itu. Ia mengharuskan manusia ketika darurat mengambil perkara haram sekadar mampu menyelamatkan mereka kepada binasa. Allah SWT menerangkan:

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang dia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas, maka dia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Baqarah: 173)

Dalam masa yang sama, keadaan darurat menyebabkan diharuskan untuk melakukan perkara-perkara yang terlarang. Ini berdasarkan satu kaedah fiqh yang masyhur:

الضَّرُورَات تُبِيحُ المحْظُورَات

Maksudnya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang”

Sebagai contoh, ubat yang berasal daripada bahan-bahan yang haram dibenarkan dalam perubatan jika disyorkan oleh doktor yang dipercayai pegangan dan amalan agamanya serta mempunyai kepakaran di samping terbukti tiada ubat lain yang halal untuk diambil pada masa tersebut.

Dapat disimpulkan bahawa penurunan Nabi ‘Isa AS antaranya membenarkan syariat Rasulullah SAW dengan mematahkan salib dan membunuh khinzir bagi menafikan kepercayaan Nasrani. Tidak dinyatakan secara terperinci dalam syarak adakah semua khinzir dibunuh atau sebahagiannya. Adapun mentakwilkan pembunuhan khinzir oleh Nabi ‘Isa AS sebagai larangan secara mutlak bagi penggunaan khinzir dalam tujuan perubatan jika keadaan darurat, ia adalah takwilan yang tidak benar. Saya menyarankan umat Islam untuk tidak bermudah-mudahan dalam mentakwil hadis ini sehingga  terkeluar daripada disiplin ilmu dan maksud sebenar hadis. Wallahu a’lam. Tamma bi hamdillah.