#63 Membaca al-Quran Ketika Haid

Soalan

Assalamualaikum, saya merupakan pelajar di sebuah sekolah tahfiz yang sangat menekankan pelajarnya untuk mengejar sukatan hafazan al-Quran serta mengulanginya. Persoalan saya, adakah perempuan dalam keadaan haid dibolehkan untuk membaca al-Quran?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam masalah wanita membaca al-Quran ketika haid, terdapat dua pandangan.

  1. Ini merupakan pendapat Kebanyakan Fuqaha. Mereka melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam haid dan sedang berjunub berdasar kepada hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

لاَ تَقْرَأُ الحَــائِضُ وَلاَ الجُــنُبُ شَــْـيئاً مِنَ القُرأَنِ

Maksudnya:Tidak dibolehkan wanita di dalam haid dan yang berjunub membaca sedikit pun daripada al-Quran.”

Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596). [1]

  1. Inilah pendapat ulama Malikiah mengikut riwayat yang sahih mengatakan bahawa: Dibolehkan untuk memegang al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana hari-hari haid itu berlangsung adalah cukup lama. Maka, jika mereka dilarang daripada membaca al-Quran, dibimbangi bahawa mereka akan melupakan al-Quran. Sedangkan berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid. Ianya juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz Al-Quran untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupakan hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid dan nifas.

Inilah juga pendapat tokoh ulama silam seperti Imam al-Bukhari, al-Tabari, Ibn Munzir, Daud, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul qadimnya dan kebanyakan ulama masa kini. Antaranya Syeikh al-Uthaimin dan lain-lain. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 1/461).

Malah dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga dibolehkan untuk membaca al-Quran sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Majmu’ al-Fatawa: “Membaca al-Quran bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Quran dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi jika dia yakin bahawa tidak melupakan bacaan al-Quran tersebut maka tak perlulah dia membacanya.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 1/636).

Antara pandangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 14 Syawal 1437 bersamaan 19 Julai 2016 telah membuat keputusan seperti berikut:[2]

“Hukum wanita haid membaca al-Quran menurut qaul muktamad dalam mazhab Syafi’i ialah haram sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Walaubagaimanapun, adat budaya pada zaman sekarang dalam mempelajari al-Quran sudah berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu yang mana salah satu kemajuannya adalah ianya telah menjadi satu bidang yang diiktiraf di peringkat Negara dan juga antarabangsa.

Justeru, pandangan ulama’ kontemporari seperti mantan syeikh al-Azhar, Syeikh Jadd al-Haq AliJadd al-Haq dan selainnya yang mengharuskan pelajar wanita yang dalam keadaan haid untuk menghafaz al-Quran dan membacanya atas faktor peperiksaan atau ujian adalah lebih sesuai untuk dijadikan hukum berdasarkan kepada kaedah darurat atau masyaqqah dan juga maslahah kerana waktu peperiksaan adalah terhad dan terbatas. Keharusan dalam maslah ini juga boleh disandarkan kepada qaul qadim Imam Syafi’i yang menyatakan bahawa ’wanita yang sedang dalam haid harus membaca al-Quran.’”

Pandangan Ulama’

Syeikh al-Dasuqi al-Maliki berkata: “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an dalam keadaan adanya darah sekalipun telah berlaku janabah sebelum itu.” (Lihat Hasyiah ala al-Syarh al-Kabir al-Dardir, 1/284).

Syeikh Soleh Abd al-Sami’ al-Abi berkata: “Tidak ditegah dengan sebab haid membaca al-Qur’an tanpa menyentuh Qur’an.” (Lihat Jawahir al-Iklil, 1/32).

Al-Mardawi al-Hanbali berkata: “Ditegah wanta haid daripada membaca al-Quran secara mutlak dan inilah yang sahih dalam mazhab Hanbali tetapi ada pendapat menyatakan tidak ditegah. Inilah yang dipilih oleh Syeikh Taqiyuddin Ibn Taimiyyah” (Lihat al-Insaf, 1/347).

Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Rusyd dan Ibn Battal bahawa dikehendaki Imam al-Bukhari yang berdalilkan keharusan membaca al-Quran bagi haid dan junub sedangkan tidak sah dari sisi musannif sesuatu pun hadis tentang itu. (Lihat Fath al-Bari, 1/486).

Tarjih

Kesimpulannya, membaca al-Quran ketika dalam haid adalah DIBOLEHKAN berdasarkan sebab-sebab yang telah diterangkan. Kami menegaskan satu pendapat yang cukup baik yang dikemukakan oleh mantan Syeikh al-Azhar Jada al-Haq Ali Jada al-Haq melalui bukunya Buhuthun wa al-Fatawa. Antara lain menyebut kebolehan pelajar wanita yang dalam keadaan haid menghafaz al-Quran dan membacanya ketika haid kerana peperiksaan atau ujian. Ini disebabkan kerana waktu tersebut adalah terhad dan terbatas. Justeru, kaedah darurat atau masyaqqah amat sesuai digunakan.

Direkodkan bahawa Saidatina Aishah membaca a-Quran dalam keadan haid. Inilah yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (1/357), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2/98), Ibn Rajab dalam Fath al-Bari (1/46), Ibn Hazm dalam al-Muhalla (1/78-79).

Ini juga pendapat Ibn Abbas, Ibn Musayyib yang menyatakan keharusan membaca al-Quran bagi wanita haid termasuk Muhammad ibn Maslamah.

Terdapat pendapat yang mengatakan bahawa hukum wanita haid adalah sama dengan hukum wanita nifas dalam bab membaca al-Quran yang mana wanita tersebut boleh memegang dan membaca al-Quran sekiranya wanita tersebut adalah guru atau murid. (Lihat Hasyiah al-Dasuqi, 1/175).

 

[1] Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Awasim wa al-Qawasim (4/32) menyatakan dalam sanad hadith ini terdapat Ismail bin Ayyash yang meriwayatkan selain daripada ahli negerinya dan hadith ini terdapat dua jalur dan kedua-duanya dhaif.

[2] Lihat: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15939.