SOALAN
Assalamualaikum ustaz. Baru-baru ini majikan di tempat kerja saya mengkhabarkan dia nak belanja kami makan tengahari. Saya tidak tahu sumbernya tapi boleh jadi wang judi kerana majikan saya ada main judi. Bagaimana hukumnya?
JAWAPAN
Jika saudara tahu dengan jelas wang yang akan digunakan adalah wang hasil berjudi misalnya, haram saudara memakannya. Allah SWT memerintahkan kita untuk makan dan minum daripada hasil yang halal. Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.” (Surah al-Baqarah: 172)
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnyaAllah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT bersabda: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kami beramal soleh). Dan Allah SWT berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang rambutnya kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan kelangit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?” Riwayat Muslim (1015)
Jika sumbernya tidak jelas dan bercampur antara halal dan haram atau diketahui lebih banyak daripada sumber haram, tidak diharamkan saudara memakannya namun ia dimakruhkan. Inilah pendapat para ulama’ al-Syafi’iyyah antaranya Imam al-Nawawi. Beliau menyebutkan:
مَنْ أَكْثَرُ مَالِهِ حَرَامٌ، كُرِهَتْ إِجَابَتُهُ كَمَا تُكْرَهُ مُعَامَلَتُهُ.
Maksudnya: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya. (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 337/7).
Sebaiknya, saudara tidak memakannya atas faktor wara’ (mengelakkan syubhah). Elaklah sedaya upaya untuk memakannya namun jika tidak dapat dielakkan, ia tidak dianggap satu dosa. Bertaubatlah kepada Allah dan sedekahkan sebahagian pendapatan saudara untuk agama-Nya contohnya untuk kerja-kerja kebajikan atau ke masjid dan surau. Wallahu a’lam. Sabda Nabi SAW:
اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ، وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الحَسَنَةَ تَمْحُهَا، وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ
Maksudnya: “Takwalah kepada Allah dimana kamu berada dan ikutilah kejahatan dengan kebaikan nescaya dia menghapuskannya dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang mulia.” Riwayat al-Tirmizi (1987)