#6 Berwuduk dengan Air Banjir

SOALAN

Sekiranya ketiadaan air bersih, adakah mangsa banjir boleh menggunakan air banjir untuk berwuduk?

JAWAPAN

Seboleh-bolehnya carilah air mutlak untuk berwuduk namun jika tidak ditemui, boleh digunakan air banjir kerana ia adalah suci. Ini berdasarkan kenyataan Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman Bafadhal

وَلَا يضر تغير بمكث وتراب وطحلب وَمَا فِي مقره وممره

Maksudnya: “Tidak menjadi masalah perubahan air kerana tidak bergerak dalam waktu yang lama oleh kerana debu, lumut dan apa yang menetap dalam tempat menetapnya air dan tempat mengalirnya air.” (Lihat al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, hlm. 21).

Hal ini juga ada disebutkan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili:

“Sekiranya air berubah pada warna, bau, dan rasanya sama ada disebabkan oleh lamanya menetap, disebabkan debu tanah, lumut, tanah kibrit (sulfur), dan kesemua yang susah untuk dipelihara darinya, maka ia kekal suci lagi menyucikan. Adapun jika air tersebut telah digunakan untuk berwuduk, mandi, serta menghilangkan najis maka ia tidak lagi berada dalam keadaan suci lagi menyucikan.” (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’i, 1/38).

Jika seseorang itu meyakini bahawa air banjirnya telah bercampur dengan banyaknya najis, maka tidak boleh digunakan untuk berwuduk. Adapun jika ia hanya sangkaan ataupun keraguan, ia tidak menggugat kesucian air banjir untuk berwudhu’. Ini berdasarkan kaedah

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”

Juster, penggunaan air banjir bagi tujuan berwuduk adalah dibolehkan syara’ sekiranya tidak ditemui bekalan air bersih dan mutlak.  Wallahu a’lam.