SOALAN
Ustaz, saya ada hobi mengumpul figura robot yang mana sesetengahnya berbentuk mirip manusia dan hobi ni sikit sebanyak terpalit kepada anak saya tapi anak saya lebih kepada Ultraman dan Kamen Rider. Mohon penjelasan ustaz apa hukum menyimpan figura/patung mainan ini.
JAWAPAN
Saya menyarankan sesuatu hobi yang kita pilih itu biarlah yang membuatkan dekat kita dengan Tuhan. Contohnya, aktiviti sukarelawan membantu kebajikan dan pendidikan golongan fakir dan miskin, membersihkan tandas-tandas masjid, dan membeli bahan bacaan yang baik dan membacanya.
Tidak ada masalah untuk memiliki patung-patung kecil sebagai permainan, asalkan tidak disucikan, didewakan dan membawa kepada pembaziran. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Aisyah R.Anha :
كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – وَكَانَ لِى صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِى ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَىَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِى
Maksudnya: “Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku”.
Riwayat al-Bukhari (6130)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkomentar: “Para ulama berdalil dengan hadis ini akan bolehnya patung boneka berupa perempuan dan bolehnya mainan untuk anak perempuan. Hadis ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang membuat tandingan yang serupa dengan ciptaan Allah. Kebolehan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau katakan bahwa inilah pendapat majoriti ulama.” (Lihat Fath al-Bari fi Syarh Sahih al-Bukhari, 10/527).
Pepatah Arab ada menyebutkan:
من شب على شئ شاب عليه
Maksudnya: “Barang siapa pada masa mudanya biasa berbuat atas sesuatu, nescaya pada masa tuanya terbiasa atas sesuatu itu.”
Sebahagian salafussoleh pernah berkata:
التوفيق خير قائد، وحسن الخلق خير قرين، والعقل خير صاحب، والأدب خير ميراث
Maksudnya: “Sebaik-baik ketua adalah panduan daripada Allah, sebaik-baik teman adalah akhlak yang baik, sebaik-baik sahabat adalah akal, sebaik-baik harta pusaka adalah adab”.
Wallahua`lam.