#10 Keadaan Kanak-Kanak Meninggal Dunia Semasa Kecil

SOALAN

Bagaimanakah khabar bayi yang meninggal dunia? Benarkah dia mengingati ibu bapa dan saudaranya di dunia? Benarkah dia sedang menghuni syurga dan sedang diasuh oleh Nabi Ibrahim? Saya merindui arwah anak saya.

JAWAPAN

Imam al-Nawawi menyatakan, ijma’ ulama’ menyimpulkan bahawa kanak-kanak Muslim yang mati sebelum akil baligh akan berada di syurga.

‌أَجْمَعَ ‌مَنْ ‌يُعْتَدُّ ‌بِهِ ‌مِنْ ‌عُلَمَاءِ ‌الْمُسْلِمِينَ ‌عَلَى ‌أَنَّ ‌مَنْ ‌مَاتَ مِنْ أَطْفَالِ الْمُسْلِمِينَ فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ لِأَنَّهُ لَيْسَ مُكَلَّفًا

Maksudnya: “Telah bersepakat para ulama Islam yang diambil kira perkataan mereka bahawa sesiapa yang mati dari kalangan anak-anak orang Islam, dia adalah termasuk ahli syurga, kerana dia bukan mukallaf.”  (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 16/207).

Tanpa menafikan ada pandangan-pandangan lain berkenaan keadaan kanak-kanak bukan Muslim, saya cenderung kepada pandangan bahawa kanak-kanak bukan Muslim akan masuk syurga jika mereka meninggal dunia sebelum baligh. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

‌وَأَمَّا ‌الرَّجُلُ ‌الطَّوِيلُ ‌الَّذِي ‌فِي ‌الرَّوْضَةِ ‌فَإِنَّهُ ‌إِبْرَاهِيمُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَمَّا الوِلْدَانُ الَّذِينَ حَوْلَهُ فَكُلُّ مَوْلُودٍ مَاتَ عَلَى الفِطْرَةِ ” قَالَ: فَقَالَ بَعْضُ المُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَوْلَادُ المُشْرِكِينَ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَأَوْلَادُ المُشْرِكِينَ

Maksudnya:  “Adapun lelaki yang tinggi di Raudhah (taman syurga), ia adalah Nabi Ibrahim A.S. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap budak yang meninggal dunia di atas fitrah. Lalu sebahagian orang Islam bertanya “Wahai Rasulullah, adakah ianya termasuk kanak-kanak orang kafir?” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Termasuk anak-anak orang musyrik.”

Riwayat al-Bukhari (7047)

Berdasarkan hadith di atas juga, kita dapat fahami bahawa anak-anak yang meninggal pada waktu kecil dalam penjagaan Nabi Ibrahim AS di dalam syurga. Anak-anak kecil ini juga mengingati ibu bapanya dan akan memberikan syafaat kepada Ibu bapa mereka, dengan izin Allah. Daripada Abu Hassan R.A:

عن أبي حسان قال : قلتُ لأَبِي هُرَيْرَةَ : إنَّه قَدْ مَاتَ لِي ابنانِ ، فَمَا أَنْتَ مُحَدِّثِي عَنْ رَسُولِ اللهِ بِحَدِيْثٍ تُطَيِّبُ بِهِ أَنْفُسَنَا عَنْ مَوْتَانَا ؟ قالَ : نَعَمْ ، صِغَارُهُم دَعَامِيْصُ الجَنَّةِ ، يَتَلَقَّى أَحَدُهُم أَبَاهُ – أَوْ قَالَ أَبَوَيْهِ – فَيَأْخُذُ بِثَوْبِهِ ، – أَوْ قَالَ بِيَدِهِ – كَمَا آخُذُ أَنَا بِصَنَفَةِ ثَوْبِكَ هذا ، فَلا يَتَنَاهَى حتى يُدخِلَه اللهُ وَأَبَاهُ الجَنَّةَ

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Abu Hurairah tentang keadaan dua anakku kecilku yang telah meninggal dunia, “Boleh tidak engkau menyampaikan kepadaku satu hadis daripada Rasulullah SAW yang boleh memujuk jiwa-jiwa kami kerana kematian ini?” Jawab Abu Hurairah, “Boleh, anak-anak mereka ialah Da’amis[1] syurga. Salah seorang daripada mereka menemui ayah mereka, atau ibu bapa, lalu menarik bajunya, atau menarik tangannya, seperti aku menarik hujung jahitan bajumu ini. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga Allah memasukkannya dan ibu bapanya ke syurga.”

Riwayat Imam Muslim (2435)

Berkata Ibn al-Athir: “Mereka itu bebas bergerak di dalam syurga, masuk ke dalam rumah-rumahnya. Tiada apa yang menghalang mereka daripada suatu tempat, seperti sifat kanak-kanak ketika di dunia. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka memasuki kawasan peribadi satu-satu keluarga. Tiada siapa yang perlu berhijab bila dengan mereka.” (Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 2/289)

Wallahu a’lam.

____________________

[1] Imam al-Nawawi menyebutkan: Da’amis itu bererti ahli syurga yang kecil, asalnya ialah du’mus yang bermaksud haiwan-haiwan kecil yang berada di dalam air, mereka tidak berpisah dengannya. Ertinya, anak-anak kecil di dalam syurga tidak berpisah darinya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 16/182).