#12 Dakwat/Pasi Sotong

SOALAN

Apakah hukum memakan dakwat sotong?

JAWAPAN

Para ulama’ berbeza pandangan tentang dakwat sotong. Para ulama’ Syafi’iyyah menghukumkan cairan hitam yang keluar daripada sebahagian haiwan laut adalah najis. Menurut Syeikh Abd al-Rahman bin Muhammad Ba’alawi:

“Cairan hitam yang ditemui pada sebahagian haiwan laut dan bukan merupakan daging ataupun darah dihukumkan sebagai najis. Jelas dalam kitab Tuhfah menegaskan bahawa setiap sesuatu yang berada di bahagian dalam, bukan termasuk daripada organ haiwan dan hukumnya najis. Ini termasuk cairan hitam ini, berdasarkan alasan yang telah dijelaskan. Sebab ia adalah adalah darah atau hampir kepada darah.” (Lihat Bughyah al-Mustarsyidīn, hlm. 23).

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali Ke Lima Penggal Ke Sembilan yang bersidang pada 7 Disember 2011 bersetuju untuk mengekalkan keputusan fatwa yang telah dibuat oleh Allahyarham Syed Yusuf bin Ali al-Zawawi (Mufti pada tahun 1953-1975) iaitu pasi sotong adalah najis kerana cecair tersebut kotor dan berbau busuk jika dibiarkan lama. Cecair ini juga termasuk dalam kategori bahan kumuhan binatang dan orang yang mempunyai selera yang normal tidak akan memakan cecair (pasi) tersebut.[1]

Perbezaan pandangan dalam hal ini diakui oleh Kiai Haji Thoifur Ali Wafa daripada Indonesia:

“Cairan hitam yang ditemukan di sebahagian jenis haiwan laut merupakan antara persoalan yang diperselisihkan apakah termasuk kategori cairan yang keluar daripada bahagian dalam maka ia najis, atau bukan daripada bahagian dalam maka ia suci. Hendaklah orang yang berakal [berkeahlian] agar menelitinya kerana ia berkait rapat dengan apa yang dilihat. Aku berkata:  Cairan hitam ini jika memang berasal daripada bahagian dalam maka ia menyerupai muntah. Maka ia najis. Jika tidak, ia menyerupai air liur. Maka hukumnya suci. Sebagian guruku pernah berkata: Cairan hitam ini merupakan sesuatu yang diciptakan oleh Allah pada haiwan yang memilikinya untuk dijadikan perisai agar dapat berlindung dari makhluk laut yang lebih besar. Ketika terdapat makhluk laut besar yang akan memakannya, ia akan mengeluarkan cairan hitam ini agar dapat berselindung dengannya. Maka cairan hitam ini tidak dapat disamakan dengan muntahan ataupun air liur, sebab cairan hitam ini adalah sesuatu yang menjadi ciri khasnya ini, sehingga dihukumi suci. Wallahu a’lam.” (Lihat Bulghah al-Tullab, hlm. 106)

Dakwat hitam sotong atau cephalopod ink bukannya bahan kumuhan atau darah. Ia dikeluarkan daripada kantung dakwat (ink sac) di dalam badannya tetapi luar daripada perut, melalui saluran siphon sebelum keluar daripada badannya untuk menakutkan dan mengalih perhatian lawan. Maka, ia bukan najis.

Dakwat sotong berwarna hitam kerana melanin, perkara yang sama menjadikan rambut kita hitam, warna mata, begitu juga kulit manusia. Dakwat sotong mengandungi enzim yang menghasilkan melanin, peptidoglycans yang dihasilkan oleh gula dan protein, catecholamines iaitu hormon protein, asid amino yang membina protein, logam seperti cadmium, lead, copper, yang turut membantu menghasilkan melanin, serta toksin seperti tetrodotoxin.[2]

Tidak ada juga sebarang nas syarak yang jelas melarang memakannya, maka ia kembali kepada asal sebagaimana kaedah fiqh yang menyebut:

ِالأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَة حَتَّى يَقُومَ الدَّلِيلُ عَلَى تَحْرِيمِه

Maksudnya: “Asal pada sesuatu adalah harus sehinggalah terdapatnya dalil yang mengharamkannya.”

Hukum asal memakan haiwan laut adalah halal sebagaimana firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu buruan (haiwan) laut.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Rasulullah SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Airnya suci dan bangkainya pun halal.”

Riwayat al-Tirmizi (69)

Justeru, tanpa mengurangkan rasa hormat kepada para ulama’ yang mengharamkannya, saya secara peribadi cenderung kepada pandangan yang menghalalkannya. Terpulang untuk mengikut salah satu pandangan di atas tanpa menyalahkan antara satu sama lain. Jika menganggapnya sebagai najis dan bukan kebiasaan untuk memakannya, tinggalkan. Jika menganggapnya suci dan lazim dimasukkan dalam masakan, silakan.  Hukum bagi perkara ini adalah bergantung kepada ‘uruf / adat setempat sebagaimana kaedah fiqh yang masyhur, العادة محكمة (adat dijadikan dasar bagi menetapkan hukum). Wallahu a’lam.

[1] http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11604

[2] https://www.webmd.com/diet/what-is-squid-ink#1