#14 Mencabut dan Mewarnakan Uban

SOALAN

Apakah hukum mencabut uban?

JAWAPAN

Menurut mazhab Syafi’i, makruh seseorang itu mencabut ubannya. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الإِسْلاَمِ إِلاَّ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Janganlah kalian mencabut uban. Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan uban tersebut akan menjadi cahaya buatnya pada hari kiamat.”

Manakala dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW menyatakan:

لاَ تَنْتِفُوا الشَّيْبَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الإِسْلاَمِ إِلاَّ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Maksudnya: “Tidak ada seorang muslim yang mana tumbuh padanya sehelai uban di dalam islam melainkan Allah akan menuliskan untuknya dengan uban tersebut satu kebaikan dan Allah akan memadamkan kesalahannya dengan uban tersebut.”

Riwayat Abu Daud (4202)

Imam al-Nawawi menyatakan kemakruhan mencabut uban sebagaimana yang dipegang oleh ulama’ Syafi’iyyah, dan ditegaskan oleh al-Ghazali al-Baghawi dan selainnya. Samada uban di janggut atau kepala, hukumnya tetap makruh. (Lihat al-Majmūʿ Syarḥ al-Muhazzab, 1/292).

Dalam sebuah riwayat daripada Saidina Anas bin Malik R.A bahawa beliau berkata:

يُكْرَهُ أَنْ يَنْتِفَ الرَّجُلُ، الشَّعْرَةَ الْبَيْضَاءَ مِنْ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ

Maksudnya: “Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya.”

Riwayat Muslim (2341)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata: “Para ashab kami (al-Syafi’iyyah) dan juga para ashab Malik menyebutkan, hukumnya adalah makruh dan ia tidaklah haram.” (Lihat Syarḥ al-Nawawī ʿalā Muslim, 15/487).

Jika demikian hukumnya, adakah boleh mewarnakan uban? Ia dibolehkan berdasarkan sebuah riwayat daripada Jabir bin Abdillah al-Ansari R.A bahawa ketika Abu Quhafah dibawa pada hari pembukaan kota Makkah, maka keadaan rambutnya sudah terlampau putih. Maka Nabi SAW bersabda:

غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ

Maksudnya: “Ubahlah ini (uban) dengan sesuatu dan jauhilah warna hitam.”

Riwayat Muslim (2102)

Hadith di atas jelas menunjukkan keharusan mengubah warna putih uban kepada warna selain hitam seperti dengan menggunakan inai dan perkara-perkara lain yang halal. Manakala hadith di atas juga jelas menunjukkan keharaman mengubah warna uban kepada warna hitam dan inilah pendapat yang terpilih di dalam mazhab kita, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Wallahu a’lam.