#26 Bangga Menayangkan Dosa Sendiri di Khalayak

SOALAN

Apakah hukum seseorang dengan sengaja menayangkan maksiat di khalayak? 

JAWAPAN

Perbuatan mendedahkan maksiat sendiri secara terang-terangan adalah di antara dosa besar. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: Setiap umatku diberikan keampunan melainkan golongan yang melakukan maksiat secara terang-terangan. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.

Riwayat al-Bukhari (6069)

Perkataan (الْمُجَاهِرِ) sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani adalah individu yang meuar-uarkan maksiatnya sendiri, menyingkap apa yang telah ditutup oleh Allah SWT. Dia bercakap-cakap tentangnya. Manakala (الْمُجَاهِرون) dalam hadis di atas adalah kelompok yang melakukan maksiat dengan terang dan meuar-uarkannya. (Lihat Fatḥ al-Bārī, 10/487). Beliau juga menjelaskan: “Barangsiapa yang berniat untuk menzahirkan maksiat yang dilakukan oleh dirinya sendiri, atau menceritakan dosanya kepada orang lain, Allah murka kepadanya dan tidak akan menutup keaibannya. Barangsiapa yang berniat untuk menutup maksiatnya kerana malu kepada Tuhan dan manusia, Allah SWT kurniakannya dengan menutupnya.” (Lihat Fatḥ al-Bārī, 10/488).

Terdapat dua kategori individu yang dikira sebagai al-mujahir:

  1. Seseorang itu melakukan maksiat dan dia melakukannya secara terbuka. Maksiat tersebut dilakukan secara terang-terangan di hadapan orang ramai. Dia dianggap melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri atas maksiat yang dilakukan. Dia juga telah melakukan dosa ke atas orang lain kerana menjadi faktor orang lain turut mengikut maksiat yang dia lakukan.
  2. Seseorang yang melakukan dosa secara sembunyi, kemudian diceritakannya dosa kepada orang lain.

Seorang Muslim yang beriman, tidak sewajarnya merasa bangga dengan menyebarkan atau menayangkan dosa dan maksiatnya di khalayak ramai. Daripada Nawwas bin Sam’an R.A, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Maksudnya: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.”

Riwayat Muslim (2553)

Imam al-Nawawi dalam menjelaskan hadis di atas berkata: Maksud (حَاكَ فِي صَدْرك) ialah menggelisahkan hati, berasa ragu-ragu, tidak membukakan hati, terhasil perasaan syak di dalam hati, serta takut dan khuatir bahawa keadaan dirinya berdosa. (Lihat Syarḥ al-Nawawī ʿalā Muslim, 8/343). Wallahu a’lam.