#79 Keutamaan Antara Kuliah atau Solat Rawatib

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Sesetengah masjid, apabila selesai kuliah Zohor, terus dilaungkan iqamah untuk didirikan solat. Adakah saya perlu berundur ke belakang untuk menunaikan solat sunat qabliyah Zohor atau terus mendengar kuliah agama sehingga selesai?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pertamanya, sepertimana dimaklumi bahawa disunatkan bagi seseorang untuk solat sunat qabliah (sebelum) Zuhur dan ba`diah (selepas) Zuhur. Paling afdal ialah empat rakaat qabliah dan empat rakaat ba`diah manakala paling kurang ialah dua rakaat bagi qabliah dan ba`diah. Hal ini berdasarkan hadith, Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لاَ يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ

Maksudnya: “Nabi SAW tidak meninggalkan empat rakaat solat sunat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sebelum solat Subuh.”

Riwayat al-Bukhari (1127)

Hadith seterusnya:

كَانَ يُصَلِّى فِى بَيْتِى قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّى بِالنَّاسِ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّى رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Baginda bersolat di rumahku empat rakaat sebelum Zuhur, kemudian Baginda keluar bersolat bersama-sama orang ramai. Selepas itu Baginda masuk semula bersolat pula dua rakaat.”

Riwayat Muslim (730)

Baginda juga menambah solat dua rakaat lagi selepas itu. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ummu Habibah R.Anha katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ صَلَّى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعًا بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللهُ عَلَى النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat empat rakaat sebelum solat Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah memeliharanya daripada neraka.”

Riwayat Abu Daud (1269), al-Tirmizi (427), al-Nasa’i (1816), Ibn Majah (1160), Ahmad (27403)

Kedua, adalah lebih baik masjid tersebut tidak meninggalkan azan kerana azan adalah syiar Islam. Ia juga merupakan pemberitahu kepada masyarakat sekeliling bahawa waktu solat sudah masuk. Apatah lagi jika kejadian itu berlaku di masjid yang merupakan pusat kepada aktiviti keagamaan masyarakat setempat. Daripada sudut fiqh, azan itu sunat muakkad hukumnya bagi solat yang hendak dilakukan atau yang sudah luput. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/114).

Ertinya, tiada masalah sekiranya selepas habis kuliah, azan dilaungkan. Namun, kami cadangkan sebaiknya dihentikan seketika kuliah untuk azan Zuhur, kemudian disambung yang berbaki daripada kuliah. Dengan itu setiap hak penceramah dan hak solat dapat diraikan dengan harmoni.

Ketiga, tiada masalah untuk solat qabliah dan meninggalkan ceramah itu. Baik juga jika selesai solat dan ceramah masih berlangsung, untuk bersama dengan jemaah mendengar ceramah tersebut. Berkenaan dengan solat di belakang atau di sisi ruang solat, kami berpendapat perbuatan tersebut lebih utama jika dengan itu sebagai adab dan mengelakkan gangguan kepada penceramah sekiranya kita solat di hadapan mereka.  Sebuah hadis Nabi SAW yang menjadi kaedah fiqh menyebut:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan perbuatan yang memudharatkan diri sendiri dan orang lain.”

Riwayat Ibn Majah (2341); al-Daraqutni (4/228) dan Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/746)

Hal ini kami kuatkan dengan hujah Rasulullah SAW telah memerintahkan Sulaikun a-Ghatafani untuk solat Tahiyyatul Masjid sedangkan ketika itu Baginda sedang berkhutbah.

Daripada Jabir bin Abdullah, katanya:

جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِىُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَرَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَخْطُبُ. فَجَلَسَ، فَقَالَ لَهُ: يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا – ثُمَّ قَالَ – إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا.

Maksudnya: “Sulaik al-Ghatafani datang pada hari Jumaat dan Rasulullah SAW sedang berkhutbah. Lantas Sulaik masuk masjid lalu terus duduk.” Rasulullah SAW yang sedang berkhutbah lalu berkata kepadanya, “Wahai Sulaik, berdirilah. Lakukanlah solat dua rakaat. Kerjakanlah sekadar yang wajib sahaja dalam dua rakaat tersebut. Kemudian Baginda bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka lakukanlah solat dua rakaat. Namun cukupkanlah dengan yang wajib sahaja (ringkaskanlah).”

Riwayat Muslim (875)

Menurut Imam al-Nawawi, antara faedah daripada hadis di atas adalah, jika seseorang memasuki masjid pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, disunatkan untuk melaksanakan solat dua rakaat tahiyyatul masjid, dan dimakruhkan terus duduk sebelum solat. Disunatkan melakukan solat tersebut dalam keadaan ringkas agar dapat mendengar khutbah setelah itu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/146).

Kami juga menasihatkan agar imam dan jemaah tidak meninggalkan solat sunat qabliah dengan terus didirikan solat selepas tamatnya kuliah untuk meraih fadilat solat sunat. Abdullah bin Mughaffal al-Muzani RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ، ثُمَّ قَالَ فِي الثَّالِثَةِ: لِمَنْ شَاءَ

Maksudnya: “Di antara setiap dua azan (yakni azan dan iqamah) itu terdapat solat. Di antara setiap dua azan itu terdapat solat.” Kemudian baginda menyebut pada kali ketiga: “bagi siapa yang ingin melaksanakannya (menunjukkan hal itu sunat).”

Riwayat al-Bukhari (627) dan Muslim (838)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 28/10/2021 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1443H

 

[1]

[2]

[3]

[4]

[5]

[6]

[7]

[8]