#4055: Adakah Sebuah Perkahwinan Memerlukan Kafa’ah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah makna kafaah dan adakah sebuah perkahwinan memerlukan kafaah ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan Sekufu atau kesepadanan dalam bahasa Arab disebut dengan kafa’ah. Dari segi bahasa, kafa’ah (كفاءة) bermaksud “المساوة” (sama) atau “المماثلة” (seimbang). (Lihat al-Munjid fi al-Lughah, hlm. 690)

Sebahagian pula berpendapat, al-Kafa’ah membawa maksud: Seorang lelaki itu sepadan atau setanding dengan seorang perempuan, atau dia (lelaki itu) lebih tinggi darinya dari sudut kedudukan dan juga keagamaan. (Lihat Mu’jam Mustalahat al-Fiqhiyyah, hlm. 76)

Begitu juga Abu Bakar al-Dimyathi daripada kalangan ulama’ kontemporari mazhab Syafie menyebut bahawa al-Kafa’ah atau al-Kufu’ menurut Syarak ialah sesuatu ketetapan yang mana jika tidak dipenuhi akan menyebabkan keaiban kepada keluarga. Garis panduan yang diletakkan bagi mengelakkan keluarga diaibkan adalah memastikan kedua-dua bakal pengantin lelaki dan perempuan sekufu dalam segenap aspek melainkan aspek kecacatan. (Lihat I’anah al-Thalibin, 3/377)

Sekufu bukanlah termasuk dalam syarat sah nikah namun ia merupakan perkara yang penting yang perlu diambil kira sebelum melaksanakan perkahwinan bahkan jumhur ulama mengatakan ia merupakan syarat yang lazim bagi sesebuah perkahwinan . Yang demikian bagi mengelakkan apa-apa permasalahan yang timbul dari perkahwinan tersebut seperti menyebabkan keaiban pada keluarga dan sebagainya.  Ini dinyatakan dalam beberapa nas daripada al-Quran dan juga al-Sunnah itu sendiri. Antaranya adalah firman Allah SWT:

وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang baik itu adalah untuk lelaki-lelaki yang baik begitu juga lelaki-lelaki yang baik itu adalah untuk perempuan-perempuan yang baik.”

(Surah al-Nur: 26)

Kata Syeikh al-Sya’rawi dalam tafsirannya terhadap ayat di atas: “Kami menyatakan pada tafsir Surah al-Nur ayat 3 sesungguhnya perkahwinan itu didirikan atas dasar sekufu sehingga tidak meninggi satu kedudukan daripada kedudukan yang lain. Salah satu bentuk sekufu adalah Surah al-Nur ayat 26.” (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 16/10243)

Begitu juga boleh dilihat melalui hadith yang yang diriwayat daripada Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَخَيَّرُوا لِنُطَفِكُمْ وَانْكِحُوا الأَكْفَاءَ وَأَنْكِحُوا إِلَيْهِمْ

Maksudnya: “Pilihlah yang terbaik untuk zuriat kamu dan juga yang sekufu dengan kamu, dan bernikahlah dengan mereka.”

Riwayat Ibn Majah (1968)

Para ashab Imam Al-Syafi’e berpendapat: Diambil kira pada kafaah itu adalah pada agama, nasab, merdeka, kepakaran, dan juga sejahtera dari aib-aib (kekurangan) yang menyebabkan orang jauh daripadanya. (Lihat Zad al-Ma’ad, 5/145)

Telah dinyatakan juga dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh Maram bahawa: Kafaah yang perlu diambil kira adalah lima perkara iaitu agama, merdeka, pekerjaan, harta, dan  nasab. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/307)

Justeru, kami ingin menyatakan di sini bahawa perkahwinan yang dilangsungkan tanpa mempertimbangkan kesepadanan atau kafaah antara pasangan suami isteri tetap dianggap sah kerana ia bukanlah sebahagian daripada rukun nikah. Walaubagaimanapun, memilih pasangan yang sepadan adalah perkara yang sangat penting dalam sebuah perkahwinan, ia bertujuan untuk menjaga kemaslahatan dalam rumah tangga dan mengelakkan timbulnya sebarang konflik yang tidak diingini.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam