#4069: Perbuatan yang Dilakukan Selepas Selesai Kebumikan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah yang sepatutnya dilakukan selepas selesai mengebumikan jenazah? Benarkah kita dianjurkan untuk berdiri di sisi kubur tersebut lalu berdoa untuknya agar terus diberikan keteguhan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar, kita dianjurkan atau disunatkan untuk berdiri di kubur bagi mendoakan si mati dengan keampunan daripada Allah SWT dan begitu juga agar terus teguh pendiriannya dalam menghadapi pertanyaan-pertanyaan daripada malaikat di dalam kuburnya.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat  daripada Uthman R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ المَيِّتِ، وَقَفَ عَلَيْهِ، وَقَال: اسْتَغْفِرُوا لأَخِيْكُمْ، وَاسْألوا لَهُ التَّثْبِيتَ؛ فَإِنَّهُ الآنَ يُسْأَلُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila selesai mengebumikan orang mati, Baginda akan berdiri di kuburnya lalu bersabda: ‘Mohonlah keampunan buat saudaramu, kemudian mintalah supaya dia diberi keteguhan, kerana sekarang ini dia sedang disoal.’

Riwayat Abu Daud (3221) dan al-Hakim (1/370)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini dinilai sebagai sahih. Kemudian, menukilkan daripada al-Talkhis bahawa hadith ini diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Hakim dan al-Bazzar, serta ia dinilai sebagai sahih daripada Uthman. Al-Bazzar menyebutkan, hadith ini tidak diriwayatkan daripada Nabi SAW melainkan daripada dalam bentuk ini. Begitu juga al-Hakim menyatakan, sanadnya adalah sahih dan hal itu disepakati oleh al-Zahabi. Selain itu, Imam al-Nawawi menyebutkan, sanadnya adalah baik. Manakala Syeikh Siddiq bin Hasan menyebutkan, ia diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi dengan sanad yang hasan.

Kemudian Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan pula makna al-Tathbit (التَّثْبِيتَ) iaitu permohonan kepada Allah SWT agar Dia meneguhkan pendiriannya untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan malaikat kepadanya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/249).

Dr. Abdullah bin Soleh al-Fauzan menyebutkan, hadith ini merupakan dalil yang menunjukkan kepada anjuran (sunat) untuk berdiri di kubur selepas selesai urusan pengebumian dan berdoa buatnya agar diberi keampunan dan diteguhkan pendiriannya ketika disoal oleh malaikat.

Tambahan pula, al-Quran juga ada menunjukkan kepada pensyariatan berdiri di kubur sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تُصَلِّ عَلَىٰ أَحَدٍ مِّنْهُم مَّاتَ أَبَدًا وَلَا تَقُمْ عَلَىٰ قَبْرِهِ

Maksudnya: “Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya.

(Surah al-Taubah: 84)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, dikhususkan larangan itu hanya ke atas mereka menunjukkan bahawa orang selain mereka (yakni selain orang munafik) disolatkan ke atasnya dan dibolehkan untuk berdiri di kuburnya. Hal ini kerana seandainya hal ini tidak disyariatkan (haram) pada hak sesiapapun, pasti mereka (orang munafik) tidak akan dikhususkan dengan larangan itu. Begitu juga hal tersebut bukanlah disebabkan dengan kekufuran mereka. Oleh itu, solat untuk orang yang meninggal dunia dalam kalangan orang Mukmin dan berdiri di atas kubur mereka (bagi berdoa buat mereka) termasuk dalam perkara sunnah yang mutawatir.

Begitu juga hadith ini menjadi dalil bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada doa dan istighfar buat mereka. Jika mereka tidak mendapat sebarang manfaat daripada doa dan istighfar itu, maka tidak akan ada makna dalam perintah untuk mendoakan dan meminta keampunan buat mereka. Bahkan Imam al-Nawawi menukilkan ijma‘ dalam kalangan ulama bahawa doa untuk orang yang meninggal dunia dapat memberi manfaat dan sampai pahalanya kepada mereka. (Lihat Minhah al-‘Allam, 4/350-352).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa di antara perkara yang boleh atau dianjurkan (sunat) untuk dilakukan selepas selesai urusan pengebumian jenazah adalah dengan berdiri di kuburnya dan berdoa untuknya agar dia diberikan keampunan dan diteguhkan pendiriannya dalam menjawab atau menghadapi pertanyaan-pertanyaan malaikat di dalam kuburnya.

Di antara doa yang boleh dibaca adalah seperti:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ، اللَّهُمَّ ثَبِّتْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah kesalahannya. Ya Allah, teguhkan pendiriannya.” (Lihat Hisn al-Muslim, 1/103)

Ataupun seseorang juga boleh berdoa:

اللَّهُمَّ ثَبِّتْهُ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ

Maksudnya: “Ya Allah teguhkanlah pendiriannya dengan jawapan/ucapan yang sabit.” (Lihat  Taudhih al-Ahkam, 3/249).

Ataupun dengan doa-doa lain yang semakna atau seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.