#4072: Perkahwinan Dengan Orang Gila

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah sah perkawinan dengan orang gila ? Bolehkah faskh perkahwinan tersebut setelah mengetahui aib yang disembunyikan tersebut  selepas dari akad.  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Menjawab bagi persoalan di atas kami  katakan bahawa penyakit gila dan sopak merupakan aib pernikahan dimana pasangan mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan tersebut. Ini kerana aib-aib ini memberi kesan terhadap  kehidupan rumah tangga tersebut.

Telah dinyatakan dalam al-Mu’tamad bahawa aib-aib dalam pernikahan itu ada tujuh, yakni gila, kusta, sopak, zakar tidak boleh membesar, hasyafah terpotong, faraj tersumbat dengan daging dan faraj terhalang dengan tulang (Lihat al-Mu’tamad, 4/96).

Namun dalam isu ini kami katakan akad tersebut adalah sah namun suami berhak untuk membubarkan perkahwinan tersebut disebabkan aib pernikahan yang ada pada pasangan yang disembunyikannya sebelum akad perkahwinan. Sekiranya berlaku pembubaran perkahwinan sebelum disetubuhi maka  tidak berhak ke atas isteri mendapat mahar. Namun sekiranya telah disetubuhi, maka dia berhak mendapat mahar akan tetapi suami berhak meminta kembali pemberian tersebut dari orang yang telah menipunya daripada isteri, atau wali atau wakil. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada ‘Umar Bin al-Khattab R.Anhu bahawa beliau berkata:

 أيُّما رجُلٍ تزوَّجَ امرأةً، فدخلَ بِها، فوجدَها بَرصاءَ، أو مجنونةً، أو مجذُومةً، فلَها الصَّداقُ بمسيسِهِ إيّاها، وَهوَ لَه على مَن غرَّهُ مِنها

Maksudnya: Mana-mana lelaki yang mengahwini perempuan kemudian dimendapatinya berpenyakit sopak atau gila atau kusta maka berhak bagi isteri mendapat mahar disebabkan persetubuhan. Dia (Suami) berhak meminta kembali dari sesiapa yang telah menipunya.

Riwayat Malik(2/526) dan Ibn Abi syaibah(2/4)

Apa yang dapat difahami melalui hadith ini adalah sepertimana berikut:

  • Sah perkahwinan walaupun wujudnya aib pada pasangan dan tidak diketahui oleh mana-mana pasangan. Ini disebabkan aib tersebut tidak mempengaruhi asas akad perkahwinan dan juga bukan termasuk dalam syarat sahnya nikah.
  • Ia juga menunjukkan bahhawa hak khiyar ‘aib (pilihan untuk membatalkan akad disebabkan aib) pada suami sekiranya dia tidak mengetahuinya aib pasangannya kecuali selepas daripada akad dan dia tidak meredhainya. Maka berhak baginya membubarkan perkahwinan.
  • Sekiranya berlaku fasakh sebelum isteri disetubuhi maka tidak ada mahar bagi isteri yang mempunyai aib nikah dan tidak ada juga baginya mut’ah(pemberian saguhati) samada fasakh itu dari pihak suami atau isteri kerana jika fasakh diminta oleh isteri, maka perpisahan telah berlaku kerananya. Tetapi jika fasakh diminta oleh suami, maka ia adalah atas sebab keaiban  yang dinyatakan olehnya.

Adapun sekiranya berlakunya fasakh selepas disetubuhi makan behak bagi isteri mendapat mahar kerana ia telah ditetapkan dengan berlakunya persutubuhan akan tetapi suami berhak meminta kembali mahar yang telah diberikan itu dari orang yang telah menipunya atau memperdayakannya daripada pihak isteri, wali atau wakil. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/341-343)

Justeru kami katakan di sini penyakit gila dan sopak merupakan penyakit yang diharuskan bagi pasangan untuk membubarkan perkahwinan kerana air tersebut dapat memberi kesan negetif terhadap kelangsungan kehidupan  berumahtangga. Oleh yang demikian sekiranya berlaku fasakh sebelum persetubuhan maka berhak bagi isteri mendapat mahar akan tetapi suami juga berhak meminta kembali mahar tersebut daripada pihak yang menipu atau menyembunyikan aib tersebut sebelum berlakunya akad perkahwinan. Namun jika belum pernah disetubuhi tidak berhak baginya mendapat sebarang mahar daripada suami disebabkan aib tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahua’lam