#126 Ganjaran 27 Kali Ganda Bagi Solat Jemaah Selain di Masjid

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Berkenaan ganjaran 27 kali ganda bagi solat berjemaah, adakah ia akan turut diperoleh meskipun seseorang tidak berjemaah di masjid? Contohnya, dia berjemaah di rumah dengan keluarga.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Nabi SAW bersabda:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat berjemaah lebih baik (afdhal) daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali darjat.”

Riwayat al-Bukhari (645) dan Muslim (1477)

Dalam riwayat lain pula menyatakan :

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ أَحَدِكُمْ وَحْدَهُ بِخَمْسَةٍ وَعِشْرِينَ جُزْءًا

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat kalian yang secara bersendirian sebanyak 25 bahagian.”

Riwayat Muslim (1504)

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa sama ada 25 atau 27 bahagian adalah berdasarkan keadaan solat dan orang yang menunaikannya. Ada yang dapat 25 darjat dan ada yang dapat 27 berdasarkan kesempurnaan solatnya dan sejauh mana dia menjaga solat secara berjemaah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/183).

Solat jemaah dari segi syara’ bermaksud menyambungkan solat makmum dengan solat imam iaitu sekurang-kurangnya seorang makmum, maka ia dinamakan solat jemaah dan mendapat pahala berjemaah (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 289). Ia merupakan satu syi’ar yang perlu dipertahankan dan ditunaikan oleh umat islam

Pensyariatan solat jemaah boleh dilihat berdasarkan ayat al-quran, firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ

Maksudnya”Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka.”

(Surah al-Nisa’ : 102)

Al-Khatib al-Syarbini berkata: “Perintah ini diturunkan ketika waktu perang, maka sudah semestinya lebih utama dilakukan ketika dalam keadaan aman.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/350).

Di sisi mazhab Syafie, hukum solat berjemaah mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab ialah fardhu kifayah. Ianya wajib dilakukan untuk menzahirkan syi’ar Islam di dalam sesebuah kariah atau kampung. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/38).

Dalam isu di atas, jika ada yang mendirikan solat secara berjemaah yang paling kurang mempunyai sorang imam dan makmum, maka dia tetap akan mendapat ganjaran berdasarkan hadis. Ini termasuklah solat jemaah yang dilakukan suami bersama isteri, ketika di R&R dan lain-lain.

Namun begitu, solat berjemaah yang paling baik dan afdal adalah yang didirikan di masjid. Ini berdasarkan beberapa hadis Nabi SAW yang sangat mengambil berat akan solat berjemaah yang dilakukan di masjid. Antaranya seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِى الْجَنَّةِ نُزُلاً كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi dan balik dari masjid, maka Allah akan menyediakan baginya tempat di syurga setiap kali dia pergi dan balik.

Riwayat Muslim (1556)

Nabi SAW bersabda lagi di dalam sebuah hadis yang lain:

مَنْ تَطَهَّرَ فِى بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِىَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang bersuci di rumahnya kemudian berjalan menuju ke salah satu dari rumah-rumah Allah (masjid) untuk menunaikan solat yang telah difardukan oleh Allah, maka kedua-dua langkahan kakinya itu salah satunya menghapuskan dosa dan yang lain mengangkat darjat.”

Riwayat Muslim (1553)

Nabi SAW secara jelas menyebut bahawa solat fardu secara berjemaah di masjid lebih baik dari solat berjemaah di rumah. Nabi SAW bersabda :

فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلَاةِ صَلَاةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلَّا الْمَكْتُوبَةَ

Maksudnya: “Wahai manusia solatlah (solat nafilah) di rumah kalian. Sesunggunya sebaik-baik solat sunat bagi seseorang adalah di rumahnya kecuali solat fardhu.”

Riwayat al-Bukhari (731)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan, yang dimaksudkan adalah solat lima waktu perlu didirikan di masjid. (Lihat Fath al-Bari, 2/214).

Al-Khatib al-Syarbini menyatakan yang paling baik adalah solat lima waktu di masjid. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/351).

Nabi SAW pernah menyebut :

وَإِنَّ صَلاَةَ الرَّجُلِ مَعَ الرَّجُلِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ وَحْدَهُ ، وَصَلاَتُهُ مَعَ الرَّجُلَيْنِ أَزْكَى مِنْ صَلاَتِهِ مَعَ الرَّجُلِ ، وَمَا كَثُرَ فَهُوَ أَحَبُّ إِلَى اللهِ تَعَالَى

Maksudnya: “Solat seorang lelaki bersama lelaki yang lain lebih elok dari solat secara bersendirian. Dan solatnya bersama dua orang lelaki lebih elok dari solat bersama seorang lelaki. Dan lebih banyak itulah yang paling disukai oleh Allah SWT.

Riwayat Abu Daud (554)

Selain itu, menghadiri solat berjemaah di masjid merupakan suatu perkara yang dituntut di sisi syarak. Begitu banyak nas yang menunjukkan kepada anjuran perbuatan tersebut. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يَأْتِهِ فَلاَ صَلاَةَ لَهُ إِلاَّ مِنْ عُذْرٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendengar seruan azan kemudian tidak mendatanginya (pergi ke masjid) maka tidak sempurna solatnya, melainkan disebabkan keuzuran.”

Riwayat Ibn Majah (793)

Menurut hadis di atas, secara asasnya seseorang itu dituntut untuk menghadiri solat berjemaah sekiranya dia mendengar panggilan azan.

Nabi SAW turut memberikan amaran keras bagi sesiapa yang tidak hadir solat berjemaah di masjid. Sabda Nabi SAW:

لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ بِالصَّلَاةِ فَتُقَامَ ثُمَّ أُخَالِفَ إِلَى مَنَازِلِ قَوْمٍ لَا يَشْهَدُونَ الصَّلَاةَ فَأُحَرِّقَ عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bertekad supaya solat didirikan kemudian aku akan pergi kepada setiap rumah seseorang yang tidak hadir solat berjemaah lalu akan aku perintahkan agar dibakar rumah mereka.”

Riwayat al-Bukhari (2420)

Kesimpulan

Berdasarkan hadis-hadis dan athar yang telah dibentangkan, kami menyatakan bahawa solat berjemaah yang dilakukan di masjid adalah lebih baik. Ia juga lebih menetapi tujuan solat jemaahnya itu diperintahkan iaitu memupuk kasih sayang dan penyatuan antara muslim. Begitu juga mereka yang hadir menunaikan solat jemaah termasuk di dalam mereka yang sentiasa memakmurkan rumah Allah. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّـهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّـهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Justeru, jika solat jemaah didirikan selain daripada masjid maka ia tetap mendapat pahala berjemaah berdasarkan hadis. Ini kerana solat jemaah paling kurang ada seorang imam dan seorang makmum. Tidak kiralah di mana ia dilakukan. Namun begitu, paling baik dan lebih afdal untuk hadir solat berjemaah di masjid. Itu lebih menepati tujuan solat jemaah itu didirikan iaitu memupuk kasih sayang dan penyatuan antara muslim. Di samping memakmurkan rumah Allah SWT.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H