#128 Solat di Kawasan Siangnya Mencapai 6 Bulan

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana solat seseorang yang berada di kawasan yang malamnya mencecah sehingga 6 bulan. Begitu juga waktu siangnya. Hal ini sepertimana berlaku di kawasan artik.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

Surah al-Baqarah (43)

Menurut al-Imam Abu al-Husain al-Subki bahawa ayat ini dalil ijab (mewajibkan) solat ke atas semua manusia, orang beriman bahkan kepada kanak-kanak, melainkan untuk mereka adalah ta`dib (pendidikan wajib ke atas ibu bapa) sekalipun daripada sudut hukum wajib ke atas kanak-kanak itu masih belum berlaku selagi belum mumayyiz, baligh dan berakal. (Lihat al-Bahr al-Muhit oleh al-Zarkasyi, 2/59).

Dan firman Allah SWT lagi:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’: 103)

Kedua-dua ayat di atas merupakan antara dalil-dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 3/3).

Firman-Nya lagi:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ ۚ وَذَٰلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar.”

(Surah al-Bayyinah: 5)

Perkataan “hunafa” dalam ayat di atas merujuk kepada orang-orang yang berada dalam keadaan istiqamah terhadap agama mereka, lalu Allah menyuruh mereka untuk beribadah kepadanya dengan ikhlas sebagai syarat ketika melaksanakan solat dan mengeluarkan zakat. (Lihat al-Hawi al-Kabir oleh al-Mawardi, 2/3)

Solat adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan dalam apa jua keadaan sekalipun. Dan waktunya juga adalah waktu yang telah ditetapkan berdasarkan firman Allah SWT di atas.

Nabi SAW juga menjelaskan dengan begitu terperinci tentang lima waktu solat yang wajib dilakukan. Daripada Abdullah Bin Amru bin al-‘As. Nabi SAW bersabda:

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغْرُبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ

Maksudnya: “Waktu Zuhur adalah ketika matahari tergelincir. Iaitu bila bayang seseorang sama dengan ketinggiannya. Waktu asar adalah selagimana matahari tidak kekuningan. Waktu solat Maghrib selagimana mega tidak hilang. Waktu solat Isyak pula berpanjangan sehingga sebahagian tengah malam. Dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar dan berpanjangan selagimana matahati tidak terbit. Jika matahari sudah terbit maka berhenti bersolat. Kerana pada waktu itu, matahari terbit di antara dua tanduk Syaitan.”

Riwayat Muslim (173)

Walau apa jua keadaan, solat mesti ditunaikan pada waktunya.  Dan solat yang dilakukan sebelum masuk waktunya adalah tidak sah dan perlu diulangi solat itu jika masih didalam waktu solat tersebut dan perlu diqadha’ solat itu jika sudah keluar daripada waktu solat tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 1/206).

Bagi persoalan yang dikemukakan, siang di kawasan artik mencapai 6 bulan sehingga tidak boleh dibezakan bilakah matahari terbit dan bilakah matahari terbenam. Situasi seperti menyebabkan kesukaran untuk menentukan waktu solat. Melihat kepada situasi ini para ulama memberikan 2 solusi penyelesaian agar solat boleh ditunaikan pada waktunya.

Pertama: Waktu solat boleh ditentukan berpandukan waktu solat di negara terdekat yang siang dan malamnya boleh dibezakan dalam masa 24 jam. Ini berdasarkan hasil istinbat dari hadis yang diriwayatkan oleh Talhah Bin Ubaidillah. Nabi SAW bersabda:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ

Maksudnya: “Lima solat adalah pada (waktu) siang dan malam.” 

Riwayat Muslim (109)

Pandangan ini juga berdasarkan peristiwa Isra’ dan Mikraj ketika mana Nabi saw ditaklifkan dengan 50 waktu solat. Nabi berulang-alik sehingga dikurangkan menjadi 5 waktu solat. Sehinggalah Allah berfirman  :

يَا مُحَمَّدُ إِنَّهُنَّ خَمْسُ صَلَوَاتٍ كُلَّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ

Maksudnya: “Wahai Muhammad, kesemuanya adalah lima kali solat pada waktu siang dan malam.”

Riwayat Muslim (429)

Maka mana-mana negera terdekat yang siang dan malamnya boleh dibezakan dalam 24 jam, perlu diikut waktu tersebut untuk menentukan waktu solat. Seperti contoh, antara negara terdekat adalah negara Sweden. Di Sweden waktu matahari terbit adalah pada pukul 3.51 pagi dan terbenam pada pukul 9.40 malam.Jika dikira-kira maka waktu zohor akan masuk pada pukul 12.45 tengahari. Waktu asar pada pukul 5.18 petang, waktu Isyak pada pukul 11.23 malam dan waktu subuh pada pukul 1.57 pagi.

Kedua: Mengikut waktu solat Mekah.Ini kerana waktu di Mekah lebih muktadil jika dibandingkan dengan negara-negara sekitar artik. Di situ la tempat turunnya wahyu. Ini dapat dilihat apabila Allah swt menyebut Mekah sebagai Ummul Qura pusat bagi kawasan-kawasan sekitar. Firman Allah swt :

وَلِتُنذِرَ أُمَّ ٱلْقُرَىٰ وَمَنْ حَوْلَهَا ۚ

Maksudnya: “Dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk “Ummul-Qura” (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya.”

(Surah al-‘An’am: 92)

Ini adalah pandangan Syeikh Ali al-Qurah Daghi[1], Sheikh Rasyid Redha[2], Syeikh Mustafa al-Zarqa’ dan juga fatwa yang dikeluarkan oleh Hai’ah Kibar Ulama di Saudi.

Kesimpulannya, kami lebih cenderung kepada pandangan yang kedua disebabkan waktu di negara Mekah adalah lebih muktadil berbanding negara-negara di sekitar artik.Ini memberi keluasan dan keringanan berbanding waktu di negara terdekat yang mana jarak antara waktu solat agak dekat yang boleh menyebabkan kesusahan.

Akan tetapi kami menasihatkan agar merujuk terlebih dahulu pihak autoriti Muslim di sana (jika ada) agar tidak berlakunya salah faham dan perselisihan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 17/11/2021 bersamaan 12 Rabiul Akhir 1443H

[1] Lihat http://www.qaradaghi.com/chapterDetails.aspx?ID=659

[2] Lihat Fatawa Rasyid Ridha, 5/2577-2588)