#4135: Memakan Telur Cicak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terbaca di lama sosial yang menyatakan bahawa dia memakan sejenis ubat yang dipanggil sebagai telur cicak. Soalan saya halalkah telur cicak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan mengemukakan secara ringkas sedikit pengenalan mengenai cicak. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cicak ialah sejenis reptilia kecil (badan dan ekornya pan­jang dan kakinya empat).[1] Cicak ialah reptilia yang rapat kaitannya dengan ular. Seperti ular, sesetengah cicak tidak mempunyai kaki. Sesetengahnya menyerupai ular, tetapi mempunyai kaki. Banyak cicak besar kelihatan seperti buaya. Cicak berbeza-beza dari segi saiz, bentuk dan warnanya. Ahli sains telah mengenal pasti lebih daripada 3750 spesies cicak. Australia mempunyai lebih daripada 500 spesies. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 5/273).

Keduanya, cicak termasuk dalam jenis haiwan perosak dan boleh dibunuh serta haram dimakan. Hal ini adalah sebagaimana hadith riwayat Ummu Syarik bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهَا بِقَتْلِ الأَوْزَاغِ

Maksudnya:Sesungguhnya Nabi SAW memerintahkannya untuk membunuh cicak.”

Riwayat al-Bukhari (3307) dan Muslim (2237)

Begitu juga dalam riwayat lain daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بقَتْلِ الوَزَغِ وَسَمّاهُ فُوَيْسِقًا

Maksudnya:Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan memanggilnya sebagai fuwaisiq — haiwan perosak.”

Riwayat Muslim (2238)

Justeru, perintah untuk membunuhnya adalah disebabkan oleh gangguan dan kemudaratannya. Al-Damiri menjelaskan, memanggil cicak sebagai ‘fuwaisiq’, maka ia adalah sebanding dengan haiwan-haiwan perosak lima yang lain — sebagaimana yang disebutkan dalam hadith lain — yang diharuskan untuk membunuhnya sama ada di tanah halal mahupun tanah haram. Asal makna ‘al-Fisq’ ialah keluar. Maka, kesemua haiwan yang disebutkan ini telah terkeluar daripada sifat kebanyakan haiwan yang melata (hasyarat) dan seumpamanya, disebabkan oleh kemudaratan dan gangguan yang dibawanya. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/546; lihat juga al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/237). Penjelasan lanjut berkenaan perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #837 Membunuh Cicak.[2]

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (9/22) bahawa para ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) menyebutkan, apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan)[3] dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram. Sekiranya ia adalah halal untuk dimakan, sudah tentu Baginda SAW tidak memerintahkan untuk membunuhnya.

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, kami tidak pasti apakah yang dimaksudkan dengan soalan saudara yang bertanya di atas. Kami andaikannya kepada dua andaian berikut.

Andaian pertama: Jika yang dimaksudkan adalah ubat yang bentuknya seperti telur cicak,[4] maka kami katakan ia adalah diharuskan untuk dimakan selagi mana tidak ada dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya seperti memudaratkan pemakannya dan seumpamanya. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Memanggilnya sebagai telur cicak disebabkan oleh rupa bentuknya yang hampir serupa tidak menjejaskan hakikatnya yang sebenar yang sebenar (yang berbeza halnya dengan telur cicak itu). Kaedah ada menyebutkan:

العِبْرَةُ بِحَقَائِقِ الأَشْيَاءِ لاَ بِأَسْمَائِهَا

Maksudnya: “Hukum sesuatu itu diambil kira berdasarkan kepada hakikatnya dan bukan pada namanya.”

Andaian kedua: Jika yang dimaksudkan telur cicak secara hakikatnya, maka ia berada di bawah perbahasan berkenaan hukum telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya atau haram untuk dimakan. Secara umumnya terdapat khilaf ulama mengenai keharusan untuk memakannya.

Al-Khatib al-Syirbini mengatakan bahawa terdapat khilaf dalam kalangan ulama berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya. Dinyatakan di dalam kitab al-Majmu‘, jika kita katakan bahawa telur itu dikira suci — dan ia adalah pendapat yang rajih — maka dihalalkan untuk memakannya tanpa sebarang khilaf kerana telur adalah suci dan tidak dianggap jijik. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/158).

Selain itu, al-Qalyubi juga ada menyebutkan bahawa semua jenis telur itu adalah suci, sekalipun ia berasal daripada haiwan yang tidak halal dimakan dagingnya. Begitu juga sekalipun ia telah berubah menjadi darah di mana jika dieramkan, pasti ia akan menetas. Akan tetapi diharamkan untuk memakan apa yang memudaratkan seperti telur ular. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 1/82).

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyatakan, berkenaan kehalalan memakan telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya terdapat khilaf dalam kalangan ulama. Ada yang berpendapat, hukumnya terbina berdasarkan kesuciannya. Dinyatakan di dalam al-Majmu‘ bahawa apabila kita berpendapat ia adalah suci, maka ia adalah halal untuk dimakan tanpa sebarang khilaf kerana ia adalah suci dan tidak dianggap jijik/kotor, berbeza halnya dengan air mani. Namun, al-Bulqini menyebutkan, pendapat tersebut bersalahan dengan apa yang dinaskan dalam al-Umm, al-Nihayah, al-Tatimmah dan al-Bahr yang menyatakan tidak boleh memakannya. Sekiranya kita berpendapat, ia adalah suci, maka beliau menyebutkan, tidak ada dalam kitab-kitab mazhab (al-Syafi‘i) apa yang menyelisihinya. (Lihat Asna al-Matalib, 1/570).

Selain itu, disebutkan dalam Matalib Uli al-Nuha (1/234) bahawa telur, muntah dan air wadi bagi haiwan yang tidak dimakan dagingnya adalah najis. Begitu juga Syeikh Ibn Jibrin dalam syarahannya terhadap Akhsar al-Mukhtasarat menyebutkan, telur haiwan yang tidak dimakan dagingnya seperti telur helang, telur gagak, telur hida’ah (sejenis burung helang) dan apa yang menyerupainya, begitu juga air kencing dan tahinya, dikira sebagai najis. (Lihat Syarh Akhsar al-Mukhtasarat, 3/28).

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa sebenarnya para ulama berselisih pendapat berkenaan telur haiwan yang tidak halal dagingnya. Apatah lagi jika telur yang dibincangkan itu berasal dari cicak yang termasuk dalam jenis haiwan perosak yang dianggap jijik/kotor oleh kebanyakan orang, bahkan sesetengahnya mengandungi racun atau kuman yang berbahaya kepada manusia.

Atas dasar tersebut, kami berpendapat bahawa telur cicak adalah haram dan tidak boleh untuk dimakan disebabkan oleh kejijikannya dan berkemungkinan memberi bahaya/mudarat kepada pemakannya. Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب) serta menenangkan jiwa.

Hal ini adalah selari dengan apa yang disebutkan oleh Fakhruddin al-Razi bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Ini juga kerana cicak adalah haiwan yang sunat dibunuh berdasarkan kepada nas yang sahih.

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=cicak. Diakses pada 13 November 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/836-membunuh-cicak/. Diakses pada 25 Januari 2023.

[3] Lima haiwan perosak itu ialah tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas. Riwayat al-Bukhari (3314; 1826) dan Muslim (1198)

[4] Lihat https://vt.tiktok.com/ZSNPytdaH/ dan https://vt.tiktok.com/ZSNPyEYEc/. Diakses pada 13 November 2023.