#4147: Syarah Hadith Riwayat al-Bazzar dalam Musnadnya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan hadith yang menyebut: Akan berpisah umatku kepada 70 cabang dan sebesar-besar fitnah ke atas umatku kaum yang mengqiyaskan semua perkara dengan akal mereka. Mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Auf bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَتَفْتَرِقُ أُمَّتِي عَلَى بِضْعٍ وَسَبْعِينَ فِرْقَةً أَعْظَمُهَا فِتْنَةً عَلَى أُمَّتِي قَوْمٌ يَقِيسُونَ الْأُمُورَ بِرَأْيهِمْ يُحَرِّمُونَ الْحَلَالَ، وَيُحِلُّونَ الْحَرَامَ

Maksudnya: Akan berpisah umatku kepada 70 cabang dan sebesar-besar fitnah ke atas umatku kaum yang mengqiyaskan semua perkara dengan akal mereka. Mereka mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram.

Riwayat al-Bazzar (2755)

Dalam Islam, sepatutnya rujukan utama adalah al-Quran, kemudian hadith Nabi SAW, kemudian ijma’ ulama’. Begitu juga dengan pendapat sahabat. Kemudian, qiyas dan qiyas mestilah memenuhi segala rukunnya serta memahami kaedahnya dengan lebih sempurna.

Ibn Hamdan menyebut: Sesiapa yang mengetahui qiyas dan syarat-syaratnya, maka dia boleh berfatwa dalam masalah-masalah yang boleh diqiyaskan yang tidak berkaitan dengan hadis. (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 58)

Berdasarkan hadith di atas juga, kami teringatkan kepada kenyataan Saidina Ali R.A:

لَو كَانَ الدِّينُ بِالرَّأيِ لَكَانَ أَسْفَلَ الخُفِّ أَولَى بِالمَسْحِ مِن أَعلَاه

Maksudnya: “Sekiranya agama ini berdasarkan ra’yi (rasional akal) nescayalah bahagian bawah khuf itu lebih utama untuk disapu berbanding bahagian atasnya.”

Riwayat Abu Dawud (162)

Terdapat hadith yang sahih, hampir sama dengan di atas, yang mengisahkan golonga yang menggunakan akal semata-mata dan menggunakan logik, akhirnya sanggup memberi fatwa ia adalah sesat lagi menyesatkan.

Daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ لَا يَرْفَعُ العِلْمَ بِقَبْضِ يَقْبِضُهُ وَلَكِنْ يَقْبِضُ العُلَمَاءُ بِعِلْمِهِمْ حَتَّى إِذَا لَمْ يَبْقَ عَالِمُ إِتَّخَذَ النَّاسُ رُؤسَاءَ جُهَّالاً فَيُسْتَلُونَ فَيُحَدِّثُونَ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mencabut ilmu langsung dari hati orang, tetapi dicabutnya dengan matinya ulama, sehingga apabila tiada orang alim, maka orang-orang akan mengangkat pemimpin-pemimpin yang bodoh, lalu mereka ditanya dan dijawab: Maka tersesatlah mereka dan menyesatkan.”

Riwayat al-Bukhari (100), Muslim (6971) dan Ahmad (6667)

Hadith ini menunjukkan gesaan supaya belajar ilmu dan mengambil dari mulut para ulama sebelum beliau meninggal dunia. Begitu juga, hilangnya ilmu dengan kematian ulama’ sekalipun masih bersama mereka kitab-kitab yakni al-Quran dan al-Sunnah. Akan tetapi ulama yang sebenar, merekalah yang menerangkan kepada manusia dan menjelaskannya kehendak makna daripada Kitab yang mulia. Begitu juga dengan Sunnah, merekalah yang menghimpunkan nas-nas dan menafsirkannya mengikut takwilannya. Berlainan dengan ahli bid’ah yang hanya merobohkan nas-nas sebahagian dengan sebahagian yang lain, dan mentakwil secara tidak benar. Maka mereka sesat dan lebih parah, mereka menyesatkan.[1]

Justeru, bagi mulakan apa yang disebut dalam hadith di atas, kami kemukakan ucapan Imam al-Syafi’i:

إِذا وجدْتُم فِي كتابي خلاف سنة رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم فَقولُوا بِسنة رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم ودعوا مَا قلته

Maksudnya: “Apabila kalian mendapati di dalam kitabku sesuatu yang menyelisihi Sunnah Rasulullah SAW maka berpendapatlah dengan sunnah Rasulullah dan tinggalkanlah apa yang aku cakapkan.”

(Lihat al-Madkhal oleh al-Baihaqi no. 249 dan Kitab Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar no. 454, al-Khatib dalam al-Faqih wa al-Mutafaqqih no. 400, Ibn al-Solah dalam Adab al-Mufti hlm. 177 dan Muqaddimah al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi, 1/63)

Begitu juga ucapan beliau:

إِذا صَحَّ عَن النَّبِي صلى الله عَلَيْهِ وَسلم حَدِيث وَقلت قولا فَأَنا رَاجع عَن قولي قَائِل بذلك الحَدِيث

Maksudnya: “Apabila telah sahih dari Nabi SAW suatu hadis dan aku mengatakan ucapan yang lain maka aku menarik semula ucapanku itu dan aku berpegang dengan hadis tersebut.”

(Lihat kitab Hilyah al-Auliya’ oleh Abu Nu’aim al-Asbihani, 9/107, Ibn al-Solah dalam Adab al-Mufti hlm. 119, al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam 5/158, al-Nawawi dalam Muqaddimah al-Majmu’ 1/63, dan Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir 1/19)

Dalam sebahagian lafaz yang lain:

فاضربوا بِقَوْلِي الْحَائِط

Maksudnya“Campakkanlah perkataanku itu ke dinding.”

(Ini merupakan ungkapan) yang jelas pada maksudnya. Dan sesungguhnya mazhab beliau (al-Syafi’e) adalah apa yang ditunjukkan oleh hadis dan bukannya pendapat beliau yang bercanggah dengan hadis. Maka dibolehkan berfatwa dengan sebuah hadis dan mengatakan ini adalah pendapat mazhabnya. (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 99-100)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

 

Nota kaki:

[1] www.alukah.net/library/0/50726/حديثإناللهلايقبضالعلمانتزاعاينتزعهمنالعباد-…/