#4154: Was-was sehingga Hidup dalam Kegelisahan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum, saya masih lagi tidak dapat melawan was-was saya terhadap najis mughallazah sampaikan saya tak boleh kalau orang non muslim duduk dekat saya. Saya rasa takut sangat-sangat kalau bersama dengan mereka. Saya sedaya upaya mengelak daripada mereka menyentuh saya atau kasut mereka terkena pakaian saya kerana bimbang itu daripada kulit khinzir. Walaupun dengan sesama muslim, kalau saya nampak mereka pakai kasut daripada jenama yang ada mengeluarkan kulit khinzir pun tapi saya tidak tahu sama ada kasut yang dipakai itu khinzir atau tidak. Bila mereka pakai kasut lain atau sandal pun saya tetap rasa itu najis jugak sampaikan bila mereka sentuh saya terus saya nak buang baju saya. Adakah was-was seperti saya boleh menjadikan saya gila? Atau memang saya dah gila? Tolong bantu saya lawan was-was ini. Saya bimbang kalau saya abaikan waswas saya, saya berdosa pula. Harap dapat jawapan dengan segera kerana saya tidak tahan dengan keadaan saya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Di sini juga, kami sarankan beberapa cara dalam mengatasi was-was ini:

Pertama: Berusaha Mempelajari Ilmu Agama dan Mendalaminya

Penekanan kepada ilmu syari’at adalah penting kerana ianya adalah tunjang dan merupakan satu ilmu teras yang wajib dikuasai oleh setiap orang islam. Justeru, ilmu-ilmu yang lain yang dianggap sebagai fardu kifayah perlu dituntut namun penekanan yang lebih harus diberikan kepada ilmu syari’at.

Kedua: Sentiasa Berdamping dengan Ulama’ dan Orang-Orang Soleh

Teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada Allah SWT.

Ketiga: Bersabar dan Terus Mencuba

Gangguan was-was merupakan satu ujian menentang syaitan kerana was-was itu sendiri adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was.

Keempat: Berdoa, Bermunajat dan Berzikir kepada Allah SWT dalam Memohon Pertolongan Dari-Nya.

Antara doanya:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.”

Kelima: Mengambil Sikap Tidak Peduli Terhadap Was-was

Justeru, saya katakan kepada saudara ambillah prihatin atas 5 nasihat yang kami kemukakan ini. Ini sejajar dengan kehendak syariat agar kita menyahkan sifat was-was yang merupakan mainan syaitan. Sesungguhnya, meninggalkannya dengan berdoa dan munajat serta tidak melayan gangguan was-was akan menatijahkan kebaikan dalam hidup anda.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini kami melihat ia lebih kepada masalah was-was yang serius. Maka, sewajarnya dibuangkan perasan tersebut kerana syak-wasangka yang tidak berasas. Hal ini kerana ia tidak dapat dipastikan sama ada ianya kulit khinzir atau bukan. Bahkan, sekiranya ia kulit khinzir sekalipun, ia tidaklah berpindah najis sebegitu. Hal ini kerana berpindahnya najis apabila salah satu darinya(kulit khinzir atau tangan) dalam keadaan basah. Namun, sekiranya kedua-duanya kering, maka pemindahan najis tidak berlaku. Justeru, janganlah kita terlalu mengikut perasaan dan melayan penyakit was-was ini kerana ia merupakan mainan syaitan dan akan menjadikan kehidupan kita ini tidak seronok, serta hidup dalam kegelisahan. Sekiranya anda sudah yakin akan sesuatu, maka kekal dengan pendirian anda dan tidak perlu lagi memikirkannya. Cukuplah kita mengambil hukum zahir sebagaimana kaedah menyebut:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Penyakit was-was ini bahaya kerana ia boleh mengganggu kehidupan seharian kita. Ingatlah was-was itu datangnya dari syaitan agar menggoyahkan keyakinan kita.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)