#4162: Bacaan Nabi SAW Ketika Ruku’ dan Sujud

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah bacaan nabi ketika ruku’ dan sujud?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ulama mazhab Syafi‘i telah memasukkan bacaan tasbih ketika rukuk dan sujud sebagai sunat hai’ah. Sunat hai’ah ialah sunat-sunat solat yang sekiranya ditinggalkan tidak sunat digantikan dengan sujud sahwi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/147; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/427).

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan juga bahawa caranya adalah dengan berkata, سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ وَبِحَمدِهِ sebanyak tiga kali setelah rukuk dengan sempurna, dan begitu juga berkata, سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى وَبِحَمْدِه sebanyak tiga kali setelah sujud dengan sempurna. Demikianlah sekurang-kurangnya bilangan tasbih yang sempurna namun jika bilangannya ditambah lebih daripada tiga kali adalah lebih baik. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/147-154).

Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dengan menyebutkan, bacaan tasbih, seluruh zikir-zikir dalam rukuk dan sujud, ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ”, dan bertakbir pada selain takbiratul ihram, semua perkara tersebut adalah sunat dan bukannya wajib. Jika seseorang meninggalkannya (tidak membacanya), maka tidak berdosa dan solatnya masih dikira sah, tidak kira dia meninggalkannya dengan sengaja mahupun disebabkan terlupa. Akan tetapi dihukumkan sebagai makruh meninggalkannya secara sengaja. Inilah mazhab kami (mazhab Syafi‘i), Malik, Abu Hanifah dan jumhur ulama. Malah, al-Syeikh Abu Hamid menyatakan, ia merupakan pendapat kebanyakan fuqaha’. Begitu juga pengarang al-Hawi juga ada menyebutkan, ia adalah mazhab fuqaha keseluruhannya.

Namun, Ishaq bin Rahawaih berpendapat, bacaan tasbih adalah wajib. Jika ditinggalkan dengan sengaja, batal solatnya. Akan tetapi jika terlupa (tidak sengaja), tidak batal solatnya. Selain itu, Daud pula berpendapat, ia adalah wajib secara mutlak. Begitu juga al-Khattabi telah memberi isyarat dalam Ma‘alim al-Sunan bahawa ia adalah pendapat yang dipilihnya (dirajihkannya). Imam Ahmad menyebutkan, ucapan tasbih dalam rukuk, sujud, ucapan “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَرَبَّنَا وَلَكَ الحَمْدُ”, bacaan duduk antara dua sujud, dan seluruh takbir adalah wajib. Jika dia meninggalkan satu daripadanya secara sengaja maka batal solatnya. Jika dia terlupa maka tidak batal solatnya tetapi dia hendaklah sujud sahwi untuk menggantikannya. Namun, terdapat riwayat lain daripada Imam Ahmad bahawa beliau berpendapat, ia adalah sunat sebagaimana pendapat jumhur ulama.

Mereka yang mewajibkannya berdalilkan dengan hadith ‘Uqbah bin ‘Amir yang menyebutkan berkenaan zikir-zikir rukuk dan Nabi SAW melakukannya. Begitu juga dengan hadith, Nabi SAW bersabda:

صَلُّوا كما رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

Maksudnya:Solatlah sepertimana kamu semua melihat aku solat.

Riwayat al-Bukhari (6008) dan Muslim (674)

Begitu juga berdasarkan kepada kaedah qias iaitu dengan mengqiaskannya kepada bacaan (Surah al-Fatihah). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/414).

Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa apabila turun ayat, فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ maka Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

اجْعَلُوهَا فِي رُكُوعِكُمْ

Maksudnya:Jadikanlah (bacalah) ia dalam rukuk kamu.”

Apabila turun ayat, “سَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى” maka Rasulullah SAW bersabda kepada kami:

‏ اجْعَلُوهَا فِي سُجُودِكُمْ ‏

Maksudnya:Jadikanlah (bacalah) ia dalam sujud kamu.”

Riwayat Abu Daud (887)

Ibn Qudamah al-Maqdisi menyatakan, memadai tasbih sekali sahaja, kerana Nabi SAW memerintahkan dengan tasbih daripada hadith ‘Uqbah dan tidak menyebut bilangan. Justeru, ia menunjukkan bahawa cukup dengan sekurang-kurang sekali. (Lihat al-Mughni, 1/297).

Manakala Imam al-Syafi‘i dan jumhur ulama (yang berpegang ia adalah sunat) berhujah berdasarkan kepada hadith al-Musi’ Salatahu (المُسِئُ صَلَاتَهُ). Hal ini kerana Nabi SAW telah mengajarkan kepadanya perkara-perkara wajib dalam solat dan tidak pula mengajarkan kepadanya zikir-zikir ini. Sedangkan Baginda mengajarkan kepadanya takbiratul ihram dan bacaan al-Fatihah. Jika zikir-zikir ini wajib, sudah tentu Baginda akan mengajarkannya kepada lelaki tersebut. Apatah lagi, zikir-zikir ini sudah tentu lebih patut atau utama untuk diajarkan jika ia adalah wajib kerana ia dibaca secara perlahan dan sembunyi. Jika rukuk dan sujud tidak diajarkan bersama dengan penampakan keduanya, maka ini adalah lebih utama. Adapun hadith-hadith yang menyebutkan tentang zikir-zikir ini, dapat difahami bahawa hukumnya adalah sunat berdasarkan kaedah menghimpunkan antara beberapa dalil. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/414-415).

Menjawab persoalan di atas, diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya: “Nabi SAW membaca dalam rukuk dan sujudnya “سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” (Maha suci Engkau, Ya Allah, Tuhan kami, Segala puji untuk-Mu. Ya Allah, ampunilah aku).”

Riwayat al-Bukhari (794)

Dikatakan selepas turunnya ayat daripada firman Allah SWT:

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maksudnya: Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Maka, Rasulullah SAW membaca tasbih bersama dengan istighfar sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Rasulullah SAW banyak menyebut:

سُبحانَكَ اللَّهمَّ وبحَمدِكَ، اللَّهمَّ اغفِرْ لي

Maksudnya: Maha suci engkau, ya Allah, aku memuji kepada-Mu. Ya Allah, Ampunkanlah aku.

Apabila turunnya Surah al-Nasr (إِذا جاءَ نَصْرُ اللَّهِ والْفَتْحُ), maka Rasulullah SAW berzikir dengan:

سُبحانَكَ اللَّهمَّ وبحَمدِكَ، اللَّهمَّ اغفِرْ لي؛ إنَّكَ أنتَ التَّوّابُ

Maksudnya: Maha suci engkau, ya Allah, aku memuji kepada-Mu. Ya Allah, Ampunkanlah aku, Sesungguhnya engkau Maha menerima Taubat.

Riwayat Ahmad (3891). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan di dalam Takhrij al-Musnad (3891) bahawa hadith ini Hasan li ghairih.

Di dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW banyak menyebut zikir (سُبحانَكَ اللَّهمَّ ربنّا وبحَمدِكَ، اللَّهمَّ اغفِرْلي) di dalam ruku’ dan sujud baginda sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih al-Bukhari (817) dan Muslim (484).

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Zikir ini disunatkan untuk diucapkan semasa ruku’ dan sujud, bersamaan dengan “سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ” semasa ruku’, dan “سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى” semasa sujud. Rasulullah SAW mengucapkan zikir ini, sambil menjelaskan maksud ayat suci: “فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا” (Surah al-Nasr: 3]. Oleh itu, Aisyah R.Anha berkata, “Sesungguhnya ia menjelaskan al-Quran.”  Zikir ini sangat sesuai, kerana ia mengandungi rendah diri, merendahkan diri kepada Allah Taala, menyucikan-Nya daripada kekurangan dan kelemahan, serta mengakui segala puji bagi-Nya. Setelah itu, dengan segala kerendahan hati, hamba itu memohon keampunan daripada-Nya, dalam keadaan sujud dan rukuk.

Zikir yang disebutkan adalah sunnah dan bukan wajib. Sunnah yang disepakati ialah “سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ” semasa rukuk dan “سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى” semasa sujud, seperti yang terdapat dalam hadith riwayat Muslim dan Sunan Sittah daripada hadith Huzaifah bahawa beliau solat bersama Nabi SAW dan baginda SAW bersabda semasa ruku’: “سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ”, dan semasa sujud: “سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى”

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa Rasulullah SAW ketika rukuk dan sujud pernah membaca “سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي”,. Begitu juga dengan lafaz semasa ruku’: “سُبْحَانَ رَبِّيَ العَظِيمِ”, dan semasa sujud: “سُبْحَانَ رَبِّي الأَعلَى”. Begitu juga dengan lafaz-lafaz yang lain yang warid dalam sunnah.

Selain itu, bacaan rukuk dan sujud termasuk dalam perkara-perkara sunat hai’ah. Apabila seseorang itu meninggalkannya sama ada secara sengaja mahupun terlupa, maka hal itu tidak menyebabkan solatnya terbatal dan dia juga tidak perlu menggantikannya dengan sujud sahwi. Akan tetapi meninggalkannya dengan sengaja dihukumkan sebagai makruh, namun solatnya tetap dikira sah. Hal ini kerana dia telah terlepas daripada mendapat ganjaran dan kelebihannya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahu a‘lam.