#4205: Menunaikan Janji kepada Allah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan berkenaan menunaikan janji kepada Allah. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, syarak menuntut umat Islam untuk menepati janji dan tidak melanggarnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mukmin seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mukmin itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mukminun: 8)

Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa janji adalah kehormatan dan persetujuan, dan kontrak adalah kewajipan dan keterikatan. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan munafik, meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka wajib untuk menepati janji berdasarkan syarak. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, dia telah melakukan maksiat dan dosa. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/73)

Ibn Kathir menyatakan bahawa setiap janji-janji yang dibuat antara manusia dan kontrak-kontrak yang disepakati antara mereka akan dipersoalkan tentangnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/68)

Bahkan di sana terdapat ancaman daripada Nabi SAW terhadap mereka yang memungkiri janji dengan menyifatkan mereka ini sebagai munafik. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ المـنَافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafik itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”

Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, sesiapa yang berjanji kepada Allah untuk melakukan suatu ketaatan atau suatu ibadah yang mendekatkan diri kepada-Nya, maka sangat dianjurkan dan dituntut kepadanya untuk menepati janji tersebut. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

 وَأَوْفُوا بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَاهَدتُّمْ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji.”

(Surah al-Nahl: 91)

Begitu juga firman-Nya:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.”

(Surah al-Ahzab: 23)

Justeru, menepati janji adalah perkara yang diperintahkan dan dianjurkan, serta melanggar janji adalah suatu yang dihukumkan sebagai makruh (tidak disukai), terutamanya jika janji tersebut adalah dengan Allah SWT. Ini kerana berjanji dengan Allah SWT adalah lebih berhak untuk ditepati.

Adapun jika janji itu dimaksudkan sebagai sumpah, maka menepatinya adalah wajib. Jika melanggarnya, maka wajib membayar kafarah sumpah (kaffarah al-yamin). Al-Khatib al-Syirbini dalam Mughni al-Muhtaj (4/320)  menyebutkan, yang dimaksudkan dengan lafaz “بِعَهْدِ اللَّهِ” adalah apabila seseorang berniat untuk bersumpah: haknya untuk mematuhi apa yang diwajibkan kepada kita dan yang menjadi ibadah kita, dan jika dia berniat untuk yang bukan ibadah yang diperintahkan kepada kita, dan ini ditafsirkan sebagai amanah dalam firman-Nya SWT:

 إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah.”

(Surah al-Ahzab: 72)

Hal ini juga adalah jawapan sebagaimana dikemukakan oleh Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ketika mana mereka diajukan dengan soalan yang hampir sama.[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ، خَلَقْتَنَا وَنَحْنُ عَبِيْدُكَ، وَنَحْنُ عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْنَا، نَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْنَا، نَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيْنَا، وَنَبُوْءُ بِذُنُوْبِنَا، فَاغْفِرْ لَنَا فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, Engkau adalah Tuhan kami. Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau, Engkaulah yang menciptakan kami dan kami adalah hamba-Mu. Kami akan setia pada perjanjian kami pada-Mu dan janji-Mu dengan sedaya upaya kami. Kami berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang kami lakukan. Kami mengakui nikmat-Mu kepada kami dan kami mengakui dosa kami, maka ampunilah kami. Sesungguhnya tiada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.”

 

Nota kaki:

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=254. Diakses pada 16 November 2023.