#4238: Berkat dan Halal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah halal itu berkat dan tayyiba itu sihat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ ‎

Maksudnya: Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Mu’minun: 51)

Begitu juga dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka (makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, melalui hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. ( Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80)

Pemakanan sunnah adalah satu isu yang banyak diperkatakan dewasa ini. Ia menjadi polemik yang tidak berkesudahan dalam masyarakat khususnya apabila terdapat pihak- pihak tertentu yang mempelopori produk yang dilabelkan sebagai makanan sunnah.

Para ulama tidak pernah membincangkan pemakanan sunnah dalam konteks item atau makanan yang dimakan. Bahkan ianya merujuk kepada kaedah, cara, falsafah dan prinsip yang turut dibincangkan di dalam kitab-kitab al-Tibb al-Nabawi. Justeru, al-Quran hanya menyatakannya dengan nama Halalan Tayyiba sebagaimana yang terdapat pada empat ayat iaitu; ayat 168 Surah al-Baqarah, ayat 88 Surah al-Maidah, ayat 69 Surah al-Anfaal dan ayat 114 Surah al-Nahl.

Keempat-empat ayat ini mengisyaratkan bahawa makanan atau minuman yang diambil itu mestilah halal dan baik. Halal melibatkan aspek zat makanan itu sendiri, kaedah perolehan, kaedah penyediaan dan juga niat. Contohnya: Lembu ialah binatang yang halal dimakan, namun mestilah dimiliki secara sah seperti dibeli, dihadiahkan dan sebagainya, serta disembelih dengan cara yang menepati kaedah syara’. Kemudiannya, proses penyediaanya tidak boleh bercampur dengan bahan yang haram seperti dicampur arak dan sebagainya.

Manakala tayyiba pula berkaitan dengan sukatan dan cara diambil serta keadaan individu ketika mengambilnya. Contohnya: buah kurma ialah halal, namun jika dimakan dalam jumlah yang banyak, kemungkinannya boleh memudaratkan. Ketika itu, makanan yang halal tidak menjadi tayyiba. Hukum memakan nasi ialah harus, namun jika seringkali dimakan pada waktu tengah malam sehingga boleh menyebabkan pelbagai penyakit, maka tidak lagi menjadi tayyiba.

Demikian juga produk-produk makanan di pasaran yang didakwa sebagai makanan sunnah sedangkan telah dicampur dengan bahan sintetik yang tidak sesuai atau mengandungi kadar gula yang sangat tinggi, maka ia boleh memudaratkan pengguna. Ketika itu, sekalipun makanan tersebut diproses daripada bahan-bahan halal, namun ia tidak lagi bersifat tayyiba. Jika diamalkan setiap hari, kemungkinannya boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Justeru, konsep halalan dan tayyiba mesti seiring serta tidak boleh dipisahkan. Makanan yang halal seharusnya juga melengkapi syarat tayyiba kerana bukan sahaja peraturan agama penting untuk dipelihara, bahkan kesihatan juga wajib terjaga.

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syaria’tnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”