#4264: Alam Sekitar dan Kitaran Air

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan ayat al-Quran yang terkait dengan alam semesta dan kitaran air?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَهُوَ ٱلَّذِى يُرْسِلُ ٱلرِّيَـٰحَ بُشْرًۢا بَيْنَ يَدَىْ رَحْمَتِهِۦ ۖ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَقَلَّتْ سَحَابًۭا ثِقَالًۭا سُقْنَـٰهُ لِبَلَدٍۢ مَّيِّتٍۢ فَأَنزَلْنَا بِهِ ٱلْمَآءَ فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ مِن كُلِّ ٱلثَّمَرَٰتِ ۚ كَذَٰلِكَ نُخْرِجُ ٱلْمَوْتَىٰ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (٥٧) وَٱلْبَلَدُ ٱلطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُۥ بِإِذْنِ رَبِّهِۦ ۖ وَٱلَّذِى خَبُثَ لَا يَخْرُجُ إِلَّا نَكِدًۭا ۚ كَذَٰلِكَ نُصَرِّفُ ٱلْـَٔايَـٰتِ لِقَوْمٍۢ يَشْكُرُونَ

Maksudnya: Dan Dialah Allah yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmat-Nya iaitu hujan, hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan awan itu ke negeri yang tandus, lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu. Kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati, supaya kamu mengambil pelajaran daripadanya. Dan bumi yang baik tanahnya; tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah. Dan bumi yang buruk tidak subur tanahnya; tanam-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran Kami bagi orang-orang yang bersyukur.

(Surah al-A’raf: 57-58)

Manusia tidak mencipta dirinya sendiri, tidak mencipta bumi dan langit. Mereka adalah makhluk dan Allah adalah Pencipta manusia dan alam semesta. Manusia tidak memiliki kuasa terhadap alam ini dan tidak menguasai bintang dan matahari. Manusia juga tidak menguasai langit dan bumi, semua manusia di bawah kuasa Pencipta Yang Maha Berkuasa. Semua makhluk di langit dan di bumi tunduk kepada Allah, kecuali dua makhluk iaitu jin dan manusia, ramai dalam kalangan mereka yang sombong dan tidak sedar diri.

Sebagai orang beriman hendaklah kita sedar siapakah diri kita, patuhlah kepada Pencipta kita dan jangan rasa kita lebih hebat dari Pencipta. Hendaklah kita mengakui keagungan Tuhan kita, jangan kita agungkan diri kita dan jangan agungkan makhluk yang tidak berkuasa. Hendaklah kita tunduk dan akur kepada Pencipta kita, jangan jadi makhluk yang sombong dan tidak sedar diri.

Allah SWT telah menciptakan sistem kitaran air dan ekosistem yang sempurna, tiada yang cacat dan cela. Sistem kehidupan di dunia ini adalah bukti kekuasaan Allah dan bukti bahawa manusia akan dibangkitkan pada hari kiamat nanti. Manusia menyaksikan tanah yang kontang dihidupkan oleh Allah, begitulah juga manusia akan dihidupkan semula pada hari kiamat nanti. Oleh itu, hendaklah kita memerhatikan ciptaan Allah di sekeliling kita, lihatlah keagungan ciptaan Allah Yang Maha Esa. Hendaklah kita berharap hanya kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan jangan bergantung kepada manusia yang tiada kuasa. Hendaklah kita beriman dan yakin kepada hari kebangkitan, beringat dan bersedia serta jangan lupa dan leka. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/39-40)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua`lam.