Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya kenapa terdapat banyak perumpamaan yang didatangkan dalam al-Quran, apa fungsinya? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۚ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ ۖ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ ۖ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونَةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ ۚ نُّورٌ عَلَىٰ نُورٍ ۗ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ ۗ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
Maksundya: Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Nur:35)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa perumpamaan merupakan salah satu laras bahasa yang diketengahkan dalam al-Quran al-Karim. Ia digunakan oleh Allah SWT untuk menerangkan persoalan yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia yang merangkumi akidah, syariah, akhlak dan sebagainya. Ia juga mampu membongkar dan mendedahkan sesuatu perkara secara realistik. Oleh itu, tidak hairanlah apabila perumpamaan dalam al-Quran mampu menjadi penawar kepada spiritual manusia yang bermasalah.
Al-Amthal merupakan kata jamak kepada al-mithl yang membawa maksud ‘seperti’ atau ‘umpama’. Menurut Manna‘ al-Qattan, amthal al-Quran ialah ungkapan suatu makna dalam bentuk yang indah, ringkas, dan memberi kesan di dalam jiwa; sama ada kalimah itu dalam bentuk tasybih (perumpamaan) atau ungkapan bebas. (Lihat Mabahith fi ‘Ulum al-Quran, hlm.292)
Ayat amthal berfungsi untuk mendekatkan kefahaman al-Quran kepada pendengar atau pembacanya dengan menggunakan perkara-perkara yang dikenali ataupun dirasai oleh mereka. Ia mampu memberikan gambaran sesuatu berita ghaib dengan menggunakan realiti semasa. Ayat amthal juga mampu membangkit perasaan benci pembaca atau pendengar terhadap sesuatu perkara.
Perumpamaan dalam al-Quran mengandungi pelbagai keistimewaan yang tersendiri sehingga dapat merawat penyakit rohani yang dideritai oleh kebanyakan manusia. Al-Qattan telah mengenal pasti keistimewaan tersebut, antaranya adalah seperti berikut:
- Perumpamaan dalam al-Quran memperjelaskan perkara ‘aqli iaitu perkara yang digambarkan dalam pemikiran akal dalam bentuk hissi (deria) yang dapat dirasai oleh pancaindera. Ianya lebih memudahkan pemahaman manusia.
- Perumpamaan dalam al-Quran mendedahkan sesuatu yang ghaib dalam bentuk yang nyata dan realistik.
- Perumpamaan dalam al-Quran menghimpunkan makna dan maksud yang menarik dalam ungkapan yang ringkas.
- Perumpamaan dalam al-Quran mendidik jiwa manusia agar mudah menyukai suatu sifat yang baik.
- Perumpamaan dalam al-Quran mendidik jiwa manusia agar mudah membenci suatu sifat yang keji. [1]
Menghayati perumpamaan yang terkandung dalam al-Quran merupakan satu pendekatan yang amat berkesan dalam mendidik jiwa manusia. Ia dapat mengubat pelbagai penyakit batin yang melanda manusia termasuklah penyakit-penyakit yang melibatkan akidah. Sejak akhir-akhir ini, kita kerap kali tersentak dengan berita-berita di media massa berkaitan orang Melayu Islam di negara ini yang terlibat dalam isu murtad, ajaran sesat dan fahaman ateisme. Senario ini sangatlah membimbangkan kita sebagai rakyat Malaysia kerana ia merosakkan imej agama Islam yang menjadi agama rasmi negara kita. Justeru, salah satu jalan penyelesaian kepada masalah ini ialah mentadabbur perumpamaan dalam al-Quran yang membicarakan tentang keesaan Allah SWT. Hal ini kerana ia mempunyai pelbagai keistimewaan yang dapat mendorong manusia untuk berfikir dengan hati dan akal mereka tentang keesaan-Nya.
Justeru, hasil kajian mendapati bahawa perumpamaan dalam al-Quran dapat memberi kesan yang amat mendalam kepada jiwa manusia dalam memahami konsep keesaan Allah SWT Ia menegaskan bahawa hanya Allah SWT sahaja Tuhan yang layak untuk disembah dan menolak ketuhanan segala sesuatu selain daripada-Nya. Pendekatan yang digunakan ialah dengan membawa analogi yang terdapat pada manusia dan haiwan, di mana ianya mudah difahami oleh akal yang sihat. (Lihat Tafsir al-Bayan,3/ 624-625)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”
Wallahua’lam
Nota kaki:
[1] The Description of Allah SWT’s SWT Oneness Based on The Parables in The Quran, Journal of Islamic, Social, Economics and Development 3 (14), pp.122-137.