#4303: Bunuh Diri Sebagai Dosa Besar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah membunuh diri termasuk dalam dosa besar ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ ۗ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya: Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu

(Surah fussilat: 53)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa dalam  ayat ini, Allah SWT membicarakan berkaitan sikap manusia yang berputus asa. Terdapat dalam kalangan mereka yang membunuh diri apabila berputus asa.Membunuh diri bermaksud perbuatan untuk menamatkan nyawa sendiri dengan sengaja. Jika perbuatan itu gagal, ia dipanggil cubaan membunuh diri. Dalam Islam, perbuatan membunuh diri merupakan salah satu daripada dosa besar. Allah SWT melarang kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membinasakan diri kita seperti firman- Nya:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.

(Surah al-Baqarah: 195)

Menurut Noor Hisham Abdullah, mantan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2019; Setiap tahun, kira-kira 800,000 kematian akibat membunuh diri telah dicatatkan. Menurut laporan World Health Organization, seorang individu akan membunuh diri pada setiap 40 saat[1] dan angka ini meningkat pada setiap tahun berbanding kematian yang disebabkan peperangan atau pembunuhan beramai-ramai. Isu membunuh diri ini bukan hanya berlaku di negara yang mundur atau membangun tetapi di negara yang hebat juga turut berlaku.

Di Malaysia, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati perbuatan membunuh diri dalam kalangan remaja berumur di antara 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan tren iaitu prevalen idea bunuh diri adalah 10% pada tahun 2017 berbanding 7.9% pada tahun 2012. Kajian yang sama juga mendapati prevalen kemurungan adalah 18.3%, di mana 1 daripada 5 remaja mengalami gejala kemurungan, 2 daripada 5 mengalami keresahan dan 1 daripada 10 mengalami stress .[2]

Adakah pengamalan agama yang cetek mendorong orang Islam terjebak dalam gejala membunuh diri ini? Bayan Linnas siri ke-74: Menjelaskan perkara ini di bawah tajuk tekanan hidup yang membawa kepada bunuh diri: Hukum dan penyelesaiannya.

Dalam kepantasan perubahan ini sesetengahnya dapat menyesuaikan diri dan mengalami suasana yang menggembira dan menyeronokkan. Namun, ada yang tidak berkongsi keseronokan proses kehidupan dan berhadapan dengan penuh ketegangan, kesunyian dan kesedihan. Penyebab dan penyumbang kepada ingin membunuh diri ialah setengah kefahaman global seperti peperangan, keganasan, ancaman penyakit, jenayah dan kebuluran yang menimpa dunia. Ia boleh memberi kesan kepada pemikiran remaja. Tanpa dapat mengawal perasaan, kesedihan, kebencian maka kadang-kadang mereka mengambil keputusan sendiri untuk membunuh diri.

Membunuh diri merupakan dosa besar kerana terdapat ancaman khusus baginya, sebagaimana yang disebut dalam hadis daripada Thabit bin Dhahhak R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 ومَن قَتَلَ نَفْسَهُ بشيءٍ في الدُّنْيا عُذِّبَ به يَومَ القِيامَةِ

Maksudnya: Sesiapa yang membunuh diri dengan apa-apa cara, maka dia akan diseksa dengan cara seperti itu pada hari kiamat kelak.”

Riwayat Bukhari(6047)

Daripada Jundub R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

 كانَ فِيمَن كانَ قَبْلَكُمْ رَجُلٌ به جُرْحٌ، فَجَزِعَ، فأخَذَ سِكِّينًا فَحَزَّ بها يَدَهُ، فَما رَقَأَ الدَّمُ حتّى ماتَ، قالَ اللَّهُ تَعالى: بادَرَنِي عَبْدِي بنَفْسِهِ، حَرَّمْتُ عليه الجَنَّةَ

Maksudnya: “Pada umat sebelum kamu terdapat seseorang yang tercedera. Dia tidak dapat menahan kesakitan, lalu dia mengambil pisaunya dan memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba-Ku telah menyegerakan kematian, maka Aku mengharamkan ke atasnya syurga.”

Riwayat al-Bukhari (3463)

Hadis ini menunjukkan orang yang membunuh diri tidak akan dimasukkan ke dalam syurga merupakan satu ancaman yang amat keras. Berdasarkan dalil-dalil di atas jelas bahawa membunuh diri merupakan perbuatan yang dilarang dan bertentangan dengan perintah agama. Tempat kembali orang yang melakukannya adalah neraka jahanam kerana besarnya dosa perbuatan tersebut. Justeru, umat Islam perlu kembali kepada ajaran agama seperti yang ditegaskan oleh al-Syatibi yang menyatakan bahawa semua ajaran yang ditetapkan oleh Islam bertujuan untuk menjaga kemaslahatan manusia dan menjadi asas kepada kebahagian hidup manusia. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/93-94)

Justeru kami katakan sikap kufur terhadap nikmat berlaku dalam kehidupan manusia apabila mereka tidak bersyukur terhadap nikmat Allah. Ia merupakan sifat orang yang tidak beriman. Terdapat dalam kalangan orang beriman yang terikut-ikut dengan sifat ini. Kita sebagai orang Islam perlu sentiasa menyedari bahawa Allah telah memberikan nikmat kepada kita. Oleh itu, janganlah kita lupa bahawa itu merupakan pemberian daripada Allah SWT.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] https://www.moh.gov.my/moh/modules_resources/database_stores/96/337_1246.pdf. Diakses pada 5 September 2020.

[2] Ibid