#4312: Kelebihan Sifat Syukur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kepentingan sifat syukur yang merupakan jalan kejayaan dalam kehidupan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berkenaan sifat syukur ini, Allah SWT menjelaskan di dalam ayat 10 hingga 19 dari Surah al-Saba’, yang mengisahkan tentang kepentingan sifat syukur sehingga ia menjadi jalan kejayaan buat seseorang.

Ayat yang kami sebutkan ini menggambarkan kehebatan kerajaan Nabi Dawud A.S. Nabi Sulaiman AS dan juga kerajaan Saba’. Antara sebab mereka meraih kehebatan ini adalah kerana mereka bersyukur dengan setiap pemberian Allah SWT. Ini kerana, Allah SWT sentiasa mengingatkan hamba-hamba-Nya agar sentiasa bersyukur disebabkan amal sedikit daripada kalangan hamba-Nya yang bersyukur sepertimana firman-Nya:

وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Maksudnya: “Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.”

(Surah Saba’: 13)

Muhammad bin Ka‘b al-Qurazi pernah berkata, syukur ialah taqwa kepada Allah SWT serta beramal soleh. Ini dikatakan bagi orang yang sedang berusaha melakukan sesuatu perbuatan. Demikian juga keluarga Dawud A.S, mereka menunjukkan rasa syukur kepada Allah SWT dengan perkataan dan perbuatan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/500)

Tambahan pula, Rasulullah SAW adalah insan yang paling bersyukur. Walaupun Baginda SAW telah dijanjikan syurga oleh Allah SWT tetapi Baginda SAW tetap meningkatkan amalan soleh Baginda SAW. Selain itu, Baginda SAW pernah ditanya oleh ‘Aisyah R.Anha tentang perihal kesungguhan Baginda SAW melakukan solat malam, jawab Baginda SAW:

أَفَلاَ أُحِبُّ أَنْ أَكُونَ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: “Mengapa tidak aku suka untuk menjadi hamba yang bersyukur?”

Riwayat al-Bukhari (4837) dan Muslim (2820)

Di samping itu, dengan bersyukur juga Allah SWT akan menambahkan nikmat pemberian-Nya kepada seseorang. Namun, sebaliknya bagi orang yang mengkufuri nikmat Allah SWT akan diseksa atau dibinasakan oleh Allah SWT. Ini merupakan janji Allah SWT di dalam al-Quran:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: ‘Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras’.”

(Surah Ibrahim: 7)

Oleh itu, sifat syukur merupakan kunci kejayaan setiap individu, umat atau nabi-nabi terdahulu dan sifat kufur dengan nikmat pula merupakan jalan menuju kepada kebinasaan serta azab seksa yang pedih pada hari akhirat kelak.

Semoga, kita semua tergolong dari kalangan mereka yang sentiasa mensyukuri nikmat kurniaan Allah SWT tanpa mengira sikit atau banyaknya nikmat tersebut. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنَا أَنْ نَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيْنَا وَعَلَىٰ وَالِدِين وَأَنْ نَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنَا بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah kami – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam