#4319: Melawan Hasutan Syaitan dengan Mukjizat al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara kita melawan hasutan syaitan berdasarkan mukjizat al-Quran?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

طس ۚ تِلْكَ آيَاتُ الْقُرْآنِ وَكِتَابٍ مُّبِينٍ

Maksudnya: “Ta Sin. Inilah ayat-ayat al-Quran dan kitab yang jelas nyata.”

هُدًى وَبُشْرَىٰ لِلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Sebagai petunjuk hidayah dan penyampai berita gembira bagi orang beriman.”

(Surah al-Naml: 7-8)

Imam Ibn Kathir mengatakan, ayat-ayat al-Quran ini adalah jelas lagi terang, diperolehi petunjuk dan berita gembira dari al-Quran ini bagi mereka yang beriman dengannya, mengikuti dan mempercayainya, beramal dengannya, mendirikan solat-solat fardhu, menunaikan zakat yang diwajibkan, beriman dengan hari akhirat dan kebangkitan selepas mati, balasan bagi setiap amalan sama ada yang baik atau buruk, dikurniakan syurga atau neraka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/161)

Al-Quran adalah pedoman dan petunjuk bagi setiap orang beriman sebagaimana yang dinyatakan di awal Surah al-Naml. Antara inisiatif berdasarkan peredaran arus perdana yang patut dipuji dalam menjayakan tema ini ialah mengadakan kelas-kelas tadabbur al-Quran dalam pelbagai medium seperti rancangan televisyen, radio, internet, kuliah-kuliah di masjid dan penerbitan bahan cetak. Secara langsung, ia mampu memasyarakatkan sebahagian daripada ilmu al-Quran yang sebelum ini hanya berlegar dalam kalangan ahli ilmu disebabkan faktor bahasa dan penguasaan ilmu. Kajian mendapati media sosial mampu menjadi medium perantaraan dakwah yang baik dan bagus pada era kemodenan teknologi. Dalam masa yang sama, metode dakwah ini penting untuk melawan berita-berita palsu yang memburukkan syari‘at Islam. Hal ini kerana syaitan telah berjanji untuk menyesatkan anak Adam dan memperindahkan kemungkaran sampai ke hari kiamat. (Lihat Media Sosial dan Dakwah Menurut Islam. Kertas Kerja Dibentangkan di Seminar Sains Teknologi dan Manusia, hlm. 1; Pesan al-Quran dalam Menyikapi Berita Hoax: Perspektif Dakwah di Era New Media, hlm. 42-65)

Diharapkan amalan yang baik dalam menggunakan media sosial sebagai medium dakwah menjadi budaya dalam masyarakat dengan mengambil kira aspek kepakaran dan menghormati disiplin ilmu yang berkaitan. Media sosial, di samping kebaikan yang diperolehi, penggunaannya secara negatif boleh menjejaskan akidah dan akhlak seorang Muslim. Oleh itu, kesederhanaan dan kebertanggungjawaban adalah kunci bagi memastikan al-Quran dapat disebarkan dengan baik dan mendapat penerimaan yang optimum daripada masyarakat. (Lihat Media Sosial dan Kelestarian Penggunaan Menurut Islam, hlm. 1)

Sesiapa sahaja yang benar-benar membaca serta memahami ayat-ayat suci al-Quran, nescaya mereka akan mendapati apakah yang dimaksudkan al-Quran sebagai mukjizat untuk melawan hasutan syaitan. Langkah utama agar seseorang itu dapat melawan hasutan syaitan serta terus teguh dalam agama Allah SWT adalah:

Mendapatkan sahabat yang soleh agar mereka saling memperingati antara satu sama lain, yang sentiasa membimbing kita ke arah kebaikan dan memberikan kita galakan untuk melakukannya. Hal ini kerana seseorang itu akan lemah jika bersendiri, dan kuat jika bersama-sama yang lain. Sedangkan Nabi Allah Musa A.S pernah memohon kepada Allah SWT agar diutuskan kepadanya saudaranya Harun A.S sebagai teman untuk membantunya agar sentiasa beribadat serta mengingati-Nya. Firman Allah SWT:

وَاجْعَل لِّي وَزِيرًا مِّنْ أَهْلِي

Maksudnya: “Dan jadikanlah bagiku, seorang penyokong dari keluargaku.”

هَارُونَ أَخِي

Maksudnya: “Iaitu Harun saudaraku.”

اشْدُدْ بِهِ أَزْرِي

Maksudnya: “Kuatkanlah dengan sokongannya, pendirianku.”

وَأَشْرِكْهُ فِي أَمْرِي

Maksudnya: “Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku.”

كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Supaya kami sentiasa beribadat dan memuji-Mu.”

وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingati-Mu.”

(Surah 29-34)

Berusaha untuk melakukan ketaatan kerana ia mampu meneguhkan iman seseorang. Allah SWT telah menjelaskan perkara ini sebagaimana dalam firman-Nya:

وَلَوْ أَنَّهُمْ فَعَلُوا مَا يُوعَظُونَ بِهِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَأَشَدَّ تَثْبِيتًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).”

(Surah al-Nisa’: 66)

Senantiasa kembali kepada Allah SWT pada apa jua keadaan, dan meminta agar dikurniakan keteguhan iman. Sesungguhnya hati para hamba-Nya itu berada di dalam genggaman Allah SWT. Dia membolak-balikkan hati sebagaimana yang Dia kehendaki. Maka yang demikian, hendaklah bersangka baikl kepada Allah SWT dan mempercayai bahawa Dia tidak akan mensia-siakan kebaikan yang dilakukan oleh semua hamba-Nya. Disebutkan dalam firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.”

(Surah al-Kahf: 30)

Semoga kita semua dipelihara serta dilindungi dari hasutan tentera iblis dan syaitan yang juga merupakan musuh yang nyata. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Wallahu a‘lam