#4320: Burung Belatuk dan Peranannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan burung belatuk dalam al-Quran sebagai simbol rakyat yang taat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Belatuk atau nama saintifiknya Upupa epops merupakan sejenis burung yang sederhana besar iaitu berukuran 30 cm tinggi pada umur dewasa. Dikatakan, burung ini mempunyai cara yang tersendiri untuk memakan mangsanya iaitu dengan menghempasnya berkali-kali sehingga bahagian anggota yang tidak boleh dimakan bercerai daripada anggota yang boleh dimakan. Setelah itu ia akan memakan anggota yang sudah dibersihkan sepotong demi sepotong.

Di dalam al-Quran ada mengisahkan tentang burung belatuk yang menjadi simbolik kepada rakyat yang taat kepada pemerintahnya. Setakat ini, kami belum menjumpai sebarang kajian yang mendalam mengenai kepintaran dan daya mengingat burung belatuk yang dilakukan oleh ahli sains dan ciri-ciri belatuk yang dipersembahkan dalam kisah Nabi Sulaiman A.S masih menjadi misteri.

Akan tetapi, kepintaran burung ini telah jelas sepertimana yang Allah SWT sebutkan di dalam al-Tanzil, terdapat beberapa potongan ayat yang menceritakan kisah burung ini pada zaman kerajaan Nabi Sulaiman A.S:

وَتَفَقَّدَ الطَّيْرَ فَقَالَ مَا لِيَ لَا أَرَى الْهُدْهُدَ أَمْ كَانَ مِنَ الْغَائِبِينَ

Maksudnya: “Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: ‘Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?’.”

لَأُعَذِّبَنَّهُ عَذَابًا شَدِيدًا أَوْ لَأَذْبَحَنَّهُ أَوْ لَيَأْتِيَنِّي بِسُلْطَانٍ مُّبِينٍ

Maksudnya: “‘Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)’.”

فَمَكَثَ غَيْرَ بَعِيدٍ فَقَالَ أَحَطتُ بِمَا لَمْ تُحِطْ بِهِ وَجِئْتُكَ مِن سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ

Maksudnya: “Burung belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): ‘Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya’.”

إِنِّي وَجَدتُّ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِن كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: “‘Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan dia telah diberikan kepadanya (serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan dia pula mempunyai singgahsana yang besar’.”

وَجَدتُّهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِن دُونِ اللَّهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ السَّبِيلِ فَهُمْ لَا يَهْتَدُونَ

Maksudnya: “‘Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadah menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk’.”

أَلَّا يَسْجُدُوا لِلَّهِ الَّذِي يُخْرِجُ الْخَبْءَ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَيَعْلَمُ مَا تُخْفُونَ وَمَا تُعْلِنُونَ

Maksudnya: “‘(Mereka dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.’”

(Surah al-Naml: 20-25)

Kisah dalam ayat ini berkisar tentang burung belatuk yang pada awalnya tidak hadir di dalam kumpulan bala tentera Nabi Sulaiman A.S ketika pemeriksaan sedang dijalankan oleh Baginda A.S. Selang beberapa ketika, sekembalinya si belatuk, dia menceritakan (sepertimana yang dilakukan oleh mata-mata) kepada sang pemerintah, iaitu Nabi Sulaiman A.S tentang penerokaannya ke negeri Saba’.

Burung belatuk menjadikan kisah tentang raja perempuan di negeri Saba’ ini sebagai keuzuran dan hujjah bagi ketidakhadirannya semasa pemeriksaan di hadapan Nabi Sulaiman A.S, sehinggakan ia terlepas dari ancaman yang dijanjikan oleh Baginda ke atasnya. Baginda A.S tidak suka akan adanya pemerintah lain di muka selainnya ketika itu, kerana itu Baginda A.S akan berjihad dan memerangi mereka.

Apabila si belatuk mengkhabarkan berita tentang satu kerajaan yang terletak di sebuah tempat yang tidak berada di bawah pemerintahannya, ditambah lagi dengan keadaan mereka yang mensyirikkan Allah SWT, maka Nabi Sulaiman A.S akan memperoleh ganjaran yang melimpah serta pahala yang banyak pada akhirat kelak dengan memerangi mereka, kemudian menggabungkan kerajaan lain di bawah pemerintahannya.

Oleh kerana perkhabaran ini juga, tertegaklah hujjah bagi burung belatuk atas ketidakhadirannya, lalu diberikan kemaafan oleh Nabi Sulaiman A.S. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 19/446)

Berdasarkan kisah burung belatuk ini, manusia boleh mengambil beberapa pengajaran sebagai pedoman diri. Antaranya seperti berikut:

  • Ketaatan kepada pemimpin.
  • Amanah dengan tanggungjawab yang diberikan.
  • Berani kerana benar.
  • Dahagakan maklumat yang boleh digunakan untuk misi negara yang bermatlamatkan tauhid.
  • Gerak kerja secara amal jama‘i dan tidak mementingkan diri sendiri.
  • Kepekaan terhadap persekitaraan khususnya terhadap unsur-unsur mungkar yang menyalahi prinsip-prinsip Islam. (Lihat Kepimpinan Dalam Kisah Nabi Sulaiman A.S Dengan Hudhud, hlm. 126-127)