#4336: Al-Qaswa’ (Unta Rasulullah SAW)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato’ jelaskan tentang unta Rasulullah SAW bernama al-Qaswa’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

‏ أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ

Maksudnya: “(Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?”

(Surah al-Ghasyiyah: 17)

Nabi Muhammad SAW mempunyai seekor unta yang diberi nama al-Qaswa’. Unta ini diberi kelebihan kepadanya oleh Allah SWT agar boleh berlari laju berbanding unta-unta lain dan kekuatan yang luar biasa. Unta ini jugalah yang ditunggangi Rasulullah SAW ketika berhijrah ke Madinah, serta peristiwa seperti pemilihan tapak Masjid Nabawi.

Unta baginda bernama Qaswa’ menjadi pelik selepas kewafatan baginda. Disebabkan terlalu sedih, ia kehilangan penglihatannya. Maka para sahabat mengikat matanya dengan pembalut hitam.

Diceritakan bahawa sesungguhnya al-‘Adhaba’ (al-Qaswa’) tidak makan dan minum selepas kewafatan baginda sehingga ia mati. (Lihat Imta’ al-Asma’, 7/233).

Kebiasaannya unta dapat hidup sekitar 30 hingga 40 tahun, namun al-Qaswa’ hanya hidup sehingga usianya 15 tahun sahaja. Al-Qaswa’ sempat hidup bersama Rasulullah SAW selama 11 tahun dan mati pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq R.A.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”