#4343: Perbezaan Kalimah Anzala (أَنْزَلَ) dan Nazzala (نَزَّلَ)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah perbezaan Anzala dan Nazzala ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Penurunan al-Quran menurut jumhur ulama berlaku dalam dua peringkat, iaitu dari Lauh Mahfuz ke Baitul ‘Izzah di langit dunia secara sekaligus, dan penurunan al-Quran secara beransur-ansur dari Baitul ‘Izzah kepada Nabi SAW selama 23 tahun. (Lihat Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an, hlm. 103)

Penurunan secara sekaligus tersebut berlaku pada bulan Ramadhan. Begitu juga penurunan wahyu pertama iaitu Surah al-‘Alaq, ayat 1-5 berlaku pada bulan Ramadhan. Firman Allah SWT:

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ ٢ ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ ٣ ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

Maksudnya: Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

(Surah al-’Alaq: 1-5)

Seterusnya al-Quran diturunkan secara beransur-ansur kepada Nabi Muhammad SAW.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Al-Quran merakamkan penurunan wahyu dengan pemakaian dua bentuk kalimah, iaitu anzala ( أَنْزَلَ ) dan nazzala ( نَزَّلَ ). Jika diperhatikan, penurunan al-Quran pada peringkat pertama iaitu diturunkan secara sekali gus, dirakamkan dalam tiga ayat al-Quran, iaitu:

  • Surah al-Baqarah, ayat 185:

 شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ

Maksudnya: Maksudnya: “Masa yang diwajibkan berpuasa itu ialah pada bulan Ramadhan; bulan yang diturunkan padanya aI-Quran yang merupakan hidayah kepada manusia.”

 (Surah al-Baqarah: 185)

  • Surah al-Dukhan, ayat 3:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang penuh keberkatan. Kami sesungguhnya adalah pemberi peringatan.”

(Surah al-Dukhan: 3)

  • Surah al-Qadr, ayat 1:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ‎‏

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,

(Surah al-Qadr: 1)

Manakala, antara contoh ayat-ayat al-Quran yang tealh dinyatakan dalam Manahil al-‘Irfan fi ‘Ulum al-Qur’an, (1/52) yang menampilkan penurunannya secara beransur-ansur pula ialah:

  • Surah al-Isra’, ayat 106:

وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنزِيلًا

Maksudnya: “Kami turunkan al-Quran berperingkat-peringkat agar kamu dapat bacakannya kepada manusia dengan tenang dan perlahan-lahan. Dan Kami turunkannya berperingkat mengikut keadaan.”

 (Surah al-Isra’: 106)

  • Surah al-Furqan, ayat 32:

وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَوْلَا نُزِّلَ عَلَيْهِ الْقُرْآنُ جُمْلَةً وَاحِدَةً ۚ كَذَٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلْنَاهُ تَرْتِيلًا

Maksudnya: Dan orang kafir berkata, “Kenapa kitab al- Quran tidak diturunkan sekali gus kepada Nabi Muhammad sebagaimana kitab-kitab terdahulu?” Demikianlah, supaya Kami dapat memantapkan jiwamu. Dan Kami bacakan al-Quran kepadamu secara tartil.”

 (Surah al-Furqan: 32)

Justeru, apabila diteliti dan ditadabbur mengenai peringkat penurunan al-Quran, didapati bahawa penurunan al-Quran secara sekali gus dapat dilihat dengan isyarat pemakaian binaan kata kerja anzala ( أَنْزَلَ ), manakala penurunan al-Quran secara beransuransur atau secara umum pula dapat dilihat dalam al-Quran dengan pemakaian binaan kata kerja nazzala ( نَزَّلَ ) – iaitu dengan tasydid – atau nazala ( نَزَلَ ). Menerusi isyarat binaan kata anzala dan nazzala, dapatlah difahami bahawa pemakaian bentuk kata tersebut adalah selari dengan dua peringkat penurunan al-Quran. Justeru, kalimah anzala dalam al-Quran merujuk kepada penurunan al-Quran secara sekali gus, manakala kalimah nazzala pula merujuk kepada penurunan al-Quran secara beransur-ansur, sungguhpun kedua-dua kalimah tersebut secara umumnya memberikan pengertian yang sama dalam bahasa Melayu. (Lihat Tafsir al-Bayan, 5/203-204)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.