#4344:  Benarkah Dukhan Sebagai Tanda Kiamat Besar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya benarkah al-Dukhan merupakan Tanda Kiamat Besar ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَٱرْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِى ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٍۢ مُّبِينٍۢ ١٠ يَغْشَى ٱلنَّاسَ ۖ هَـٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌۭ ١١ رَّبَّنَا ٱكْشِفْ عَنَّا ٱلْعَذَابَ إِنَّا مُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”. (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”.

(Surah al-Dukhan :10-12)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Berasaskan kepada pentafsiran sebahagian ulama yang menyatakan bahawa dukhan yang dimaksudkan ialah asap tebal yang bakal melanda dunia pada akhir zaman sebagai tanda kiamat besar. Terdapat beberapa hadith sahih yang menyingkap tanda-tanda besar hari kiamat, di mana antaranya adalah keluarnya asap tebal. Daripada Huzaifah bin Asid al-Ghifari R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW muncul ketika kami sedang berbincang mengenai hari kiamat, lalu Baginda SAW bersabda:

إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتََّّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيََاتٍ. – فَذَكَرَ – الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيََمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيََأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلََاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ. وَآخِرُ ذَلِكَ نََارٌ تََخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلََى مََحْشَرِهِمْ.

Maksdunya: “Sesungguhnya ia tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sepuluh tanda sebelum kedatangannya.” – “Lalu Baginda SAW menyebutkan: – Asap, Dajjal, al-Dabbah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Isa Ibn Maryam A.S, Ya’juj dan Ma’juj, tiga gerhana iaitu satu gerhana di timur, satu gerhana di barat dan satu lagi gerhana di rantau Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke mahsyar mereka.”

Riwayat Muslim(2901)

Maksudnya ayat dalam surah al-Dukhan di atas, iaitu tunggulah wahai Muhammad, orang-orang kafir itu pada suatu hari, ketika langit membawa asap kabus yang tampak jelas menutupi seluruh manusia, maka pada ketika itu dikatakan kepada mereka: “Ini adalah azab seksa yang pedih,” sebagai celaan dan penghinaan bagi mereka. Atau sebahagian daripada mereka menyebut yang demikian  itu kepada yang lain. (Lihat Jami’ al-Bayan, 16/130 dan Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/235)

Menurut Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili, ‘فَارْتَقِبْ يَوْمَ تَأْتِي السَّمَاءُ بِدُخَانٍ مُّبِينٍ’ (Oleh itu tunggulah semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata) merupakan ancaman daripada Allah SWT terhadap orang-orang musyrik. Allah SWT berfirman kepada Nabi-Nya, tunggulah kedatangan suatu hari di mana langit datang dengan membawa sesuatu seperti asap yang nyata, yang tersebar di udara. Asap tersebut dalam hubungannya dengan masa lalu adalah terkait dengan keadaan kebuluran yang menimpa kaum Quraisy selama tujuh tahun disebabkan doa Rasulullah SAW. Ketika itu, orang ramai seakan-akan melihat asap menutupi antara bumi dan langit kerana dahsyatnya kelaparan, sehingga penglihatan menjadi lemah dan kabur, sebagaimana yang disebut dalam riwayat Ibn Mas’ud.[1] Atau ia adalah debu peperangan ketika Perang Badar.

Adapun hubungannya dengan masa depan, asap tersebut menjadi salah satu daripada tanda-tanda hari Kiamat. Asap tersebut akan meliputi bumi selama empat puluh hari. Ketika itu, tersebar debu atau selainnya seperti asap di udara yang menyebabkan cuaca menjadi mendung dan gelap. Inilah yang ditegaskan oleh para ulama’ sebagai akhir alam semesta kerana tenaga matahari mula menjadi lemah. Asap tersebut meliputi seluruh penjuru, sebagaimana penjelasan dalam ayat ‘يَغْشَى النَّاسَ ۖ هَٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ’ (Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (sehingga mereka akan berkata): “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan.”) (Lihat al-Tafsir al-Munir, 25/212)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَادِرُوْا بِاْلأَعْمَالِ سِتًّا: الدَّجَّالَ، وَالدُّخَانَ…

Maksudnya: “Bersegeralah melakukan amalan-amalan soleh sebelum datangnya enam perkara, iaitu: Dajjal, al-Dukhan…

Riwayat Muslim (2947) dan Ahmad (8446)

Syeikh Muhammad al-Amin al-‘Alawi al-Harari berkata: Bersegeralah kamu dengan melakukan amalan soleh yang banyak sebelum terbitnya salah satu daripada enam perkara seperti di atas. (Lihat al-Kaukab al-Wahhaj, 26/310)

Dalam hadith lain, daripada Huzaifah bin Usaid R.A yang menyebut berkenaan tanda-tanda besar Kiamat, turut disebut di dalamnya berkenaan al-Dukhan. Hadith tersebut, antara lain menyebut:

إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ. فَذَكَرَ الدُّخَانَ..

Maksudnya: “Sesungguhnya Kiamat itu tidak akan datang sehingga kamu melihat sepuluh tanda sebelumnya. Kemudian Baginda menyebut (salah satunya), al-Dukhan (asap kabus)..”

Riwayat Muslim (2901), al-Tirmizi (2183) dan Ibn Majah (4041)

Imam al-Nawawi berkata: Hadis ini mendukung pendapat mereka yang menyatakan bahawa asap tersebut adalah asap yang merenggut nyawa orang kafir, manakala kesan yang diterima oleh orang beriman daripada asal tersebut hanyalah seperti selesema. Peristiwa munculnya asal ini belum berlaku. Ia akan terjadi apabila hampirnya hari Kiamat.

Pendapat ini telah kami kemukakan dalam Kitab Bad’u al-Khalq berikutan pengingkaran Ibn Mas’ud terhadapnya. Ibn Mas’ud berkata: “Asap tersebut merupakan ungkapan untuk bencana kemarau yang menimpa kaum Quraisy, sehingga mereka melihat sesuatu seperti awan (asap) di antara mereka dan langit.” Pendapat Ibn Mas’ud ini seperti pendapat jama’ah.

Manakala Huzaifah, Ibn ‘Umar dan al-Hasan berpegang dengan pendapat lain, di mana Huzaifah meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa asap tersebut kekal di bumi selama empat puluh hari. Ada kemungkinan bahawa terdapat dua kali kemunculan asap, bagi menggabungkan kefahaman terhadap pelbagai athar yang ada. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 12/541)

Bagaimanapun, penjelasan lanjut mengenai waktu keluarnya asap tebal tersebut tidaklah dinyatakan, melainkan ia hanya berlaku pada saat hampir kiamat. Dipercayai bahwa kemunculan asap tebal tersebut ditakuti oleh Dajjal kerana ia menyakiti tubuhnya lantarankepanasan sehingga menyebabkan daging dan kulitnya menjadi lembik. Kemunculan asap tersebut adalah sebagai lambang kekuasaan Allah SWT yang tidak mampu disekat oleh mana-mana makhluk. Apa yang lebih utama ialah umat Islam wajib terus berusaha untuk meningkatkan amal ibadah serta bertaubat sebelum kedatangan kiamat yang pasti berlaku. (Lihat Tafsir al-Bayan, 209-210)

Justeru kami katakan di sini bahawa di antara hikmah tidak diketahui bila berlakunya hari kiamat tetapi didedahkan tanda-tandanya agar umat Islam dapat mengambil pengajaran terhadap pendedahan tanda-tanda kiamat tersebut dengan membuat persiapan bekalan amal sebelum dibangkitkan di akhirat kelak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang baik dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Wallahua’lam.

 

Nota kaki:

[1] Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A, katanya: Ketika kaum Quraisy menentang Nabi Muhammad SAW (sehingga Baginda telah mengalami keadaan yang amat sulit), Baginda pun berdoa agar mereka ditimpa bala kemarau dan kebuluran sepertimana yang berlaku pada zaman Nabi Yusuf AS. Mereka pun ditimpa keadaan tersebut sampai terpaksa makan tulang-belulang dan bangkai, sehinggakan seseorang daripada mereka ketika mendongak ke atas, dia melihat seperti ada asap disebabkan kelaparan. Lalu Allah SWT menurunkan ayat 10 Surah al-Dukhan. Mereka pun pergi menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, mohonlah hujan kepada Allah SWT untuk Mudhar kerana mereka telah berada dalam keadaan binasa.” Baginda pun memohon hujan, lalu hujan turun kepada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) (Lihat al-Tafsir al-Munir, 25/210)