#4346: Gejala Agnostisme

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah budaya agnotisme sebagai satu fahaman mutakhir yang sesat  ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ لَيَقُولُونَ ٣٤ إِنْ هِىَ إِلَّا مَوْتَتُنَا ٱلْأُولَىٰ وَمَا نَحْنُ بِمُنشَرِينَ ٣٥ فَأْتُوا۟ بِـَٔابَآئِنَآ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Maksudnya: Berbalik kepada kisah kaum musyrik penduduk Makkah, Allah berfirman): “Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu – wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu):  “Mati, hanyalah mati kita yang pertama (di dunia), dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu);  “(Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar!”

( Surah al- Dukhan: 34-36)

Agnostik berasal daripada dua perkataan Greek iaitu a dan gnastos. A bermaksud tidak dan gnastos bermaksud tahu. Maka, agnostik bermaksud “tidak tahu”. Perkataan agnostic menurut The Cambridge Dictionary of Philosophy pula diperkenalkan oleh Thomas Henry Huxley yang menunjukkan sikap seseorang terhadap falsafah dan agama yang mendakwa bahawa idea metafizik tidak dapat dibuktikan atau disangkal. Beliau menggunapakai istilah ini dalam satu ucapannya semasa mesyuarat Metaphysical Society pada tahun 1869.

Oleh itu, seseorang yang digelar atau mendakwa dirinya agnostik adalah individu yang berada dalam keadaan ragu-ragu samada seseorang itu oleh mempunyai dan mencapai pengetahuan tentang Tuhan dan metafiziknya atau tidak. Golongan agnostik juga meragui keseluruhan bentuk hakikat ilmu termasuklah segala bentuk kewujudan.

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, kelompok ini dapat dikesan seawal zaman Yunani kuno di mana ia dibawa oleh Protagoras, Georgias, Hippias dan Prodicus. Mereka menyebarkan faham etika dan epistemologi relativisme. Bagi mereka, hakikat kewujudkan adalah tidak penting dan tidak akan pernah diketahui. Agama menurut mereka adalah penipuan semata-mata manakala ibadah itu tidak bermanfaat. (The Oldest Known Malay Manuscript: A 16th Century Malay Translation of The ʿAqa’id al-Nasafi, m. 47-48)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan di sini bahawa Dalam perbahasan di atas, dinyatakan bahawa golongan kafir Quraisy Makkah menolak adanya kehidupan selepas kematian, malah mereka berani mencabar Nabi SAW agar membuktikan adanya kehidupan selepas kematian. Dengan maksud lain, antara mereka ada yang meragui akan perkara tersebut, bahkan sebahagian yang lain pula mengingkari hari kebangkitan, perhitungan amal, serta balasan dosa dan pahala. Terdapat dua perkara yang menjadi pokok keraguan dan keingkaran mereka terhadap dakwah Baginda SAW iaitu:

  1. Keesaan Allah SWT dan tidak mensyirikkan-Nya.
  2. Keimanan terhadap hari kebangkitan.

Zaman terus berlalu dan lipatan sejarah mengenai sikap dan ciri-ciri kafir Quraisy Makkah dirakamkan di dalam al-Quran, sebagai refleksi kepada umat Islam agar berhati- hati dengan pemikiran dan pegangan mereka. Kini, muncul lagi suatu fahaman yang membimbangkan umat Islam yang mana pada hakikatnya memiliki titik sepunya dan senada dengan perwatakan sesat orang-orang kafir Quraisy. Fahaman sesat yang dimaksudkan dan tidak kurang pentingnya untuk diberi perhatian ialah agnostisme.

Gejala agnostik dilihat mula menyelinap masuk dalam pemikiran umat Islam, lalu menimbulkan keraguan dan kekeliruan dalam hati mereka khususnya yang bersabit dengan elemen ghaibiyyat.[1] Ia dilihat mula mempengaruhi umat Islam di Malaysia pada awal kurun ke-21 dan semakin meresapi pemikiran golongan millenial khususnya sehingga ke hari ini. Secara ringkasnya, fahaman agnostisme bermaksud fahaman yang meragui tentang kewujudan Tuhan dan perkara-perkara sam‘iyyat.[2] Golongan yang berfahaman ini tidak mengetahui cara untuk mereka mempercayai Tuhan kerana pada pandangan mereka, kewujudan Tuhan tidak dapat dibuktikan. Mereka seolah-olah terperangkap dalam dunia skeptikal kerana pada hakikatnya pengetahuan agama adalah berbeza dengan pengetahuan yang bersifat akademik dan logik. Antara ciri-ciri fahaman agnostisme ialah.

  • Manusia tidak memiliki pengetahuan mengenai kebenaran agama, metafizik, dan ajaran Tuhan.
  • Meragui kebenaran perkara sam‘iyyat seperti kebenaran hari akhirat, malaikat, dosa dan pahala, dan lain-lain. Ia sesuatu yang tidak dapat diketahui kerana menurut mereka ia tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia.
  • Mereka sentiasa bersikap kristis dan skeptikal terhadap sesuatu dasar keimanan yang tidak dapat dibuktikan secara empirikal, sedangkan ia dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadith.

Justeru kami katakan dengan melihat kepada definisi dan ciri-ciri fahaman agnostisme ini, umat Islam wajib membentengi diri daripada terpengaruh dengan gejala agnostik. Usaha pemantapan akidah dan pengukuhan epistemologi Islam perlu diperkasa dalam diri setiap umat Islam agar tidak terjerumus ke dalam fahaman sesat dan menyeleweng tanpa disedari

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

 

Nota kaki:

[1] Kajian kes mengenai gejala agnostik yang menular dalam kalangan umat Islam di Malaysia boleh dilihat pada buku berjudul Gejala Agnostik: Satu Ancaman Akidah (Shah Alam: Majlis Agama Islam Selangor, 2015), 65-88.

[2] Iaitu perkara-perkara yang hanya diketahui melalui al-Qur’an dan Hadith serta tidak dapat dicerap oleh pancaindera dan di luar batas pemikiran manusia.