Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hikmah pengharaman arak dan babi mengikut neraca sains kesihatan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu firman Allah SWT:
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ ٱلْمَيْتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحْمَ ٱلْخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيْرِ ٱللَّهِ ۖ فَمَنِ ٱضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍۢ وَلَا عَادٍۢ فَلَآ إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Baqarah: 173)
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya pelbagai kajian saintifik telah dijalankan oleh para saintis terhadap makanan yang diharamkan dalam Islam. Kajian seperti ini membuktikan kebenaran ajaran Islam dan menjadi medium terbaik untuk berdakwah kepada non-muslim. Sebagai contoh, arak diharamkan kerana ia memudaratkan sistem tubuh manusia, selain membawa kepada pelbagai masalah sosial. Pengharaman bangkai, darah dan daging babi kerana ia mengandungi pelbagai kemudaratan sama ada daripada aspek kimia, mikrob dan sikap (psikologi). Kajian seumpama ini banyak dibahasakan dalam bidang Ijaz al-Quran di bawah kategori ijaz al-ilmiy.
Namun tidak semua perkara dalam syariat Islam dapat dibuktikan secara saintifik, kerana ia dipengaruhi oleh keterbatasan teknologi sedia ada. Mungkin sesuatu yang tidak dapat dilihat secara saintifik pada zaman ini, dapat dilihat pada zaman akan datang. Justeru, sikap seorang muslim hendaklah beriman sepenuhnya dengan perintah Allah SWT sebagaimana yang diajarkan dalam al-Quran (سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا – Kami dengar dan kami taat). Dengan ini, umat Islam terselamat daripada terjebak dalam pemikiran logik akal semata-mata yang tular pada masa kini. (Lihat Tafsir al-Bayan, 1/259).
Di samping itu, sebenarnya penjelasan berkenaan pengharaman babi dan arak ini, kami juga telah bahaskannya secara panjang dalam artikel lain dalam Ahkam Syar‘iyyah. DI antaranya:
- #4148: Hikmah Pengharaman Arak.[1]
- #2426: Adakah Sama Pengharaman Arak dan Babi?[2]
- #34: Sebab Daging Babi Diharamkan untuk Dimakan.[3]
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir Ibn Kathir, 3/75)
Nota kaki:
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/4148-hikmah-pengharaman-arak/. Diakses pada 21 November 2023.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/2426-adakah-sama-pengharaman-arak-dan-babi/. Diakses pada 21 November 2023.
[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/34-sebab-daging-babi-diharamkan-untuk-dimakan/. Diakses pada 21 November 2023.