#4370: Perkahwinan dengan Ahli Kitab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Boleh terangkan kepada kami sekali lagi isu perkahwinan dengan ahli kitab? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan dalam bahasa arab ialah nikah yang bermaksud dihimpun atau cantum. Pada istilah syara’ pula perkahwinan bermaksud akad yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan mengikut syarat tertentu. Firman Allah SWT:

وَأَنكِحُوا۟ ٱلْأَيَـٰمَىٰ مِنكُمْ وَٱلصَّـٰلِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَآئِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا۟ فُقَرَآءَ يُغْنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌۭ

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah mereka yang bujang dalam kalangan kamu dan juga golongan hamba lelaki dan perempuan kamu yang soleh. Sekiranya mereka miskin, Allah SWT akan memberi kekayaan kepada mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah SWT Maha Luas kurniaan-Nya, lagi Maha Mengetahu.”

(Surah al-Nur : 32)

Dalam Kitab Sahih al-Bukhari telah ditegaskan daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ: لِمَالِهَا، وَلِحَسَبِهَا وَلِجَمَالِهَا، وَلِدِينِهَا؛ فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita itu dinikahi karena empat perkara: kerana harta, keturunan, kecantikan, dan agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, nescaya kamu akan beruntung.

Riwayat al-Bukhari (5090)

Hal sama juga diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Jabir bin Abdullah RA, daripada ‘Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia ini adalah kenikmatan, dan sebaik-baik kenikmatan dunia adalah wanita solehah.”

Riwayat Muslim (1467)

Setiap perkara yang berlaku di muka bumi ini ada hikmah atau tujuannya yang tersendiri. Begitu juga dengan ikatan perkahwinan.

Ahli Kitab di dalam al-Quran secara jelasnya merujuk kepada mereka yang beragama Yahudi dan Kristian yang berpegang kepada Taurat dan Injil. Pun begitu, ulama berbeza pandangan dalam menentukan definisi ahli Kitab. Imam al-Syafi‘i mengkhususkan Ahli Kitab kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian. Mereka yang bukan daripada keturunan Bani Israel, tidak tergolong dalam Ahli Kitab walaupun menganut agama Yahudi dan Kristian, tidak termasuk dalam golongan Ahli Kitab. Ini kerana, Nabi Musa dan Nabi Isa hanya diutuskan kepada Bani Israel dan bukan kaum lain. Sebagaimana Taurat dan Injil diturunkan hanya kepada mereka, maka al-Quran menamakan mereka sebagai Ahli Kitab. Manakala Imam al-Syirazi juga berpandangan sebagaimana Imam al-Syafi‘i. Firman Allah SWT

أَن تَقُولُوٓا۟ إِنَّمَآ أُنزِلَ ٱلْكِتَـٰبُ عَلَىٰ طَآئِفَتَيْنِ مِن قَبْلِنَا وَإِن كُنَّا عَن دِرَاسَتِهِمْ لَغَـٰفِلِينَ

Maksudnya: “Supaya kamu tidak mengatakan: ‘Bahawa Kitab (agama) itu hanya diturunkan kepada dua golongan (Yahudi dan Nasrani) dahulu sebelum kami, dan sesungguhnya kami lalai (tidak faham) akan apa yang dibaca dan dipelajari oleh mereka.’

(Surah al-An‘am: 156)

Menurut Imam al-Syirazi, kalimah “dua golongan” (طَائِفَتَيْنِ) merujuk kepada Yahudi dan Kristian. Al-Shahrastani pula berpendapat bahawa Ahli Kitab tidak hanya dikhususkan kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian tetapi juga sesiapa sahaja yang menerima Taurat dan Injil, sama ada mereka mengamalkannya atau tidak. Menurut Imam Abu Hanifah, Ahli Kitab juga adalah mereka yang daripada wilayah Kaskar (daerah utara Kufah) dan Bata’ih (kawasan berpaya di utara Basrah) termasuk dalam Ahli Kitab.

Berdasarkan pandangan-pandangan di atas, pandangan Imam al-Syafi‘i dan juga Imam al-Syirazi lebih tepat dan menggambarkan apa yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Berhubung status perkahwinan dengan perempuan ahli kitab, Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-18 yang bersidang pada 14 Mei 1980 telah membincangkan Pernikahan Dengan Perempuan Kitabiah. Persidangan telah memutuskan bahawa:

  • Pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah (bukan asli) adalah tidak sah mengikut mazhab Syafi‘i.
  • Pernikahan seperti itu (pernikahan orang Islam dengan perempuan Kitabiah bukan asli) yang telah dilakukan pada masa yang lalu harus mengikut pendapat setengah ulama’ dengan syarat jika pernikahan itu diakadkan mengikut Islam dan keluarga itu hendaklah hidup secara Islam termasuk pendidikan anak-anak. Jika tidak dilakukan demikian maka perkahwinan itu hendaklah dibatalkan.
  • Pernikahan suami/isteri Kristian kemudian si suami masuk Islam maka pernikahannya dikira sah dengan syarat kehidupannya mengikut cara Islam.

Justeru institusi perkahwinan dalam agama dan falsafah Islam merupakan asas dan dasar utama dalam melahirkan insan-insan rabbani. Inilah yang akan terus memastikan pembangunan negara dan bangsa umat Islam tetap di bawah lembayung akidah yang benar dan kekal beriman kepada Allah SWT. Hal ini juga adalah sebagaimana dijelaskan dalam Tafsir al-Bayan (1/314-316).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)