#4374: Hakikat Dunia dan Kekeliruan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Kenapa terjadinya kekeliruan tentang hakikat dunia dan bagaimana jawapannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, menurut Imam al-Ghazali, dunia ialah setiap sesuatu sebelum mati. Setiap perkara yang manusia miliki bahagian, perkongsian, keinginan, syahwat dan kelazatan yang segera pada waktu sekarang iaitu sebelum mati adalah dunia. (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/219).

Secara umumnya, dunia membawa manusia kepada kelalaian dan lupa kepada Allah SWT Oleh itu, banyak nas-nas yang mencela dan memandang hina terhadap dunia.

Di antaranya firman Allah SWT:

وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ

Maksudnya: “Ingatlah kehidupan dunia tidak lain hanyalah satu kesenangan yang memperdaya.

 (Surah Ali ‘Imran: 185)

Daripada Sahl bin Saad R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لو كانتِ الدنيا تَعْدِلُ عِندَ اللهِ جَناحَ بعوضةٍ ما سَقَى كافِرًا منها شَرْبَةَ مَاءٍ

Maksudnya: “Kalau sekiranya dunia ini sama nilainya di sisi Allah SWT dengan sehelai sayap nyamuk, nescaya Allah SWT tidak akan memberi minum kepada orang kafir walaupun seteguk air.

Riwayat al-Tirmizi (2320) dan beliau menilainya sebagai sahih.

Apabila terdapatnya banyak nas yang menghina dan mencela dunia, ramai dalam kalangan umat Islam yang keliru sehingga menganggap bahawa ia adalah mutlak. Kekeliruan ini timbul apabila mereka tidak memahami konteks nas tersebut. Maksud sebenar dunia yang dicela dan dihina ialah dunia yang menyebabkan manusia lalai daripada mengingati dan melaksanakan perintah Allah SWT Adapun jika dunia menjadi jambatan dan ladang akhirat maka ia tidak termasuk dalam celaan agama.

Imam al-Syatibi berkata bahawa maksud menolak dunia dalam Islam ialah meninggalkan kesibukan dunia yang menyebabkan manusia lalai melaksanakan taklifan syarak. (Lihat al-I‘tisam, 2/31).

Manakala Syeikh Ahmad Zarruq pula menyebutkan, ada perkara yang dicela tidak pada zatnya bahkan kadang-kadang ia dipuji. Contohnya harta, pangkat, kepimpinan dan lain-lain tidak dicela dan dipuji pada zatnya. Ia dipuji dan dicela berdasarkan kepada perkara yang mendatanginya. (Lihat Qawa‘id al-Tasawwuf, hlm. 88).

Syeikh al-Munawi pula menyebutkan, bukanlah zuhud dengan menghindarkan dirinya daripada kesemua harta tetapi baginya tidak ada beza sama ada harta tersebut ada bersama dengannya atau pun tidak. Hatinya tidak bergantung kepadanya langsung. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/73).

Oleh kerana itu, Allah SWT pada hakikatnya telah menyifatkan dunia dengan dua sifat yang berlawanan. Pertamanya adalah sifat yang mengandungi celaan dan suruhan agar meninggalkannya sebagaimana nas-nas di atas. Keduanya ialah sifat yang mengandungi pujian dan suruhan agar mengambilnya. Ia dapat dilihat melalui pujian Allah SWT terhadap dunia apabila Allah SWT menjadikannya sebagai bukti dan dalil kewujudan-Nya.

Contohnya Allah SWT memuji dunia sebagai nikmat pemberian daripada-Nya:

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَأَخْرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزْقًۭا لَّكُمْ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْفُلْكَ لِتَجْرِىَ فِى ٱلْبَحْرِ بِأَمْرِهِۦ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ ٱلْأَنْهَـٰرَ

Maksudnya: “Allah yang menciptakan langit dan bumi. Dia menurunkan hujan dari langit lalu daripada air hujan ini Dia mengeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu semua. Dia memudahkan kamu mengemudi bahtera-bahtera agar boleh belayar di lautan dengan perintah-Nya. Dia menciptakan sungai-sungai untuk manfaat kamu.”

(Surah Ibrahim : 32)

Jelasnya, celaan terhadap dunia bukan bermakna mencela bumi, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain kerana ia adalah nikmat Allah SWT yang menjadi bukti kekuasaan-Nya. Celaan tersebut ditujukan kepada perbuatan manusia yang berlaku dalam kehidupan ini kerana menyalahi perintah Allah SWT

Justeru, Islam tidak menolak dan menghina dunia secara mutlak dan ia menjadi keperluan dalam perjalanan hidup ke negeri Akhirat. Celaan yang dilemparkan kepadanya adalah bagi yang terpesona dengannya hingga lalai dan lupa terhadap perjalanan akhirnya. (Lihat juga Tafsir al-Bayan, 1/384-385).

Daripada Sa‘id bin al-Musayyib dan ‘Urwah bin al-Zubair, bahawa Hakim bin Hizam RA berkata:

سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَعْطَانِي ثُمَّ سَأَلْتُهُ، فَأَعْطَانِي ثُمَّ قَالَ لِي: «يَا حَكِيمُ، إِنَّ هَذَا الْمَالَ خَضِرٌ حُلْوٌ، فَمَنْ أَخَذَهُ بِسَخَاوَةِ نَفْسٍ، بُورِكَ لَهُ فِيهِ وَمَنْ أَخَذَهُ بِإِشْرَافِ نَفْسٍ، لَمْ يُبَارَكْ لَهُ فِيهِ، وَكَانَ كَالَّذِي يَأْكُلُ وَلاَ يَشْبَعُ، وَاليَدُ العُلْيَا خَيْرٌ مِنَ اليَدِ السُّفْلَى»، قَالَ حَكِيمٌ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالحَقِّ لاَ أَرْزَأُ أَحَدًا بَعْدَكَ شَيْئًا حَتَّى أُفَارِقَ الدُّنْيَا، فَكَانَ أَبُو بَكْرٍ يَدْعُو حَكِيمًا لِيُعْطِيَهُ العَطَاءَ، فَيَأْبَى أَنْ يَقْبَلَ مِنْهُ شَيْئًا، ثُمَّ إِنَّ عُمَرَ دَعَاهُ لِيُعْطِيَهُ، فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهُ، فَقَالَ: يَا مَعْشَرَ المُسْلِمِينَ، إِنِّي أَعْرِضُ عَلَيْهِ حَقَّهُ، الَّذِي قَسَمَ اللَّهُ لَهُ مِنْ هَذَا الفَيْءِ، فَيَأْبَى أَنْ يَأْخُذَهُ، فَلَمْ يَرْزَأْ حَكِيمٌ أَحَدًا مِنَ النَّاسِ بَعْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى تُوُفِّيَ رَحِمَهُ اللَّهُ

Maksudnya: Aku meminta kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda memberikan kepadaku. Kemudian aku meminta lagi kepadanya dan Baginda memberikan kepadaku. Kemudian Baginda bersabda kepadaku: “Wahai Hakim, Sesungguhnya harta itu hijau lagi manis. Maka, sesiapa yang mengambilnya dengan murah hati, maka diberikan keberkatan buatnya pada harta itu, dan sesiapa yang mengambilnya dengan penuh ketamakan, maka tiada keberkatan buatnya pada harta itu. Keadaannya adalah sama seperti orang yang makan tetapi tidak kenyang. Tangan yang berada di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang berada di bawah (menerima).”

Hakim berkata: Maka, aku berkata: “Wahai Rasulullah, demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak akan minta sesuatu kepada seorang pun sesudahmu sehinggalah aku berpisah dengan dunia (meninggal dunia).” Setelah itu, Abu Bakar memanggil Hakim untuk memberikannya sesuatu, namun dia enggan menerima daripadanya sesuatu pun. Kemudian, Umar juga memanggilnya untuk memberikannya sesuatu, namun dia enggan menerimanya. Lalu Umar berkata: “Wahai kaum muslimin, sesungguhnya aku telah mengajukan kepadanya haknya yang telah Allah bahagikan untuknya daripada harta al-Fai’[1]  ini, namun dia enggan untuk mengambilnya.” Hakim tidak pernah meminta kepada seorang pun daripada kalangan manusia setelah Nabi SAW sehinggalah dia wafat – semoga Allah merahmatinya.

Riwayat al-Bukhari (2750)

Hikmah yang lain betapa Hakim bin Hizam enggan menerima pemberian walaupun sesudah wafat Rasulullah SAW daripada Khalifah Umar ibn al-Khattab semata-mata bercita-cita untuk membuktikan kebenaran janjinya kepada Nabi SAW sehingga Allah SWT memberkatkan rezekinya sekalipun sedikit dan menjadikan tangannya sentiasa di atas yang bersifat memberi dan bukan menerima. Bahkan, beliau banyak berinfak tanpa merasa takut akan jatuh miskin atau kekurangan harta. Inilah yang terjadi kepadanya. Beliau meninggal dunia pada zaman pemerintahan Muawiyah dan sesungguhnya beliau di antara orang Quraisy yang paling kaya sekalipun beliau banyak berinfak. Antaranya ketika beliau melaksanakan ibadat haji, beliau telah menghadiahkan atau berinfak 1,000 ekor unta dan 1,000 ekor kambing. Ketika beliau berwukuf di Arafah, bersamanya terdapat 100 orang hamba sama ada lelaki atau perempuan pada leher-leher mereka rantai yang diperbuat daripada perak yang tertulis padanya “Mereka yang dimerdekakan oleh Allah daripada Hakim bin Hizam.”

Begitu juga, beliau selepas masuk Islam, bangunan Darul Nadwa[2] menjadi miliknya. Lantas, dijualnya kepada Muawiyah dengan harga 100 ribu dirham dan beliau bersedekah semua duitnya tersebut. Beliau berkata, “Aku beli dengan bangunan tersebut dengan bangunan dalam syurga.

Tatkala ia dicela oleh Abdullah bin Zubair seraya berkata, “Kamu menjualnya sebagai tanda kamu bangsawan Quraisy.” Lantas jawabnya, “Wahai anak saudaraku, telah hilanglah segala kemuliaan kecuali dengan taqwa.”

Hakim bin Hizam telah membeli Zaid bin Harithah selepas ditawan dari Syam. Kemudian, beliau telah menghadiahkan Zaid bin Harithah kepada ibu saudaranya, Khadijah. Al-Zubair bin al-Awwam pernah berkata, “Islam datang dan pada tangan Hakim terdapat sekumpulan manusia di bawahnya. Beliau telah melakukan perkara yang makruf dan baik di samping memelihara hubungan silaturrahim.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Nota kaki:

[1] Harta rampasan perang yang diperoleh tanpa melalui peperangan

[2] Dar al-Nadwah merupakan bangunan yang dibina oleh Bani Quraisy di Makkah sebagai tempat pertemuan para pembesar. Segala pertemuan untuk keputusan pengadilan, mesyuarat tentang perang dan perdamaian, pernikahan akan dibincangkan oleh suku Quraisy dilakukan di sini. Selain pembesar dan anggota keluarga Quraisy, hanya orang yang berusia atas 40 tahun sahaja yang dibenarkan memasuki bangunan ini. Antara peristiwa penting yang dibincangkan di sini ialah perjanjian Khuza’ah dan Bani Hasyim, Hilf al-Fudhul dan konspirasi pakatan jahat untuk membunuh Rasulullah turut dibincangkan di sini.

Dar al-Nadwah pada asalnya dibina oleh Qusai bin Kilab. Setelah kematian Qusai, Dar al-Nadwah dipimpin oleh anaknya bernama Abd al-Dar. Setelah berlaku perselisihan antara anak-anak Abd al-Dar dan anak-anak Abdu Manaf berkaitan kepimpinan berikutnya, pada akhirnya anak-anak Abd al-Dar berjaya mendapatkannya. Hal tersebut berterusan sehinggalah Hakim bin Hizam membeli Dar al-Nadwah daripada Mansur bin Amir bin Hisyam bin Abdu Manaf bin Abd al-Dar bin Qusai. Setelah itu, Ikrimah bin Hisyam membelinya daripada Hakim bin Hizam. Pada masa Islam, dia menjualnya kepada Muawiyah dengan harga 100,000 dirham. Muawiyah lalu menjadikan Dar al-Nadwah sebagai Dar al-Imarah Makkah.