#4378: Iman Tidak Dapat Diwarisi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah iman tidak dapat diwarisi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَنَادَىٰ نُوحٌۭ رَّبَّهُۥ فَقَالَ رَبِّ إِنَّ ٱبْنِى مِنْ أَهْلِى وَإِنَّ وَعْدَكَ ٱلْحَقُّ وَأَنتَ أَحْكَمُ ٱلْحَـٰكِمِينَ (٤٥)  قَالَ يَـٰنُوحُ إِنَّهُۥ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ ۖ إِنَّهُۥ عَمَلٌ غَيْرُ صَـٰلِحٍۢ ۖ فَلَا تَسْـَٔلْنِ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ ۖ إِنِّىٓ أَعِظُكَ أَن تَكُونَ مِنَ ٱلْجَـٰهِلِينَ

Maksudnya: Lalu Nabi Nuh berdoa kepada Tuhannya dengan merayu, “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dalam kalangan keluargaku; dan sesungguhnya janji-Mu itu adalah benar; dan Engkaulah sebaik-baik Hakim yang Maha Adil lagi Bijaksana.” Allah berfirman, “Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah daripada keluargamu atas sebab kekufurannya. Dan janganlah engkau sama sekali mempersoalkan tindakan-Ku kerana engkau tidak mengetahui baik atau buruknya. Sesungguhnya Aku mengingatkanmu supaya kamu tidak termasuk dalam golongan yang jahil lalu mempersoalkan perbuatan-Ku.”

(Surah Hud: 45-46)

Syeikh Ahmad al-Tawil menyatakan bahawa seruan Nabi Nuh A.S kepada Tuhannya berlaku  selepas tenggelam anaknya yang tidak mahu mengikut ajaran yang dibawa olehnya. Perlakuan Nabi Nuh A.S adalah berpunca daripada kasih sayang terhadap anaknya. Malah ia juga digunakan untuk kemaslahatan anaknya di akhirat setelah usahanya di dunia gagal. Allah SWT memaklumkan Nabi Nuh A.S bahawa tidak ada yang selamat melainkan mereka yang menaiki bahtera itu, tetapi malang anaknya tidak mahu berbuat demikian, lalu tenggelam dalam banjir besar itu. Maka Nabi Nuh A.S berdoa supaya anaknya diberi keampunan oleh Allah SWT, tetapi tidak diperkenankan-Nya. (Lihat Wahat al-Tafsir, 6/536-537)

Keadaan itu sama seperti Nabi Muhammad SAW yang memohon keampunan daripada Allah SWT untuk bapa saudaranya Abu Talib. Penolakan Allah SWT terhadap permintaan Nabi Nuh A.S menunjukkan bahawa hubungan berasaskan iman dan akidah adalah lebih kuat daripada hubungan nasab.  Hubungan keagamaan antara mereka berdua terputus disebabkan kekufuran anaknya.

Iman Tidak Dapat Diwarisi

Jika iman boleh diwarisi sudah tentu isteri dan anak Nabi Nuh A.S, Abu Talib, bapa saudara Nabi Muhammad SAW memeluk agama Islam dengan mengikut ajaran yang dibawa oleh Nabi. Tetapi Allah SWT menegur Nabi Nuh A.S dan Nabi Muhammad SAW dengan penegasan bahawa hidayah adalah milik Allah SWT, diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّكَ لَا تَهْدِى مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ ۚ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya engkau tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau kasihi, tetapi Allah sahaja yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

(Surah al-Qasas: 56)

Bagaimana untuk mendapatkan hidayah iman? Sebenarnya, ia adalah suatu yang boleh diusahakan. Allah SWT menjelaskan:

قُلْ أُوحِىَ إِلَىَّ أَنَّهُ ٱسْتَمَعَ نَفَرٌۭ مِّنَ ٱلْجِنِّ فَقَالُوٓا۟ إِنَّا سَمِعْنَا قُرْءَانًا عَجَبًۭا (١) يَهْدِىٓ إِلَى ٱلرُّشْدِ فَـَٔامَنَّا بِهِۦ ۖ وَلَن نُّشْرِكَ بِرَبِّنَآ أَحَدًۭا (٢) وَأَنَّهُۥ تَعَـٰلَىٰ جَدُّ رَبِّنَا مَا ٱتَّخَذَ صَـٰحِبَةًۭ وَلَا وَلَدًۭا

Maksudnya: Katakanlah wahai Muhammad, “Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya sekelompok dalam kalangan jin telah mendengar bacaan al-Quran, lalu mereka berkata, “Sesungguhnya kami telah mendengar bacaan al-Quran yang sungguh menakjubkan.” Ia memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami terus beriman dengannya, dan kami sama sekali tidak lagi akan mensyirikkan Tuhan kami dengan apa-apa yang lain. Dan sesungguhnya Maha Tinggi keagungan Tuhan kami. Dia sama sekali tidak beristeri mahupun beranak.

(Surah al-Jin : 1-3)

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa al-Quran ialah sumber utama untuk mendapatkan hidayah  iman, justeru  seseorang itu perlu membaca dan memahami maksudnya.  Selain itu mereka perlu bermujahadah dengan mengikuti aktiviti-aktivi ilmu yang berkaitan dengan al-Quran dan Hadith seperti yang dilakukan oleh para sahabat Nabi SAW dan para tabi‘in serta pelbagai disiplin ilmu lain yang dapat mengukuhkan lagi kefahaman terhadap akidah dan syariat Islam. Firman Allah SWT lagi:

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُوا۟ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: Manakala orang yang bermujahadah kerana mengharapkan redha Kami, maka Kami pasti akan pimpin mereka ke jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah bersama golongan yang melakukan kebaikan.

(Surah al-‘Ankabut: 69)

Syeikh Abdurrahman al-Sa‘di ketika menjelaskan ayat di atas menyatakan bahawa orang yang bersemangat dan bersungguh-sungguh menimba ilmu agama, dia akan mendapat hidayah dan pertolongan daripada Allah SWT untuk menggapai apa yang dicarinya. Pertolongan ini berbentuk petunjuk-petunjuk Ilahi yang di luar batas kesungguhan seseorang dan kemudahan-kemudahan menggapai ilmu.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm 747)

Hidayah iman tidak akan datang secara bergolek. Ia memerlukan perjuangan yang jitu dan usaha gigih untuk seseorang itu memperolehnya. Perkara berkaitan hidayah bukan sahaja disebut dalam al-Quran tetapi di dalam rutin bacaan sembahyang. Paling kurang dalam sehari, seseorang muslim yang mendirikan solat lima waktu akan memohon hidayah sebanyak 17 kali berdasarkan kepada bacaan-bacaan rukun dalam sembahyang melibatkan Surah al-Fatihah. Ini tidak termasuk bacaan memohon hidayah ketika sujud, duduk antara dua sujud dan doa qunut yang memperlihatkan betapa rapatnya kaitan antara solat dan pemerolehan hidayah. (Lihat Tafsir al-Bayan, 2/454-455)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa iman itu tidak boleh diwarisi sebagaimana harta yang boleh diwarisi. Hal ini dibuktikan daripada nas al-Quran yang menceritakan berkenaan seorang anak Nabi Nuh A.S dan isterinya tidak beriman kepada Allah. Justeru seseorang pendakwah tidak perlu rasa kecewa jika seruan dakwahnya tidak diterima oleh sebilangan ahli masyarakat, kerana mereka hanya menyampai dan persoalan hidayah  itu adalah milik mutlak Allah SWT.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”